Kalah segugus justeru pertikai kepimpinan ulama

SUBKY LATIF | .

JIKA segugus bintang politik profesional dalam PAS kalah dalam pemilihan pimpinan dalam muktamar yang lalu bukanlah justeru mereka bukan ulama atau wujud dalam PAS sekumpulan anti profesional.
     
Saya lama dalam pimpinan PAS bahkan sepanjang jadi pimpinan PAS itu adalah di bawah kepimpinan ulama. Tidak pernah berbangkit isu ulama dan bukan ulama dalam setiap pemilihan. Tetapi perwakilan sentiasa matang. Masa itu Jawatankuasa yang dipilih 12 orang. Biasanya seimbang yang terpilih antara ulama dan profesional. Kadang-kadang sama banyak enam-enam. Kadang-kadang tujuh ulama, lima profesional. Atau tujuh profesional lima ulama.
      
Mustafa Ali bukan ulama tetapi bertahun-tahun dia jadi Ketua Dewan Pemuda dalam era kepimpinan ulama. Ramai bukan ulama dalam Dewan itu. Ulama seperti Ustaz Hadi dan Ustaz Nakhaie Ahmad , Ustaz Abu Bakar Chik berketuakan dia.
      
Saya bukan ulama tetapi pernah mendapat undi terbanyak dalam pemilihan, kedua terbanyak dan biasa lima teratas. Dua kali jadi Pesuruhjaya Wilayah dan antara yang lama. Ramai ulama dibawah saya. Saya tidak pernah jadi imam tetapi ulama di bawah saya tidak pertikai saya. Sebabnya saya tidak pernah ragu tentang kepimpinan ulama.
      
Semasa Dewan Pemuda tahun 1982 mengusulkan kepimpinan ulama itu kita tahu akan keupayaan politik dan kepimpinan ulama itu. Keupayaan sekarang pun kira-kira sama tetapi konsep itu diketengahkan sebagai satu usaha bagi mendaulat dan memperkasakan ulama yang telah diserang penjajah sejak 500 tahun lalu.
      
Orang masuk PAS masa itu bukan untuk menjadi pemimpin tetapi untuk bekerja kerana Islam bagi mendaulatkan Islam. Dan ulama adalah satu institusi yang Allah dan Nabi-Nya muliakan, maka memuliakan ulama itu moga-moga mendapat syafaat Allah dan rasul-Nya. Dengan iman semua orang kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka duduk di bawah pimpinan ulama, krisis dan kelumpuhan PAS selepas ditendang BN dapat dipulihkan dan ia jadi parti yang disegani.
      
Cara Allah untuk memertabatkan PAS itu ditimpakan-Nya banyak masalah pada Umno dan BN. Menonjol PAS sebagai wadah layak ganti Umno.
       
Allah matikan ramai ulama awal yang meladani kepimpinan ulama itu. Haji Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Noor, Haji Yahya Joned, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Harun Taib dan yang terakhir mati TG Nik Abdul Aziz. Generasi itu yang tinggal TG Haji Abdul Hadi.
      
Selama lebih 20 tahun konsep itu berjalan tiada siapa persoal konsepnya. Semua kira Majlis Syura Ulamak dan beberapa pimpinan ulama dalam PAS Pusat itu adalah kepimpinan ulama. Selepas Ustaz Fadzil meninggal mula timbul dalam kalangan PAS untuk menjadi ganding kepada TG Haji Hadi. Ulama yang ada dirasakan tidak menonjol. Maka lahir idea gandingan Ustaz Hadi tidak semestinya ulama. Politikus profesional yang bukan ulama wajar diberi peluang menjadi Presiden dan Timbalan Presiden dan konsep kepimpinan ulama itu memadai Majlis Syura Ulamak.
      
Yang konservatif dan tidak progresif seperti saya mengira konsep itu tidak memadai Majlis Syura saja. Ia mesti meliputi Majlis Syura dan Presiden serta Timbalan Presiden. Ia menjadi polemik.
     
Ada yang mahu menstruktur semula kepimpinan ulama. Antaranya muktamar 2009 wakil Pahang ke muktamar menyeru supaya konsep kepimpinan ulama ditukar menjadi kepimpinan Islam saja supaya ia memberi peluang kepada bukan ulama jadi pemimpin.
    
Bermulalah pertembungan zahir golongan progresif dan tidak. Bercemperalah muafakat ulama dan profesional. Yang progresif mahu mengantikan ulama kerana ia dikatakan lemah. Proulama pula bangkit menentang yang mengaku progresif. PAS terbagi dua. Yang tak ulama dipercayai tidak mengundi ulama, yang proulama tidak undi yang progresif dan profesional.
     
Kerana proulama lebih ramai, segugus yang progresif itu kalah.... – HARAKAHDAILY 2/9/2015

Share on Myspace