Dilema bacaan Quran kuat dini hari

SUBKY LATIF | .

MEMBACA al-Quran menggunakan pembesar suara dini hari di masjid-masjid sudah menjadi isu yang dipolemikkan, lantas Mufti Pulau Pinang membuat fatwa, azan dan iqamah dipertahankan tetapi bacaan Quran yang bergema itu dihentikan.
     
Ia berikutan sungutan masyarakat yang baharu merasa terganggu oleh suara lantang pembesar suara yang bukan seminit dua akan tetapi boleh sampai setengah jam. Masa itu adalah waktu yang paling selesa tidur. Laungan itu mengganggu tidur masing-masing.
      
Amalan membaca Quran dini hari atau menjelang waktu subuh sudah berjalan lama dan sejak teknologi mikrofon dicipta, masjid-masjid yang berduit menggunakan kemudahan itu. Mungkin masa itu kediaman dan pendudukan bukan Islam tidak banyak dekat masjid dan surau. Meskipun ada jiran bukan Islam dekat masjid dan surau, suasana itu diterima.
      
Tetapi apabila bandar bertambah sesak dan orang bukan Islam mulai jadi majoriti, gangguan pembesar suara itu terasa. Kebetulan sungutan itu terjadi setelah berlaku perubahan politik di Pulau Pinang. Sama ada ia disunguti justeru sentimen baharu politik atau ia dibangkitkan tanpa sebarang sentimen politik, ia mudah membangkitkan emosi perkauman yang tidak pernah padam itu.
     
Timbul persoalan. Mengapa sejak 200 tahun ia tidak bising dan tiba-tiba ketika pembangkang hampir sampai ke Putrajaya, ia jadi isu?
      
Usah kita perbesar isu itu atas sebab apa-apa sentimen – perkauman atau keagamaan. Mungkin kuasa politik pembangkang di Pulau Pinang merasa kuat, maka ia bersuara atas perkara itu.
     
Tetapi kita mungkin tidak sedar dan tidak ingat perkara yang sama pernah dibangkitkan oleh Almarhum Sultan Selangor ketika Shah Alam baru dibuka dulu. Kota yang cepat berkembang tumbuh banyak dengan surau dan masjidnya. Justeru pengunjung surau dan masjid orang berduit, mereka melengkapkannya dengan pembesar suara dan bilal meneruskan amalan membaca quran sejak dari zaman Melaka mula Islam dulu. Tapi kali ini memanfatkan pembesar suara. Tujuannya adalah utuk menggerakkan orang yang sedang tidur agar bangun dan cepat-cepat ke masjid.
     
Kerja itu sejak Islam ada dilaksanakan oleh ayam jantan. Sekarang tiada ada reban ayam di bandar-bandar. Baik ayam berkokok atau tidak subuh tetap datang.
     
Bisinglah Shah Alam di sana sini bersahut-sahutan dengan bacaan Quran dari pembesar suara. Maka pernah Sultan ketika itu bersungat supaya pembesar suara tidak digunakan. Justeru yang mentakwil itu raja dan media baru belum ada, ia tidak dihebohkan. Tetapi saya ada mengulas sungutan baginda.
     
Puluh tahun kemudian, ia dibangkitkan pula di Pulau Pinang. Yang pertama melenting ialah Datuk Seri Zahid Hamidi yang ketika itu belum jadi Timbalan Perdana. Tok Guru Nik Aziz masih menjadi Menteri Besar Kelantan.
      
Komen Tok Guru atas sikap Zahid ialah azan dikehendaki lantang supaya boleh didengar sejauh-jauhnya. Tetapi membaca Quran kuat dini hari tiada disyariatkan. Mungkin itu sebabnya tiada bacaan Quran dengan mikrofon di Masjidil Haram dan Masjid  Nabawi di Madinah. Yang ada azan dan iqamah. Zahid senyap dan isu itu padam.
     
Tiba-tiba jadi isu semula apabila pihak berkuasa Islam Pulau Pinang membuat panduan sesuai dengan yang pernah dikomen oleh Tok Guru Nik Aziz itu.
      
Yang bersungut tentang gangguan kuat mikrofon itu bukan Cina yang sedang tidur nyenyak di luar masjid itu saja, ahli ibadat yanag datang awal beriktikaf di majid pun rasa terganggu wirid dan zikir oleh suara nyaring itu. Meraka mahukan suasana sunyi dan hening itu dini hari itu agar munajat mereka tidak terganggu.
       
Apa pun bantahan atas mikofon yang dibuat atas sentimen tak senang Islam, tidaklah menggembirakan, tetapi nasihat ia bukan daripada syariat, patut diketahui oleh orang Islam, supaya amalan masing-masing ikut syariat. – HARAKAHDAILY 14/10/2015

Share on Myspace