Pak Belalang, siapa derma 2.6 bilion?

SUBKY LATIF | .

SEBELUM tidur asyik memikirkan siapa dan Raja Arab mana yang begitu murah menderma Perdana Menteri Najib 2.6 bilion?

Setelah terjaga saya teringat mimpi tengok filem Nujum Pak Belalang arahan P. Ramlee. Original filem itu mengkisahkan Belalang, anak Pak Belalang membongkar jawapan teka teki antara dua anak itik, yang mana jantan dan yang mana betina dan persoalan jantan kahwin satu, kahwin dua, kahwin tiga dan kahwin empat.
     
Dalam mimpi itu Pak Belalang diberitahu anaknya, pihak mana yang menderma 2.6 juta itu. Raja Arabkah? Anak raja Arabkah? Atau saudagar atau Qarun Arab mana yang amat murah yang memberi derma berbilion itu?
     
Baik Raja Arab atau anak raja Arab atau Qarun Arab dikira orang yang tidak berapa betul otaknya sanggup menderma begitu banyak duit kepada seorang Perdana Menteri.
     
Dan kalau otaknya betul, siapa yang banyak sangat duit? Biasanya orang berderma cuma sebahagian  kecil saja daripada asetnya. Jika zakat hanya 2.5 peratus saja. Adakah orang berderma sampai 15 atau 20 peratus daripada kekayaannya?
     
Kata P. Ramlee dalam filemnya, ‘Jarang....., jarang!’
     
Pernah ada pembesar Arab beberapa belas tahun lalu, Muammar Ghadafi yang memerintah minyak Libya, begitu murah memberi duit kepada orang yang dikehendakinya atau memberi pinjam sebanyak-banyak yang diminta.
       
Contohnya, Tunku Abdul  Rahman Putra hendak membina bangunan Perkim berjuta-juta, awal tahun 70-an dulu. Sebut saja, Ghadafi pun beri. Kemudian datang pula Tun Datu Mustapa yang dicalonkan oleh Tun Razak menjadi Menteri Pertahanan. Dia minta puluhan juta pinjaman selama 25 tahun bagi melengkapkan sistem pertahanan negara.
     
Hari itu juga Ghadafi setuju beri tetapi tidak jadi diambil kerana Tun Razak dikatakan tidak suka pertahanan canggih takut dikata berlumba-lumba dalam persenjataan.
     
Suatu masa datang seorang Presiden Afrika, jika tidak silap beragama Kristian. Entah apa dia dan Ghadafi runding, Presiden Afrika itu masuk Islam. Dia diberi sekitar 10 juta oleh Ghadafi. Bila dia balik ke Afrika, duit dia sapu, dia murtad; kembali ke agama asal.
     
Jika ada orang macam Ghadafi, mungkin dia yang beri derma itu. Itu pun belum tentu.
     
Seorang putera Saudi yang menjadi duta besar ke Amerika. Pernah menawarkan sumbangan 10 juta USD kepada Gabenor New York selepas menara kembar Pusat Dagangan Dunia dilanggar kapalterbang. Gabenor New Yok menolak tawaran kerana tidak mahu pencerobohan yang mengorban ribu jiwa diganti dengan duit.
    
Tetapi tawaran besar itu sekadar 10 juta saja. Tidak sampai 2.6 bilion. Siapa hendak bagi duit berguni-guni kepada seorang pemimpin yang suka bermewah-mewah dan isterinya juga suka berbelanja besar.
     
Tak tahu ke mana pergi derma itu. Banyak mana sangat yang digunakan untuk tujuan derma itu diberi. Takut duit habis untuk tujuan lain.
     
Memang ramai raja dan saudagar Arab yang pemurah suka berderma, terutama kerana kebajikan dan perkembangan Islam. Ada orang Arab berbelanja besar untuk Islam. Tetapi 2.6 bilion adalah jumlah yang luar biasa. Raja Arab yang gila saja derma sebanyak itu.
     
Habis pada pandangan anak Pak Belalang yang berderma itu bukan mana-mana Raja Arab tetapi penderma murah itu ialah 1MDB. Ia lebih pemurah daripada sekalian anak raja Arab.
     
Mimpi saya itu dekat subuh. Biasanya mimpi hujung malam adalah rasukan syaitan. Mimpi masa itu tidak boleh dipercayai. – HARAKAHDAILY 12/9/2015

Share on Myspace