Orang bergelar solat tak rapat saf

SUBKY LATIF | .

SEMUA Harian menyiarkan gambar Orang Bergelar – pembesar istana dan pembesar negeri/negara - solat  Aidiladha di masjid utama negeri masing-masing.
     
Saya hayati setiap gambar dan wajah orang-orang di saf  depan. Saya hendak tahu di mana nilai berita bagi setiap gambar. Itulah kerja saya selama menjadi wartawan selama 50 tahun, mencari seni berita setiap gambar.
      
Saya jumpa seni berita dalam kebanyakan gambar yang tidak diberitakan oleh setiap surat khabar.  Kebanyakan pembesar itu renggang safnya. Tidak bersentuh bahu dengan bahu. Hanya pegawai masjid yang berpakaian seragam di sebelah kiri imam rapat bahu dan tumit masing-masing. Ada pun orang bergelar berdiri pada sejadah masing-masing kira-kira sejengkal renggang antara satu sama lain.
      
Solat seperti itu sah tetapi tidak seperti yang Nabi anjurkan bagi setiap makmum. Di mana-mana solat berjamaah, imam sentiasa mengingatkan makmum, ‘Rapatkan saf dan luruskan saf.’
      
Nabi arahkan dulu setiap makmum tidak merenggangkan saf barang seinci jua. Tidak baginda mulai solat kiranya ada yang tidak rapat. Saidina Umar al-Khatab nescaya disergahnya siapa yang tiduk ikut disiplin saf itu kerana pada jarak kerenggangan itu berebut-rebut syaitan mencelah. Di celah-celah itu syaitan rapat-rapat. Kita saja yang tidak rapat.
     
Imam sepatutnya perhatikan makmum di belakangnya. Tidak sekadar menyeru lafaz ‘rapat dan luruskan saf’ tetapi  tegur setiap yang merenggangkan bahu antara satu sama lain.
     
Dalam solat, imam adalah raja. Raja-raja bukan raja pada masa itu. Tidaklah dikata imam itu tidak beradab jika dia menegur raja dan menteri yang tidak bersentuh bahu dan bengkang-bengkok safnya.
     
Kerja mufti dan penasifat agama menasihat raja-raja supaya elok safnya. Bukanlah lama menasihatkan raja-raja untuk membetulkan solat orang-orang bergelar itu. Sekadar untuk melurus dan merapatkan saf mamadai seminit saja.
     
Kita tahu bahawa kebanyakan anak para pembesar dulu belajar di Eropah. Pengetahuan agamanya  tidak dipastikan.
     
Bukan macam para khalifah dulu. Bakal raja dan anak-anak mereka mengikuti didikan khas di istana. Anak-anaknya tidak memondok bersama orang lain. Khalifah panggil guru khas mengajar anak mereka di istana. Khalifah  pastikan anaknya mendapat didikan agama sebelum anak-anak itu naik takhta.
     
Jika guru-guru agama raja adakan asuhan sedemikian, tidaklah masing-masing menjarakkan diri dengan makmum di sebelahnya.
      
Sebagai pengkritik masyarakat, saya buat teguran ini supaya orang-orang bergelar itu elok ibadatnya. Kerana mufti tidak tegur, biar saya tegur. Bukan saya hendak mencemarkan orang-orang bergelar, tatapi setiap orang Islam itu saling tegur-menegur dan saling nasihat-menasihati.
      
Jangan kata saya sengaja hendak mencemarkan orang lain. Tegur saya itu adalah justeru kasih dan sayang kepada semua, apa lagilah raja dan menteri yang menentukan pimpinan umat dan negara.
      
Untuk solat Aidiladha ini PM Najib solat di New York. Dia tidak di saf depan. Dia di celah lain-lain makmum di saf belakang. Kerana semuanya berhimpit-himpit, elok safnya. Jangan balik nanti bila berada di saf pertama renggang juga bahunya dengan yang lain.
      
Nilai berita semua gambar itu bukan raja-raja dan menteri itu solat, tetapi safnya renggang. – HARAKAHDAILY 12/10/2015

Share on Myspace