Syabas Husam mahu mati dalam PAS

SUBKY LATIF | .

SEKALIANNYA patut bersyukur kerana Husam Musa berazam untuk mati dalam PAS sama seperti Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Fadzil Noor telah dapat mati dalam PAS.
      
Kenyataan pertamanya tentang sikapnya itu setelah kira-kira setengah tahun PAS dalam suasana berpecah. Amat baik buat PAS setelah dia dikait antara yang hendak meninggalkan PAS. Keputusannya adalah bijak.
       
Sepatutnya bukan Husam saja patut mati dalam PAS. Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan yang lain-lain yang membentuk jamaah sendiri itu juga patut mati dalam PAS. Tan Sri Mohamad Mohd Taib yang baru dua tahun masuk PAS tidak patut mati di luar PAS.
     
Pada muktamar di Kuala Selangor Mei lalu telah diisytiharkan ahli PAS yang ke sejuta. Biar sejuta itu mati dalam PAS.
      
Tetapi mengapa Husam mengambil masa setengah tahun untuk memberitahu dia tidak termasuk orang yang hendak keluar daripada PAS?
       
Dia bukan calang otak dalam PAS. Lebih daripada lima tahun saya memerhatikan, semasa TG Nik Aziz masih lagi Menteri Besar Kelantan, Husam adalah antara pemimpin PAS yang yang otaknya teratas berkelas dunia. Hal dia tidak kekal sebagai Exco selepas PRU 13 adalah hal yang lain. Anwar Ibrahim yang otak tertinggi dalam Umno pun belum jadi Perdana Menteri. Tiada cacat dan kurangnya otak mereka. Nasib tidak menyebelahnya.
       
Di mana saya pergi saya terasa amat ketara anak muda dalam PAS dan yang di luar PAS melihat Husam sebagai pemimpin PAS yang kelas.
      
Tetapi mengapa dia mengambil masa begitu lama bagi menyatakan sikap hingga ribuan orang telah keluar daripada PAS, hingga lain-lain pimpinan kanan PAS yang mengaku progresif menubuhkan parti sendiri?
      
Dia mungkin tidak berupaya menghalang orang lain meninggalkan PAS, tetapi dia patut nyatakan dari awal betapa mati dalam PAS itu adalah betul supaya orang yang menghormatinya tidak keluar daripada PAS. Kebanyakan yang keluar itu menghormati pandangannya. Jika dari awal dia kata keluar menubuhkan parti sendiri itu tidak betul, maka mereka akan berfikir dua kali.
       
Kira-kira benar dia telah terfitnah dikaitkan dengan orang yang telah terkeluar itu. Politik tidak mudah terpisah dengan persepsi, bahkan persepsi itu asam garam politik. Maka fitnah terjadi gara-gara persepsi. Fitnah juga kadang-kadang terjadi atas tindakan dan sikap kita. Lambat membuat sikap mendedahkan kepada fitnah. Cepat memberi reaksi pun mudah ditumpang fitnah juga. Kita marah fitnah tetapi kita hendak kata apa kalau kita dedahkan diri dalam fitnah.
     
Ketika PAS diambang krisis. Demokrasi membenar pertandingan dalam semua jawatan dan demokrasi juga tidak melarang pimpinan digantikan. Apabila ia dipraktiknya fitnah pun masuk. Apa boleh buat?
     
Tuan Ibrahim orang pertama dicalonkan mencabar Presiden. Serta merta dia menolak. Fitnah tertutup. Husam orang kedua dapat banyak pencalonan Presiden. Hari tutup pencalonan baru diketahui sah dia penolak pencalonan. Fitnah sudah pun masuk.
       
Apabila orang seprogresif Husam sibuk mencari parti lain, Husam tidak cepat menyatakan jangan buat begitu. Apabila orang-orang rapatnya menubuhkan PASMA – parti dalam parti – Husam tidak tegas  menentangnya. Sebagai Naib Presiden dia mesti menentangnya. Orang yang setia pada parti cepat menghalangnya.
       
Biasanya dalam politik Husam cepat, tetapi dalam isu orang memecahkan jamaah dia lambat. Sepatutnya dia gunakan kepintaran yang dianugerah kapadanya menghalang rakan-rakan yang lain mencari mati di luar PAS. Apa pun Husam mesti gunakan apa yang ada padanya pertahankan PAS daripada terus cedera. – HARAKAHDAILY 19/10/2015

Share on Myspace