Raja Muda Selangor tidak murtad

SUBKY LATIF | .

SYUKUR dan melegakan. Raja Muda Selangor, bakal satu hari nanti jadi ulil amri Selangor disahkan oleh Dewan Dirajanya masih Islam, tidak murtad seperti yang dibangkitkan oleh Tan Sri Rahim Tamby Chik dalam Facebooknya 25 September.
      
Rahim membangkitkan apa yang termuat dalam portal luar yang mengatakan waris takhta Selangor itu murtad dan telah dinafikan oleh KPN setahun lalu.
      
Kekeliruan tentang akidah putera itu kini telah selesai dan apa pula perkembangan selanjutnya terhadap Rahim kita sama-sama tunggu.
     
Saya bukan peguambela Tan Sri Rahim, tetapi apa yang berbangkit itu adalah menyatakan peri prihatinnya umat Islam Malaysia tentang akidah umat apa lagi akidah Orang Bergelarnya.
     
Tan Sri Rahim tidaklah dikenali sebagai seorang yang warak dan tinggi prihatinnya tentang Islam dan pegangan Islam umat. Tidaklah seperti kepekaan Almarhum TG Nik Aziz atau seperti kesedaran Islam DS Anwar Ibrahim. Tetapi dia juga sensitif jika umat Islam menukar akidah, apa lagilah kalau yang terlibat itu orang besar, orang ternama dan Orang Bergelar yang nantinya menjadi Ketua Agama Islam di mana-mana wilayah jua.
      
Isu dia tidak cermat membangkit sesuatu yang diragukan kesahihannya, adalah kelemahannya, tetapi sebagai seorang Islam kita mahu Islam orang seorang, Islam masyarakat dan Islam negara terpelihara. Apakah Rahim sudah memberi jiwa raganya untuk itu adalah hal lain, tetapi satu daripada sasaran maqasid syariah yang terabai di negara merdeka ini ialah bagi memelihara agama dan akidah umat – orang seorang, masyarakat dan negara.
     
Selama seratus tahun ini orang Melayu – raja-raja dan rakyatnya – kurang prihatin dengan pendidikan agama anak-anaknya. Hanya pak-pak lebai yang mewakafkan anak-anaknya untuk jadi imam, membaca talkin dan tahlil apabila ada kematian termasuklah kemangkatan.
     
Hanya seabad setelah Islam masuk semenanjung tahun 1409, raja-raja Melayu dan rakyat semua lapisan peka akan generasi terkemudian dilengkapkan dengan pengetahun Islam yang sempurna, justerunya tidak pelik jika raja dan pembesar jadi khatib dan imam.
   
Apabila timbul kesedaran orang Islam tentang pelajaran dan ilmu pengetahuan, sekaliannya berdahulu-dahuluan menghantar anak ke sekolah orang barat. Raja-raja dan pembesar mahu anaknya jadi peguam, doktor, ada ijazah bahkan ada PhD.
     
Tidak peduli sangat generasi terkemudian memelihara akidah dan ibadat. Raja itu ketua agama orang Islam. Dengan didikan yang ada tidak dipastikan waris takhta lengkap atau tidak pengetahuan agamanya.
      
Para khalifah selepas Khalifah ar-Rasyidin dulu mengasingkan anak-anaknya dan anak rakyat bagi menuntut ilmu. Orang ke sekolah pondok dan madrasah. Khalifah mengambil alim ulama untuk mengajar anak-anaknya di istana. Mereka prihatin atas pendidikan agama putera-puteranya.
      
Tidak diketahui para baginda Melayu ada membekalkan pendidikan cukup unuk putera-putera masing-masing seperti yang dituntut oleh maqasid syariah. Jika Orang Bergelar dapat jadi seperti ayahanda Sultan Ahmad Fatih Turki mendidik Tengku Ahmad Fatih lebih alim dan lebih soleh daripadanya, maka tidak berbangkitlah tentang keraguan akidah umat.
     
Amat bertuah rakyat jelata dapat ulil amrinya bukan sekadar menguasai ilmu ketenteraan yang tinggi, tetapi disediakan bakal ulil amri itu dengan ilmu Islam yang menjadikannya lebih tahu agama daripada muftinya.
     
Apa jadi pada Rahim, dia tidak akan jadi ulil amri. Ulil amri yang ada kekurangan itulah yang melahir generasi seangkatan Tan Sri Rahim, maka mungkin Rahim menimbulkan isu menggemparkan itu, tidak mahu lagi bersambung generasi sepertinya, lalu dia mahu ulil amri seperti Sultan Ahmad Fatih. – HARAKAHDAILY 7/10/2015

Share on Myspace