PKR patut larang KJ keluar PAS

SUBKY LATIF | .

APA boleh buat Datuk KJ – Kamaruddin Jaafar – kembali ke pangkuan Anwar Ibrahim. Dia termasuk seorang daripada kumpulan 18 yang mufarakah daripada PAS. Tetapi pemimpinnya bukan orang daripada kalangan kumpulan 18, bahkan Anwarlah mentornya.
      
Benar seperti nasihat seorang pimpinan pertengahan PAS dari Tumpat kepada TG Nik Aziz ketika KJ baru jadi Ahli  Parlimen Tumpat dulu. Tok Guru bercadang menjadikan dia bendahari PAS Kelantan kerana dia dikatakan seorang korporat semasa dalam Umno dulu.
      
Nasihat pemimpin itu, cermat sikit kerana Kamaruddin adalah orang Anwar. Apa-apa terjadi nanti dia akan bersama Anwar. Tok Guru dengar nasihat itu. Benar. Semasa PAS bermasalah sekarang, dia jadi sirih pulang ke gagang.
       
Apa yang KJ buat dan apa yang PKR lakukan sekarang adalah melaksanakan hak demokrasi masing-masing dan mengamalkan peruntukan perlembagaan untuk semua, tidak ada mana-mana pihak boleh sekat.
       
Tetapi semua pihak mesti kesian dan bersikap adil kepadanya. PKR boleh ambil sesiapa saja daripada PAS seperti menerima orang Umno. Tetapi kalau Anwar dan PKR sayang pada KJ, dalam suasana sekarang, mereka patut larang KJ keluar daripada PAS.
      
Bukan kerana sayang dan setia kepada PAS, tapi KJ adalah terikat dengan bai’ah kepada PAS dan besumpah atas nama Allah tidak tinggalkan PAS selagi idah sebagai wakil rakyat belum selesai.
      
Dengan tindakan KJ itu status nikahnya berkecai. Jika ia tidak diselesaikan, dia dan pasangannya tidak boleh balik ke Kelantan. Nanti didatangi pencegah maksiat. Apakah bai’ah yang Almarhum Tok Guru tinggalkan itu bijak atau sebaliknya adalah perkara kedua, tetapi kaum keluarga KJ ada yang mendengar pendapat ketua hakim syariah Kelantan tentang status Waibi yang melanggar bai’ah.
       
Kita tak usah hirau apa penyokong PAS Kelantan kata, tetapi kita percaya kaum keluarga KJ pun tidak senang menerima KJ datang ke rumah bersama pasangannya.
      
Saya tulis ini buka kerana saya geram dengan tindakan KJ, tapi saya kesian padanya, isterinya, rumahtangganya dan kaum keluarganya.
      
PKR mungkin untung dapat seorang MP percuma. Besar mana sangat untungnya jika dibandingkan dengan fitnah yang KJ hadapi gara-gara terlibat dengan bai’ah itu?
     
Sepatutnya PKR peka dengan masalah yang KJ hadapi dan selamatkan dia dan rumahtangganya. Untung berpemimpinkan Anwar ialah dapat memberi nasihat yang baik kepadanya.
     
Jangan fikir PKR terlepas daripada sebarang fitnah. Tidak cukup dengan fitnah yang dihadapi selama ini, ia akan hadapi pula fitnah menerima seorang MP yang dipertikai status nikahnya.
     
Tak usah peduli sangat tentang PAS. Lantaklah apa nak jadi padanya. Tetapi KJ adalah orang yang setia tidak berbelah bagi pada Anwar. Merestuinya menyertai PKR bukan menyelamatkannya, bahkan merosakkan dia dan keluarganya.
    
Orang PAS lain nak masuk DAPkah dan tubuh  parti komuniskah, lantaknyalah. Tapi KJ adalah setiawan Anwar. Jagalah dia.
     
Jika tidak puas hati dengan bai’ah yang PAS buat itu, tanya Sheikh Yusuf Qardawi akan kedudukan bai’ah.
     
Desas-desus KJ hendak lari daripada PAS telah kencang lama. Polemik melanggar bai’ah dan status nikah sudah lama timbul. Rakan KJ patut sudah lama ingatkan dia akan risiko meninggalkan PAS.    
     
Tak usah diungkit betapa KJ tak dapat jadi MP melalui Umno. Dalam PAS dia jadi MP. Tiada peluang itu lagi dijangka melalui PKR. Yang semua patut insaf ialah bagaimana hendak menyelamatkam KJ selepas fitnah rumahtangganya sekarang. Inilah prihatin saya sebagai orang yang kasihkan dia. – HARAKAHDAILY 5/10/2015

Share on Myspace