Hati Raja Bahrin masih terbuka dengan PAS

SUBKY ABDUL LATIF | .

SAYA amat gembira dengan respons Raja Kamarul Bahrin, MP PAS Kuala Terengganu atas pandangan saya tentang malang yang menimpanya dan juga PAS Kuala Terengganu.
      
Dia gembira dengan pandangan saya dan pandangan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man betapa keadilan mesti diberi kepada beliau membela diri dan membuat penjelasan tentang hubungan dengan badan kumpulan pemberontakan yang menawarkannya jadi pengerusi penajanya di Kuala Terengganu.
      
Saya gembira Raja Bahrin mengaku dia belum membuat keputusan untuk menerima tawaran yang pemberontakan umumkan kepadanya. Dia tiada masalah jika ia sekadar NGO dan pandangannya akan lain jika ia adalah parti politik.
      
PAS patut terima pandangan terakhirnya dalam reaksinya terhadap pandangan saya. Dia mahu PAS Kuala Tereangganu menanyanya dulu sebelum membuat tindakan terhadapnya. Ia memberikan gambaran bahawa dia masih MP PAS Kuala Terengganu dan dia belum menerima tawaran orang-orang yang hendak lari dari PAS.
      
PAS patut mengambil kesempatan yang ada membetulkan salah faham antaranya dengan PAS Kuala Terengganu yang diwakilinya. Dia dipercaya sedia bertemu dengan PAS juga PAS sedia bertemu bagi menyelesaikan salah faham itu.
     
Keutamaan PAS sekarang ialah mengekalkan kerusi Kuala Terengganu milik PAS dan PAS jangan biarkan ia hilang kerusi itu dan ia wajar mengambil kesempatan dari sikap Raja Bahrin yang belum menyertai kumpulan pemberontak dan dia mahu PAS mendengar sikapnya dalam perkara itu.
      
Kuala Terengganu itu penuh dengan orang-orang tua PAS yang banyak pengalaman dan ada bekas pemimpin dan ada yang masih menjadi pemimpin PAS seperti Hj Wahid Endut. Mereka kenal Raja Bahrin dan Raja Bahrin kenal mereka. Sokongan merekalah yang telah memungkinkan Raja Bahrin jadi calon dan atas usaha semuanya dia menang jadi wakil rakyat Kuala Terengganu.
      
Bapa saudara Raja Bahrin, Tengku Paduka adalah rakan lama pemimpin-pemimpin PAS. Maka hubungan yang ada itu jangan disia-siakan. Orang-orang yang berpengaruh dalam PAS dan orang yang berpengaruh di kalangan keluarga Raja Bahrin/Diraja boleh membantu mengatasi salah faham dan prbezaan pandangan antara Raja Bahrin dan partinya.
      
Ambil iktibarlah dengan kejadian terhadap Datuk Seri Ahmad Said yang dibuang Umno dari Menteri Besar. Bertempur sakan dia dan penyokongnya dengan Umno. Jika di zaman Raja Melaka dulu mereka sudah berkeris. Tetapi Umno dan Ahmad Said dapat menyelesaikannya. Umno redha Ahmad Said dan Ahmad Said redha Umno.
      
Umno itu geng sekular. Tidak sama dengan PAS, parti akidah dan dakwah. Eloklah bertemu dan selesaikan salah faham. Malulah pada puak sekular boleh berdamai jika parti akidah tak boleh berdamai.
      
Raja Bahrin sebagai wakil rakyat adalah pemimpin PAS Terengganu. Dia mestilah bejiwa besar sedikit dibandingkan dengan akar umbi PAS yang bekerja dan mengundinya dulu. Raja Bahrin jangan tunggu orang PAS memahaminya. Raja Bahrin pun kena memahami fikiran, budaya, tahap sosial mereka dan lain-lain. Raja Bahin mesti faham sensitiviti orang PAS yang boleh tersinggung jika hubungannya dengan orang yang tidak digemari mereka.
      
Sebagai wakil rakyat PAS, jika hendak menjaga hati semua adalah wajar dan dibenarkan, adalah hal yang penting dan patut, tetapi dia mesti faham, pro PAS mesti ditunjuk dan dizahirkan. Hubungan itu lebih dekat kepada PAS. Hubungan sama jarak pun tak boleh. Apa parti pun di dunia manapun mesti begitu. Itulah adat orang berparti. Lainlah jika Raja wakil Bebas.
     
Raja Bahrin mesti kenal siapa PAS senang dan siapa yang mereka tidak senang. Hari ini rakan orang PAS adalah jelas dan musuh orang PAS juga adalah jelas. MPnya mesti faham PAS dan PAS mesti faham MPnya. - HARAKAHDAILY 12/8/2015

Share on Myspace