Sultan Perak layak tegur pemimpin

SUBKY LATIF | .

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah telah mengingatkan para pemimpin supaya amanah dan integriti jika mahu terus dipercayai dan dihormati oleh semua.
      
Tentu ada batang hidung sesiapa yang dituju baginda, tetapi ingatan baginda itu adalah umum kepada semua. Pemimpin itu adalah meliputi raja-raja, menteri bahkan ketua rumah tangga iaitu suami.
      
Ingatan itu bukan daripada baginda saja, tetapi menyambung apa yang Allah dan rasul-Nya seru untuk hamba-Nya dan umat. Pesan Nabi setiap pemimpin – Raja, menteri,  suami dan lain-lain – akan ditanya pelaksanaan amanah dan integriti masing-masing.
      
Pemimpin masa ini amat bercelaru amanah dan integritinya. Apabila orang tegur orang berkuasa, orang berkuasa dan juak-juaknya akan kata ia bermotif politik. Kalaupun orang awam berani, dia boleh tegur had Perdana Menteri saja. Istana tidak boleh ditegur. Ia akan melibatkan kesetiaan dan hasutan.
      
Apabila Sultan Nazrin tegur, baginda ada kelayakan untuk tegur semua termasuk Raja dan orang politik. Dan teguran baginda itu tentulah dengan kesedaran bahawa ia juga adalah mengingatkan diri baginda juga.
      
Adapun pemimpin yang amanah dan berintegriti itu tidaklah terjadi begitu saja. Hanya para nabi yang tanpa didikan sesiapa selain Allah. Yang lain adalah didikan yang diterima sejak kecil dari ibu bapa dan guru-guru serta dari persekitaran masyarakat.
     
Jika ibu bapa tidak dapat menunjukkan disiplin adab yang baik, maka payahlah anaknya jika jadi pemimpin untuk menjadi pemimpin yang amanah dan bermaruah. Apa lagi bagi masyarakat yang penuh rasuah dan penyelewengan, ajaiblah jika anaknya jadi pemimpin yang berakhlak dan amanah.
     
Dalam masyarakat moden, terbuka dan bebas, ibu bapa sudah jadi pendidik yang penting kepada anak-anak, maka ibu bapa yang berakhlak dan amanah pun tidak mampu mendisiplinkan anaknya.
     
Mungkin ibu bapa dapat kawal anak-anak di rumah. Tetapi anak-anak kini tidak terkurung di rumah saja. Mereka keluar bagi menuntut ilmu dan lain-lain kegiatan. Di luar rumah, justeru sistem dan suasana yang ada penuh dengan pancaroba, disiplin ibu bapa hanya laku di rumah tetapi tidak bagi anak yang terdidik di luar rumah.
     
Apa yang dapat mengawal dan mendidik anak-anak yang nantinya jadi pemimpin ialah sistem pendidikan Islam yang dibekalkan oleh Nabi dulu. Pendidikan Islam dan segala disiplin adabnya, menjamin para pemimpin itu rata-rata amanah dan berakhlak mulia.
     
Dengan sistem pendidikan yang diwarisi dari barat, yang matlamatnya menjadi orang pandai saja, tetapi tidak menitikberatkan akhlak, nescaya payah dan jarang-jarang beroleh insan yang amanah dan bermaruah. Jika dari sistem itu muncul pemimpin yang amanah dan berintegriti, ia bukan hasil daripada sistem pendidikan itu, tetapi ia terjadi dengan tidak sengaja. Justeru Allah pelihara dia tetapi dia bukan di kilang daripada sistem pendidikan itu.
      
Kilang pimpinan yang amanah dan bermaruah mulia adalah daripada pendidikan yang membina rohani dan jasmani umat, menjadikan produknya cintakan pahala dan takutkan dosa. Sistem pendidikan ini menjadikan muridnya beriman dan taqwa. Dia tekun dengan kerjanya bukan kerana ada mandur di hadapannya, tetapi dia tahu dia diperhatikan Tuhan.
     
Dia tidak rasuah bukan justeru kawalan SPRM dan polis, tetapi takutkan azab Allah di dunia dan     akhirat.
     
Sultan Nazrin boleh sampaikan seruan, tetapi pemimpin yang tidak berakhlak sekadar dengar tetapi tidak terasa untuk menghayatinya. Seruan yang baik itu hanya terpakai dengan menukar sistem. Jika sistem tidak ditukar, pemimpin tidak amanah akan digantikan oleh yang tidak amanah juga. – HARAKAHDAILY 9/10/2015

Share on Myspace