Justeru bai’ahnya PAS tak Islam lagi?

SUBKY LATIF | .

JIKA Mufti Pulau Pinang dan Mufti Perlis ada pandangan lain tentang bai’ah PAS yang isinya tertalak tiga isteri orang yang melanggarnya, ia adalah mereka mufti, ada kelayakan, kuasa dan ilmu untuk berbuat demikian.
     
Apakah mereka tepat atau sebaliknya, adalah perkara kedua. Tetapi mereka ada tauliah untuk jadi mufti. Itu pun tidak pula mereka memfatwakan betapa PAS sudah tidak berjuang Islam lagi.
     
Akan yang bukan mufti, di mana mengajinya dan siapa gurunya telah berani membuat kesimpulan, justeru bai’ah yang sedemikian, maka PAS tidak lagi memperjuangkan Islam atau lucut perjuangan Islamnya.
      
Apa yang mereka buat itu adalah kerja mufti, menentukan haram halal, Islamik tak Islamik sesuatu. Sedang negara sendiri menetapkan yang berkuasa membuat fatwa ialah mufti. Orang alim yang lebih tinggi ilmu dan lebih zuhud dari mufti, tiada direstui mengeluarkan fatwa kerana mereka bukan mufti.
      
Dari segi ilmu dan warak mereka boleh dan layak membuat fatwa, tetapi orang-orang di atas berhati-hati supaya orang tertentu saja ditauliahkan menjadi mufti.
     
Mengatakan bai’ah yang PAS buat itu sudah tidak Islam lagi, ramailah yang hendak menjadi mufti atau semuanya hendak menjadi mufti termasuk orang yang melanggar bai’ahnya sendiri.
      
Bai’ah itu hukum atau suatu kaedah hukum dalam Islam. Yang bai’ah hingga isteri tertalak tiga itu dibuat oleh ulama PAS yang badan tertingginya ialah Majlis Syura Ulama. Mereka mengaji tinggi belaka. TG Nik Aziz, Mursyidul Am semasa bai’ah itu dibuat adalah seorang yang pernah dibayangkan oleh kerajaan Kelantan boleh jadi mufti, justeru Almarhum berpolitik maka tidak berbangkit lagi perkara itu.
      
Anggota lain Majlis Syura Dr. Haron Din, Dr. Mahfudz, Almarhum Tan Sri Azizan Razak, Dr. Daeng Sanusi Mariok adalah bekas pensyarah Islam di UKM, UM dan UIA. Ramai murid jadi ulama kalau tidak kelas tinggi, kelas sederhana. Jangan dikira TG Haji Hadi Awang yang Syeikh Yusuf Qardawi percaya ilmunya bagi menjadi timbalannya dalam badan ulama antarabangsa. Demikian juga Almarhum Datuk Fadzil Noor, Ustaz Harun Taib dan Ustaz Yahya Othman yang kesemuanya berbai’ah semasa menjadi calon pilihan raya.
      
Apakah mereka tidak tahu bai’ah itu dibenarkan. Masing-masing menghabiskan usia, tenaga dan harta berjuang dalam PAS bagi memperjuangkan Islam, maka mungkinkah mereka membuat perkara yang membatalkan perjuangan Islam PAS itu?
       
Mufti-mufti yang ada pandangan lain bai’ah itu pun tidak berani mengatakan perjuangan Islam PAS sudah batal, maka semua orang yang tidak mengaji atau mengaji sekejap, berani membatalkan perjuangan Islam PAS itu.
      
Bai’ah yang dibuat di Kelantan itu dibenarkan oleh TG Nik Abdul Aziz. Tidak dibantah sekian ulamanya, bahkan tidak dibantah oleh sekalian ahli PAS termasuk yang menjadi calon dalam pilihan raya.
      
Orang-orang profesional yang jadi pimpinan PAS Pusat pun tidak membangkitkan dalam mesyuarat. Jika ada yang berpandangan lain tentangnya ialah sesudah adanya isu bai’ah itu dilanggar oleh yang berbai’ah.
     
Saya tidak nampak ahli-ahli ilmu terdebat tentang fiqah politik Islam mengenai bai’ah itu. Jika sesiapa bercadang unuk menjadi mufti bagi membahasnya, eloklah mereka mengambil cuti bagi menguasai ilmu Islam. Sesudah layak bolehlah jadi mufti mendebat isu ini. Jika tidak, mereka bukan jadi loyar buruk tetapi ada pula mufti buruk. – HARAKAHDAILY 13/9/2015

Share on Myspace