Barat diserbu Arab

SUBKY LATIF | .

SELAMA sekitar lima tahun proksi barat pimpinan Amerika mendalangi perang saudara di Syria dan beberapa wilayah benua Arab, Turki dikira paling teruk menerima kesan. Ia menampung sekitar dua juta pelarian dari Syria.
     
Jordan dan Lubnan ikut menanggung tempias pelarian itu tetapi Turkilah yang paling terkesan hingga ia tidak tertanggung lagi.
     
Barat – Eropah dan Amerika – mulai buntu untuk meredakan perang saudara itu, jauh lagi dari mengamankannya. Mangsa perang di benua Arab termasuk mangsa perang di Afghanistan sudah meninggalkan negara masing-masing, bukan sekadar tidak nampak ada peluang balik ke kampung halaman, bahkan tidak bercadang balik lagi.
     
Pilihan mereka ialah mengadu nasib kepada kuasa barat yang mendalangi peperangan itu. Ratusan ribu menyerbu negara-negara Eropah, tumpuan utamanya ialah ke Jerman dan beberapa kuasa ekonomi seperti Perancis dan negara Scandinavia – Sweden, Denmark dan Norway.
      
Semua sehelai sepinggang meninggalkan wilayah mereka melalui apa saja saluran, merentas lautan dengan bahtera yang tidak sempurna, hingga ada yang karam, berjalan kaki beratus kilometer merentas mana-mana sempadan yang boleh dijejaki.
     
Bukan suatu yang mudah menyeberang sempadan sesebuah negara sebelum tiba ke negara destinasi. Untuk ke Jerman terpaksa melalui Hungary, Austria dan lain-lain. Ada yang lulus dan ramai yang terhalang dan dipaksa pulang ke belakang.
     
Jerman yang sanggup menerima lebih seratus ribu mulai tidak dapat menampung serbuan yang sudah tiba dan yang sedang dalam perjalanan ke sana.
      
Britain sudah menambah, mulanya sedia beberapa belas ribu, sekarang setuju puluhan ribu. Amerika mulanya membisu. Setelah melihat Eropah mulai tidak tertampung baru ia sedia menerima mangsa yang ia ketua dalangnya.
      
Malaysia ada pengalaman didatangi pelarian Vietnam dan Kampuchea selepas Amerika kalah di Vietnam itu. Setiap hari orang hanyut tiba dari Vietnam. Amerika mulanya diam. Tetapi Apabila Dr. Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri mengugut untuk menembak mana-mana tongkang yang memasuki perairannya, maka baru Amerika datang mengambil mereka.
      
Bila perang Syria tamat tidak diketahui, tetapi berjuta pelariannya sekarang berjalan kaki dan berenang ke Eropah. Apabila negara-negara angkat itu menerima mereka, mereka tidak akan pulang lagi. Mereka akan jadi penduduk baru benua Eropah dan benua Amerika. Yang ke Amerika, ia akan diagih ke Kanada. Apakah Australia dan New Zeland yang suka Amerika itu tidak terfikir untuk menampung sebahagian daripada pelarian itu?
      
Mereka mesti terima sama sahamnya.
     
Kebanyakan bakal penduduk baru dunia barat itu adalah orang Islam. Terfikirkah orang barat untuk menjadi bumi perlindungan kepada orang Islam. Barat kacau orang Islam di negara-negara Islam. Serbuan orang Islam itu pada ketika anti Islam amat kuat di rantau mereka. Macam-macam provokasi mereka lakukan terhadap Islam.
     
Tetapi sekarang Allah hantar orang Islam yang mereka aniaya ke negara mereka. Dalam setengah abad lalu ramai pelarian Islam yang diburu regim Timur Tengah kerana mereka hendak menegakkan semula pemerintahan Islam di negara maasing-masing sudah memenuhi Amerika dan Eropah. Tempias Islam itu sudah pun mereka rasai.
      
Di tengah anti Islam barat itu, warga barat yang tinggi belas dan peri kemanusiaannya, mengalu-alu dan menerima mereka. Yang tiba diberi makan, minum dan pakaian.
     
Mungkin cara Allah hendak meramaikan Islam di dunia barat, digerakkannya hati pembesar barat mengacau bumi dan umat Islam. Dan akhirnya mereka terpaksa bawa balik ke dunia barat mangsa yang mereka ganggu dan ceroboh itu.
     
Tidakkah serbuan itu satu ulangan hijrah Rasul dulu? Akan ada orang putih yang menyambut Muhajirin baru moga-moga menjadi orang Ansar baru. Lagi lama mereka mengacau bumi Islam lagi ramai mereka bawa balik orang Islam ke bumi mereka. – HARAKAHDAILY 30/9/2015

Share on Myspace