TPP adalah zalim

SUBKY LATIF | .

SEMUA kata perjanjian Perkongsian Trans Pasifik – TPP – adalah merugikan Malaysia khususnya kaum Bumiputera yang masih berhempas-pulas untuk mencapai hak keadilan ekonomi dan sosial sesama rakyat Malaysia.
      
Yang mengkritik TPP dan suruh kerajaan tolak bukan daripada para prihatin dalam negara saja bahkan pakar ekonomi dari Amerika sendiri mengira perjanjian itu adalah direka demi kepentingan saudagar besar Amerika dan Malaysia adalah antara negara yang hendak diperangkap.
      
Antara keburukannya, saudagar Amerika yang terlibat dalam sebarang pelaburan boleh menyaman kerajaan Malaysia jika dirasanya ada sebarang kejadian yang menjejaskan kepentingannya. Kemudahan dan peluang mereka menyaman adalah lebih mudah.
     
Mereka boleh mengelakkan daripada mematuhi sebarang tuntutan kerajaan kepada mereka jika ada perkongisan itu nanti boleh merugikan Malaysia.
     
Saudagar Amerika adalah berganda modalnya daripada syarikat dalam negeri, menyebabkan kita tidak mampu bersaing dengan mereka.
     
Seperti yang orang semua kata, TPP akan menyebabkan rakyat Malaysia menanggung beban ubat yang tinggi dan Malaysia belum berdikari dalam menyediakan semua ubat yang diperlukan.
     
Apabila bersetuju diperangkap oleh perjanjian yang tidak adil itu, maka itu namanya Malaysia menzalimi dirinya sendiri. Semua beban biasanya ditanggung oleh rakyat dan pengguna. Kerajaan hanya tolong buat kerja untuk rakyat dan sebarang beban kerajaan akan dipulangkan kepada rakyat dan rakyatlah yang memikul.
      
TPP adalah mengulangi beberapa kezaliman menjual kedaulatan rakyat dan negara kepada orang luar. Antaranya perjanjian menyerahkan Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada British oleh Sultan Kedah. Kedua, menjual Singapura kepada Reffles oleh Sultan Johor. Ketiga menjual Perak melalui perjanjian Pangkor kepada British. TPP ini adalah menjual kemerdekaan.
    
Ketika semua perjanjian dulu dibuat semua bumi kita adalah kepunyaan raja.  Demokrasi belum ada. Tiada siapa ada hak membantah kerana raja adalah undang-undang. Sekarang rakyat ada hak menegur dan membantah kerajaan. Jangan kerajaan yang dipilih itu buat kerja bodoh seperti raja-raja yang tidak pernah sekolah dulu.
      
Semua kerja yang merugikan rakyat dan negara dikira zalim. Zalim itu bukan kekejaman seperti  Raja Bersiong saja dan seperti sikap Almarhum mangkat dijulang saja. Meluluskan undang-undang menyebabkan rakyat menanggung perbelanjaan hidup yang tinggi juga satu kezaliman. Menjual tanah dengan harga yang mahal kepada Tabung Haji satu kezaliman. Membeli bangunan yang amat mahal untuk Mara di Australia juga zalim.
      
Kezaliman Raja Bersiong dan Almarhum Mangkat Dijulang jadi kecil dibandingkan dengan zalim menyetujui TPP. Kekejaman Raja Bersiung berakhir apabila raja itu hilang takhta. Zalim Almarhum Mangkat dijulang berakhir apabila Almarhum itu mangkat. Tetapi zalim TPP tidak berakhir apabila semua kerajaan dan pemimpinnya mangkat, tidak kira mereka menandatangani TPP atau mengkritik TPP.
    
Setiap yang zalim iu keras ingatannya daripada al-Quran. Ayat 112 dari surah Hud merakamnya, jangan cenderung kepada kezaliman, nanti akan disambar api neraka.
    
Jika TPP boleh disabitkan zalim, maka yang menyokong dan yang setuju menempah untuk       disambar api neraka. Bagaimana yang terlibat berunding dan menandatanganinya? Nescaya menggelegaklah dalam kawah neraka.
     
Nasib baik dan selamat kalau TPP tidak termasuk perkara yang zalim. Kalau zalim jadi macam ikan bakarlah. – HARAKAHDAILY 13/10/2015

Share on Myspace