Syabas Jerman, Austria terima hijrah Syria

SUBKY LATIF | .

AKHIRNYA beribu-ribu pelarian dari Syria diterima masuk ke Jerman dan Austria dan dijangka puluh ribu lagi akan tiba ke lain-lain wilayah di Eropah seperti Britain, Perancis, negara-negara Skandinavia dan lain-lain.

Selain semuanya terharu terhadap kesengsaraan yang dihadapi oleh pelarian sepanjang pengembaraan dari tanah tumpah darah ke benua Eropah, tentu juga terharu atas sambutan dan penerimaan rakyat awam setiap negara terhadap perkembangan yang juga boleh dikira satu penghijrahan.
       
Hati orang awam dan properjuangan kemanusiaan orang-orang Eropah tersentuh mendadak oleh satu kejadian seorang kanak-kanak tiga tahun ditemui mati tertiarap di pantai di Turki setelah bot getah yang dinaikinya bersama abang dan ibunya dalam pelarian dari Syria ke Turki dipukul gelombang. Ibu dan abangnya juga maut.
      
Tidak ada siapa dapat memikirkan bot getah adalah kenaikan selamat untuk belayar di laut yang terbentang luas dan bergelora. Tetapi hanya itulah kenderaan yang ada. Sekalipun perjalanan itu amat bahaya, tetapi itu saja cara untuk keluar dari negaranya yang jadi neraka sekarang.
      
Syria sudah bukan jadi tempat selamat bagi mereka, bot getah yang juga tidak menjamin keselamatan, adalah harapan terbaik untuk meneruskan hidup.
     
Kejadian atas kanak-kanak mati tertiarap di pantai itu membuka pintu keluar selamat bagi puluh ribu pencari suaka politik di Eropah. Kehilangan jiwa buat ketiga beranak itu tidak sia-sia, justeru sanak sedarah sedagingnya kini diterima oleh rakyat Eropah.
      
Sebelum tiba ke negara tuan rumah dengan bas dan kereta api, mereka dan anggota keluarga terdekat telah berjalan kaki ratusan kilometer dalam perjalanan itu. Lebih menyolok mata antara mereka mengendong bayi yang belum berjalan.
      
Mungkin hijrah muhajirin dari Mekah ke Madinah zaman hijratul rasul itu sudah cukup teruja, tetapi pemergian muhajirin ini antaranya ikut sama pelarian dari Iraq dan Afghanistan juga tidak kurang getirnya.
     
Syukur atas anugerah Allah yang menyelamatkan mereka dan diterima di Jerman dan Austria, serta England yang menjanjikan untuk menerima 15,000 orang. Terima kasih tidak terhingga kepada rakyat yang prihatin di Eropah kerana belas mereka.
     
Sesungghnya pergolakan di negara-negara Arab itu adalah natijah dasar luar anti Islam negara-negara Eropah pimpinan Amerika. Huru-hara itu mereka yang timbulkan. Atas nafsu Amerika dan Eropah setuju Iraq dan Afghanistan diperang dan duduki.
     
Pelaksanaan dasar perang Amerika dan Eropah itu tidak selesai. Perang di Syria itu adalah sambungan daripada sengsara gara-gara perang di Iraq dan Afghanistan itu.
      
Penghijrahan puluh ribuan warga Syria itu adalah balasan dan kesan dasar ganas barat sejak lebih 20 tahun.
     
Yang hijrah itu adalah orang Islam. Mereka masuk Eropah dalam suasana kuatnya sentimen anti Islam dalam kalangan pelampau. Dalam suasana kuatnya anti Islam itu Allah hantar ribuan orang Islam ke Eropah. Suara benci Islam itu seolah-olah tenggelam di tengah penderitaan pelarian gara-gara Syria terbakar oleh semua jenis senjata api.
     
Negara Arab buat apa hingga dengan hati terbuka Eropah menerima penghijrahan itu? Bangsa Arab masih bercakaran.
     
Malaysia tentu berterima kasih pada Eropah tetapi tidak dapat membantu justeru Asia tenggara berdepan dengan kaum Rohingya yang diusir dari tanah airnya di Myanmar. India tidak menerima oang hanyut itu. Thailand jirannya yang terdekat juga banyak masalah. Ketika Eropah memejamkan mata atas isu Rohingya ini, Malaysia dan Asean terpaksa berehsan kepadanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2015

Share on Myspace