GHB: Iktibar perpecahan mujahiddin Afghanistan

SUBKY LATIF | .

SAYA tidak dapat menangkap maksud penaja pemisahan daripada PAS menimbulkan perpecahan Mujahidin Afghanistan semasa melawan pencerobohan Soviet Union dan selepas pengusiran Soviet dengan masalah rumahtangga PAS hingga mahu menggantikan PAS.
      
Mengapa mereka mahu berpisah tentulah ada kritiknya terhadap PAS. Tetapi dalam ruang yang diberi akhbar, apa yang mereka kritik PAS dan apa perlunya parti baru, menyebutkan kritik tepatnya tentang perpecahan PAS tetapi lebih mengkritik Mujahiddin Afghanistan dan pentadbiran Taliban.
      
Kelemahan Mujahiddin dan kekerasan Taliban itu telah banyak orang tahu dan apa yang hendak disampaikan tentang kelemahan di Afghanistan itu dengan krisis PAS yang mereka adalah antara pelakonnya?
      
Mujahiddin dikatakan mampu mengusir penceroboh Soviet yang lebih perkasa dan bersenjata canggih. Tetapi perpecahan sama sendiri gagal mengisi kemenangan hingga kerajaan merdekanya dikalahkan oleh Taliban yang kurang pengalaman serba serbi daripada mereka. Taliban pula mengisi kerajaannya  dengan pelaksanaan syariah tanpa tolak ansur hingga mereka letupkan rumah berhala purba Buddha yang amat disayangi oleh dunia.
      
Kritikan secara umum itu lebih mengkritik gerakan Islam di Afghanistan dari apa yang mereka tidak senang daripada PAS.
      
Semua setuju bencana yang membinasakan Mujahiddin ialah mereka tidak bersatu. Perpecahan itu bukan saja berlaku selepas Soviet dimalukan, bahkan sejak Mujahiddin itu ditubuhkan ia sudah berpecah.
     
Di ambang kemenangannya mereka ada sembilan pertubuhan yang tidak terikat antara satu dengan yang lain. Masing-masing ada amir sendiri, ada mujahiddin sendiri, ada penyokong sendiri dan lain-lain. Mereka bersetuju untuk membentuk badan gabungan. Dipanggil ulama yang bernaung di Saudi, Rasul Sayaf kembali memimpin badan gabungan itu. Akhirnya badan yang dipimpin Rasul Sayaf itu jadi barisan yang kesepuluh.
     
Mereka gagal untuk mengadakan satu amir untuk semua dan gagal melantik seorang panglima untuk semua. Apabila Soviet tersungkur, mereka ada Presiden tetapi tidak dihormati oleh semua, ada Perdana Menteri tidak ditaati oleh semua, ada Menteri Luar dan lain-lain kementerian tetapi setiap menteri mengisi kementerian dengan kumpulan masing-masing.
      
Perpecahan itu menyebabkan kerajaan tidak dapat mengawal jenayah dan lain-lain kepincangan.
      
Kita tahu betapa perpecahan kepada lebih 10 puak itulah yang menyebabkan, Mujahiddin gagal dan dimudah dikalahkan oleh Taliban yang tidak berpecah tetapi keras dan tiada pengalaman serba serbi.
      
Jika kita tahu kelemahannya kerana ia gagal mewujudkan sebuah jamaah untuk semua, maka apakah bijaknya kita yang sudah sedia ada satu jamaah, maka hendak buat pula yang lain.
     
Mujahiddin itu banyak jamaah asalnya bagi memudahkan masing-masing bergerak di tengah negara yang geografi dan komunikasinya tidak teratur. Maka dibenarkan masing-masing membentuk badan sendiri. Apabila saf tidak lurus dan renggang, masuklah iblis di tengah.
      
Saya yakin mereka tidak merancang perpecahan itu, tetapi ia terjadi begitu. Kita tahu natijah dan keburukannya, maka kita pecahkan jamaah yang satu. Kita tidak belajar daripada perpecahan mereka tetapi kita belajar berpecah seperti mereka.
     
Ustaz Fadzil Noor menasihatkan rakan-rakan di Indonesia, jika boleh sertailah jamaah yang sedia ada, jangan buat parti lain. Semua orang hendak parti Islam sendiri di Indonesia. Akhirnya semua parti Islam itu menjadi penonton dan bukan pemain.
     
Kesnya, tidak puas hati. Tidak puas hati bukan alasan yang baik untuk buat parti lain. Hawa nafsu mudah masuk ke jiwa yang tidak puas hati. Tetapi hawa nafsu kalah pada jiwa yang sabar yang istiqamah. – HARAKAHDAILY 27/8/2015

Share on Myspace