Cerdiknya Pakatan Harapan Terengganu

SUBKY LATIF | .

SEBAIK saja Pakatan Harapan diisytihar wujud bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang belum disahkan berkubur, maka Terangganu mendahului yang lain membuat persefahaman.
     
PKR, DAP dan parti baharu yang berpecah daripada PAS mengambil persetujuan ia tidak akan terlibat dalam pertandingan tiga penjuru sesama parti pembangkang dalam mana-mana pilihan raya di negeri itu – PRU atau PRK
      
Adalah dipercayai pimpinan muafakat di negeri yang agak menonjol ialah Raja Bahrin, MP Kuala Terengganu yang juga ditauliahkan pengerusi Amanah negeri itu.
      
Raja Bahrin ada nama dan adalah seorang kerabat istana yang turun ke bawah untuk menjadi pemimpin rakyat. Payah cari anak raja boleh turun ke bawah selepas Tunku Abdul Rahman Putra dan Tengku Razaleigh.
       
Dia ada nama tetapi kepimpinan politiknya belum ada. Sekalipun sudah dua tahun jadi MP PAS, kepimpinan politiknya belum berbunga. Pengalaman politiknya yang sebenar baru bermula dengan menjadi ketua parti baharu itu di Terengganu.
     
Tindakan politik mereka yang pertama ialah bersetuju sesama parti pembangkang tidak terlibat dalam pertandingan tiga penjuru mana-mana pilihan raya di negeri itu.
      
Adakah ia satu langkah yang tepat dan setiap pilihan raya itu nanti akan jadi satu lawan satu?
     
Adakah ia kira depa saja pembangkang dan PAS sudah tidak wujud. Seolah-olah PAS sudah bersama mereka atau PAS sudah mati?
    
Ternyata persetujuan awal itu ia digambarkan tidak cerdik. Jika keputusan itu dipengaruhi oleh Raja Bahrin, nyatalah ia satu keputusan politik yang rendah.
     
Mereka mesti akui bahawa politik di Terengganu tidak bebas daripada PAS. Jika PAS tidak diakui wujud, ia adalah politik khayal. Pertandingan satu lawan satu dengan BN di Terengganu tidak akan terjadi justeru adanya PAS yang terpisah dari muafakatan baharu pembangkang.
     
Sejak pilihan pertama tahun 1955, PAS bertanding semua kerusi di negeri itu kecuali ketika ia berada dalam BN tahun 1974 dan Pakatan Rakyat PRU13 lalu. Lazimnya di kawasan DUN Bandar di Kuala Terengganu yang ramai bukan Islam itu pun ia bertanding dan ia pernah menang di situ lebih dari sekali.
      
Tiada siapa dapat menghalang kali ini PAS tidak bertanding lagi di kawasan itu. Saya tidak nampak bagaimana Adun tunggal PKR Terengganu dapat mengelak daripada pertandingan tiga penjuru jika ia tidak cepat-cepat berkira dengan PAS seperti yang sedang difikirkan oleh PKR  Selangor sekarang.
       
PAS belum mati dengan tertubuh parti baharu oleh orang PAS sendiri dan tidak akan mungkin PAS bersekutu dengan Umno selagi anjing tidak bersayap. Maka bagaimana DAP, PKR dan Raja Bahrin hendak mengelakkan pertandingan tiga penjuru itu?
     
Apa yang pembangkang semua parti perlu fikir sekarang ialah PAS akan meletak calon di semua kawasan. Apakah ia akan mengalahkan BN kali ini? Entahlah. Mungkin dengan muafakat baharu Pakatan Harapan, PAS akan kalah semua kerusi. Kalau PAS kalah semua, apa harapan untuk muafakat baru itu untuk buat lebih baik daripada PAS?
     
Teori dan harapan golongan pemisah PAS ialah rakyat yang sudah hilang kepercayaan kepada Umno dan tidak yakin pada PAS akan memihak kepada kumpulan pemisah yang meneruskan kerjasama dalam Pakatan dulu.
     
Tetapi pembangkang selain PAS tiada pemimpin di Terengganu. Yang ada ialah Raja Bahrin. Tetapi Raja Bahrin dilihat sama seperti Tunku Abdul Rahman Putra semasa mula mengambilalih Umno daripada Datuk Onn dulu. Tiada yang yakin padanya. Tiba-tiba dia membuat keajaiban. Adakah Raja Bahrin akan mengulangi keajaiban Tunku? Entahlah! Entahlah! – HARAKAHDAILY 13/10/2015

Share on Myspace