Derita kerana ayah, bukan serang ayah

SUBKY ABDUL LATIF | .

MUNGKIN ada yang setuju dengan anak Perdana Menteri Najib, serangan bertubu-tubi terhadap ayahnya tidak sekadar deritakan ayahnya, tetapi akan menyebabkan rakyat menderita.
      
Sebenarnya rakyat sudah pun menderita sebelum Perdana Menteri itu diserang. Derita itu mulanya diwarisi dari pentadbiran politik dan Perdana Menteri sebelumnya.
     
Kedatangan Perdana Menteri baru ini diharapkan dapat mengatasi derita itu, tetapi ia menjadikan yang derita tambah derita dan tidak derita dulu tumpang derita sama.
     
Majoriti rakyat menyambut baik Najib sebagai Perdana Menteri. Bukan keluarga Najib saja suka dan gembira dengan kedatangannya, Dr. Mahahir adalah yang paling gembira. Tindakan dan kemahuannya memungkin Najib jadi Perdana Menteri lebih cepat dari yang dijangka.
      
Semua syok dengan wawasan 1Malaysia dan apa yang diwar-warkannya dengan dasar transformasi mengarah kepada rakyat/negara berpendapatan tinggi. Sebagai mana syoknya rakyat kepada Dasar Ekonomi Baru Perdana Menteri Tun Razak demi membasmi kemiskinan dan syoknya mereka terhadap Wawasan 2020 Mahathir, maka demikianlah terujanya rakyat akan 1Malaysia yang mahu merangsang rakyat berpendapatan tinggi.
      
Apa tidak terujanya mereka justeru Perdana Menteri bercakap dan hendak buat apa yang semua Perdana Menteri sebelumnya tidak cakap dan tidak dapat buat iaiu 1Malaysia rakyat berpendapatan tinggi.
      
Tiada yang menyerangnya bahkan semuanya terpesona dan terpukau.
       
Tetapi syok mereka sekejap saja. Mahathir dulu dikira boros, tetapi PM baru sekelamin berganda dan tidak teringga borosnya. Melambung bajet rumah tangganya dan kerajaan menyebabkan duit negara mengalir ke situ. Bila bajet mengalir banyak ke situ kurang aliran kebajkan dan kepentingan rakyat.
      
Mungkin bertunang dan kahwin anak PM yang bercakap itu kerajaan tidak berbelanja, tetapi bertunang dan kahwin adiknya mengalahkan kahwin anak raja kayangan. Tak usah dikira baksis beli kapal selam Perancis untuk kroni, baksis jet eksekutif baru dan semua projek mega. Jangan dikira lagi skandal Felda, 1MDB dan lain-lain semua menjadikan orang derita dan negara pun derita.
      
Harga barang tidak pernah turun, bahkan naik dari semasa ke semasa. Pendapatan rakyat tidak naik, tapi barang kian mahal. Derita rakyat atas barang naik itu bukanlah disebabkan oleh serangan orang terhadap PM.
      
Semua orang kata GST mendera rakyat. PM seperti bertelinga kuali. Jalan juga. Sebelumnya rakyat sudah menderita, dengan GST derita rkyat berganda.
       
Jika disenaraikan kerja-kerja yang dibuat oleh Perdana Menteri dan kerajaan, yang menyebabkan rakyat menderita, nescaya tidak muat  satu dua lori sepuluh tayar. Demikian tidak terhitungnya kerjanya membeban rakyat.
    
Semua yang dibuatnya serba tidak kena bagi menyenangkan rakyat, tetapi semuanya mengena untuk PM sekelamin.
     
Hutang negara menggunung. Semuanya ditanggung rakyat. Beban hutang 1MDB puluh bilion mengancam kehidupan rakyat dan kedaulatan/kemerdekaan negara.
     
Yang tinggi sekarang bukan pendapatan rakyat tetapi pendapatan PM sekelamin. Sekonyong-konyong dimasukkan ke akaun peribadi banknya RM2.6 bilion. Itu yang orang tahu. Yang orang tidak tahu?
      
Derita rakyat bukan justeru PM dikecam tetapi gara-gara ciptaan PM. Dengan pentadbiran dan kerjanya, dia bukan saja layak diserang, dimaki dan kutuk pun layak. - HARAKAHDAILY 16/8/2015

Share on Myspace