Hingga bersayap anjing, Umno tidak sedia

SUBKY LATIF | .

MENGADAKAN persidangan meja bulat bagi membincangkan Pakatan Rakyat yang terbengkalai itu adalah lebih mungkin dihadiri PAS daripada membincangkan PR 2.0.
     
PAS masih sebahagian daripada Pakatan Rakyat selagi ia tidak dibubarkan. Tahaluf siyasinya hanya putus dengan DAP. PR 2.0 adalah isu baru yang PAS tidak lagi mudah menyertainya seperti mengadakan PR yang ada itu.
      
Untuk mengadakan persefahaman baru berikutan perkembangan politik baru selepas muktamarnya Jun lalu, maka mudah disertainya tanpa merujuknya kepada majlis syura atau muktamar khas. Semua perkembangan terbaru menyebabkan PAS tidak membuat keputusan tergesa-gesa.
      
Secaya konvensionalnya sebarang hubungan PAS dengn lain-lain parti mesti dibuat oleh Majlis Syura Ulamak. Demikian juga membatalkan tahaluf.
      
Sebelum wujud Majlis Syura, ketika Datuk Asri hendak mengadakan kerajaan campuran dengan Perikatan, ia diputuskan oleh Muktamar Khas. Tahaluf dengan S46 dibuat dan ditamatkan oleh majlis syura.
     
Ada teknikalnya juga sidang meja bulat itu jika ada DAP. PAS kena minta kelulusan muktamar juga tidak kira tanpa bahas atau bahas. Tapi hubungan dengan DAP itu boleh dibuat seperti hubungan diplomatik antara Malaysia, Singapura dan Israel. Malaysia tiada hubungan degnan Israel, tetapi ia boleh berhubung dengan Singapura yang ada hubungan dengan Israel. PKR boleh main peranan seperti Singapara antara PAS dan DAP.
      
Penyertaan Amanah tidak berbangkit. Penyertaannya mesti disetujui oleh semua. Jika PAS setuju barulah ia jadi ahli.
     
Tetapi yang hendak diadakan ialah PR 2.0. Macam Bersih. Ada Bersih 2.0, Bersih 3.0 dan Bersih 4.0. Apakah lepas PR 2.0 nanti ada PR 3.0 pula?
     
PR 2.0 adalah pertubuhan baru. DAP dan Amanah telah sedia menjadi anggotanya. Di luar fikiran kita ia boleh disertai olah PAS sekalipun seluas mana pintunya tidak tertutup atau pintunya tidak ada penutup.
     
Tiada mantiknya PAS dapat menerima keadaan itu. Macam pemberontakan Umno keluar menubuhkan parti baru seperti S46 atau PKR. Jika ia hendak menyertai BN, sehingga bersayap anjing Umno tidak akan sedia. Apabila Tengku Razaleigh hendak masuk Umno semula, dia terpaksa bubarkan S46.
      
PAS tidak akan keluar daripada Pakatan Rakyat. Ia boleh bekerjasama degnan PKR untuk mempertahankan Selangor. Sekalipun DAP masih ada hubungan dengan PKR tetapi PKR boleh teruskan hubungan dengan kedua-duanya secara berasingan. Pembahagian kerusi ikut cara lalu. PAS tidak bertanding di kawasaan DAP dan DAP tidak betanding di kawasan PAS. Ikut kaedah kerajaan Selangor sekarang; selepas muktamar  Jun lalu.
     
Pengundi PAS boleh mengundi siapa yang dikehendakinya dan pengundi DAP bebas mengundi siapa yang dikehendakinya. Jika PAS rasa Pakatan perlu menang dia undilah calon DAP dan demikian juga pengundi DAP. Hubungan putus di peringkat parti, tidak sampai membabitkan pengundi.
      
Ada parti baru yanag mahu bersama, maka ia adalah masalah antara PKR dan DAP. Jika mereka mahu bersama, maka mereka jangan kacau kerusi yang diperuntukkan kepada PAS, atas murah hati PKR dan DAPlah utuk menentukan kerusi mereka.
      
Kalau masing-masing pasang calon bebas pula di kawasan PAS, maka itu namanya hendak menumbangkan yang ada.
     
Apapun penyertaan PAS dalam PR 2.0 menunggu majlis syura bersidang dulu atau adakan muktamar khas. Kita dengar apa ahli muktamar kata. Pada tarikh yang dicadangkan itu, tidak sempat hendak mengadakan sidang. – HARAKAHDAILY 2/10/2015

Share on Myspace