Kisah malang Raja Bahrin Shah

SUBKY LATIF | .

KEJADIAN yang menimpa Raja Kamarul Bahrin Shah, anggota Parlimen PAS Kuala Terengganu adalah satu kejadian yang amat malang sama ada bagi politiknya bahkan politik PAS juga.
    
Dipercayai dia tidak terlibat dalam pertelingkahan antara kepimpinan ulama dan pimpinan PAS yang dikatakan progresif dan pro DAP/Pakatan Rakyat yang sudah berlegar lebih setahun.
     
Dia didekati oleh golongan progresif dan dipercaya orang PAS yang ada jurang dengan PAS dan saya tidak pasti orang PAS lebih mendekatinya daripada golongan progresif itu.
      
Berita awal membabitkannya dengan golongan itu ialah kenyataannya betapa dia dipelawa untuk bersama mereka pada ketika kumpulan itu sedang menimbang untuk jadi parti politik atau sekadar NGO. Reaksinya dia tidak menolak dan tidak menerima. Dia sedang menimbang. Tiada apa-apa masalah baginya jika ia sekadar NGO kerana dia juga adalah orang NGO yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh.
     
Perkembangan kedua dia diumumkan di Besut dipilih menjadi ketua penaja kumpulan itu di Terengganu. Reaksinya juga sedang menimbang.
      
Baik ia parti atau NGO, ia adalah gerakan yang menjadikan PAS sebagai sasaran. PAS tidak boleh terima adanya orang PAS yang tidak menolak gerak geri apa jua badan yang mempertikai PAS. PAS hanya terima ahli PAS yang terang-terang menolak perkembangan dan kecenderungan itu.
      
Justeru perkembangan itu telah lama dan Raja Bahrin tentu telah mengikutinya terutama selepas muktamar lalu, maka sebagai MP PAS dia patut peka tentang pergolakan itu dan sebagai orang PAS dia tidak boleh berkecuali. Itu sifat mana-mana parti politik jua.
     
Raja Bahrin tidak boleh mengharapkan PAS mesti memberitahunya jangan begitu dan jangan begini. Jika mereka datang berbincang dengannya adalah satu hal yang baik. Tetapi Raja Bahrin sendiri dengan kedudukan sebagai anggota Parlimen parti patut peka dan bercakap dengan parti terutama perkara yang tidak jelas baginya.
     
Mungkin PAS juga terlepas pandang tidak mengambil tindakan profesional berbincang dengannya atas perkara yang didesas-desuskan tentangnya, memberi nasihat dan penjelasan.
     
Mungkin PAS terlalu sibuk dan tiada masa untuk kerja seperti itu. Bagaimanapun PAS ada orang menangani orang-orang yang baru menyertai PAS sepertinya, Tamrin Ghafar dan Tan Sri Mohamad Mohd Taib. Mengikuti PAS dari jauh sekalipun lama tapi tak sama dengan menjadi ahli PAS. PAS tidak sekadar puas hati mereka menyertai PAS tetapi mesti mendampingi mereka.
     
Islam sendiri tidak sekadar puas hati apabila ada yang masuk Islam. Islam memperuntukkan tanggungjawab orang Islam terhadap mualaf. Islam kena layan mereka sewajarnya. Kalau Islam ada tugas bagi mendamping mualaf, maka PAS mesti ada masa untuk menghiburkan orang yang baru masuk PAS.
     
Tentang orang sudah lama bersama PAS dan jadi pemimpin di pelbagai peringkat, jika mereka mengkritik dan terus menentang PAS tak banyak dapat dibuat. Tidak banyak yang boleh PAS buat apabila Haji Ahmad Fuad dan Datuk Asri meninggalkan PAS. Tetapi bagi yang baru berjinak  dengan PAS, maka banyak yang mesti diperhatikan supaya mereka  tidak rasa kecewa dengan PAS.
      
Raja Bahrin ada betul dan ada silapnya dan PAS Terengganu pun ada betul dan ada silapnya. Jika kedua pihak berlapang dada, Raja Bahrin yang belum menerima tawaran luar itu boleh menentukan pendiriannya, dan PAS pula mesti peka dengan apa yang dikatakan menang-menang. Ketika ini Raja Bahrin dipercayai belum keluar PAS kerana keliru dengan status NGO anti PAS itu. – HARAKAHDAILY 7/8/2015

Share on Myspace