Wartawan al-Jazeera tak patut dihalau

SUBKY LATIF | .

STESYEN TV al-Jazeera telah menyiarkan video tentang pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan di dalamnya mengandungi kejadian wartawannya Mary Ann yang melakukan penyiasatan itu ditahan lima jam di airport dan kemudian dihalau ke luar. Dia ke Australia bertemu pula dengan Sirul Azhar Umar yang lari daripada hukuman bunuh atas kes itu.
      
Berikutnya Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan Perdana Menteri yang dikaitkan dengan pembunuhan itu mengulangi  dia tidak terlibat.
      
Tetapi PM Najib dan JPM tidak sekadar berdalih tidak terlibat. Sepatutnya ia mengambil langkah berkesan bagi menyelesaikan kes itu terutama yang membabitkannya supaya dapat meyakinkan dan menenang sekalian yang mengikutinya.
      
Apa perlunya wartawan itu disekat dan dihalau sedang dia datang bagi melakukan penyiasatan bagi membantu menyelesaikan kes itu. Jika Najib tidak ada apa-apa, dia sepatutnya membantu wartawan itu mencari apa sebenarnya yang berlaku.
      
Kes itu sudah dibicarakan. Ada orang yang dihukum. Tetapi ternyata keputusan mahkamah tidak dapat menyelesaikan kes itu. Isu itu terus berbangkit dan Perdana Menteri yan tidak disentuh langsung oleh mahkamah, dan berkali-kali menafikan dia terlibat, tetap bebas daripada tohmah yang mengaitkannya.
     
Tambahan pula Najib, polis dan kerajaan tidak dapat menjawab reaksi Sirul atas hukum bunuh terhadapnya tentang ada orang lain menyuruhnya bunuh.
     
Maka tidaklah PM, polis dan kerajaan secara senang menutup fail atas kes itu semata-mata kerana mahkamah yang membicarakan dan membuat keputusan.
      
Membiarkan tohmah itu tidak berjawab, menjadikan ia satu fitnah dan fitnah yang tidak dipadam segera akan merebak luas. Apabila terus diperkata orang, orang akan mempercayainya.
      
Memang sekarang orang yang tidak tergolong sebagai penyokong tegar Najib percaya dengan tohmah itu. Yang tidak percaya penyokong tegas saja. Dan penyokong tegar itu berkurangan setiap hari disebabkan oleh kerenah Najib yang bersambung dari satu perkara kepada satu perkara lain.
     
Jika usaha memaksa Najib berundur berjaya dalam waktu yang terdekat ini, maka tidak ada lagi yang percaya dia tidak terlibat seperti yang selalu dinyatakannya.
     
Jika Najib sudah tidak menjadi Perdana Menteri, maka tidak banyak lagi yang dapat dibuatnya untuk memadam semua fitnah itu. Setakat dia ada kuasa, tidak banyak yang orang dalam negeri dapat dedahkan apa yang sebenar.
      
Terlalu banyak perkara itu yang belum diketahui. Semua cabang kekuasaan dipercayai dan dikatakan melindunginya. Tetapi apabila tidak berkuasa, tiada lagi perisai yang ada untuk melindunginya.
      
Wartawan al-Jazeera datang kerana dia mendengar banyak cerita. Dia mahu memastikan apa yang didengarnya betul atau palsu.
      
Tiba-tiba dia tidak dibenarkan masuk. Tindakan itu telah menyebabkan semua bertanya mengapa dia tidak dibenakan masuk jika tempua tidak bersarang rendah. Dia tidak berpeluang mendapatkan pejelasan daripada Najib dan orang Najib tentang benar dia tidak terlibat. Orang-orang Najib tidak dapat membekalkan apa yang dia mahu.
     
Ke mana-mana dia pergi, orang mengatakan Najib terlibat.
      
Jika Najib jumpa dia dan orangnya sendiri beri penjelasan yang meyakinkan, mungkin betul dia tidak terlibat.
     
Kerana kelemahan orang Najib tidak berani berdepan dan memberi penjelasan, maka al-Jazeera telah menyiarkan skandal itu. Diikuti oleh seluruh dunia. Dibimbangi yang percaya lebih ramai daripada yang tidak percaya. – HARAKAHDAILY 15/9/2015

Share on Myspace