Jabatan Peguam Negara tambah fitnah 1MDB

SUBKY LATIF | .

MENJELANG Hari Natal, tempoh akhir yang PM Najib beri bagi menyelesaikan skandal dan fitnah 1MDB sepatutnya fitnah bertambah reda kerana tarikh akhir yang dia beri kian dekat. Bayangan selesainya kian nampak.
      
Bukan orang ramai saja prihatin dan tidak sabar menunggu cadangan yang dikatakan itu. Mesyuarat Majlis Raja-Raja pun tidak sabar menunggunya hingga terpaksa mengeluarkan nasihat segera selesaikan.
      
Orang lain tidak sabar macam-macam pro-Najib dan prokerajaan boleh tempelak, tetapi jika mesyuarat Raja-Raja pun mencelah isu yang berpuaka itu, apa kita hendak kata? Tempelak jugakah?
      
Maka tidaklah wajar ditakwil pesan Raja-Raja itu. Para Duli penjelasan terkini dari kerajaan tentang penyelesaian itu tetapi Raja-Raja pun prihatin dan kenyataan yang dikeluarkan itu adalah tanda kebimbangan yang amat sangat dan ia adalah tekanan supaya tempoh penyelesaian hujung tahun itu tidak menjadi angin kosong yang menambah jerebu.
      
Biarlah ia lebih cepat selesai dari jerebu.
      
Banyak isu yang menjolok mata selain jerebu seperti beban kos hidup yang bertambah, kejatuhan nilai ringgit, hutang negara yang mencakar langit, pembunuhan Altantuya yang tidak tutup fail, kecelaruan pentadbiran JPM seperti tiga suku menangani penyiasatan 1MDB, tidak menyebabkan Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan. Tetapi apabila 1MDB hendak selesai Raja-Raja hendak tahu.
      
Selama ini sudah terlalu banyak fitnah mengenai skandal 1MDB ini. JPM, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, SPRM, PDRM, dan lain-lain seperti dirasuk pentadbiran tiga suku.
      
Orang yang prihatin itu agak lega apabila ada teguran Majlis Raja-Raja. Moga-moga sasaran penyelesaian itu dipenuhi.
     
Berikut dengan kenyataan mesyuarat Raja-Raja itu Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan ringkas penyiasatan tidak akan dilakukan lagi. Laporan siasatan Bank Negara pun tidak dapat ditimbangkan.
     
Kenyataan Jabatan Peguam Negara tidak menggunakan nama Peguam Negara sendiri. Ia dikira reaksi pada kenyatan Istana Negara itu. Jika ia ditujukan kepada kenyataan Istana itu, eloknya Peguam Negara sendiri membuat penjelasan.
       
Ekorannya lebih banyak mengundang fitnah. Fitnah yang menganainya setakat ini sudah berguni-guni. Dengan kenyataan kabur seolah-olah penyiasatan sudah ditutup, 1MDB sudah jadi lombong  fitnah. Penyelesaian hujung tahun yang dijanjikan kian kabur dan mungkin cuba diakhiri dengan tiada penyelesaian.
      
Daripada perkembangan yang ada, pentadbiran PM Najib seolah-olah tidak mahu ia diselesaikan. Penyelesaian yang mungkin dan terbuka ialah tidak menyelesaikannya.
      
Sebagaimana pentadiran tidak mahu menyelesaikan isu pembunuhan Altantuya, dan skandal pembelian kapal selam Perancis sekalipun ia mendapat pehatian serius daripada peguam Perancis, ia cuba diselesaikan dengan mendiamkannya.
       
Pembunuh Altantuya yang melepaskan diri ke Australia mendakwa ada yang mengarahkan pembunuhan itu. Tun Dr. Mahathir mahu tukang arah itu diselesaikan. Pentadbiran mendiamkan. Orang pun mungkin lupa. Apabila orang lupa ia selesai.
      
JPM seolah-olah tidak mahu menyelesaikan skandal 1MDB. Orang pun nantinya akan lupa juga. Bila semuanya lupa, ia pun akhirnya dikira selesai.
      
Ini adalah satu fitnah baru. Menyelesaikan skandal dengan menjadikan orang lupa. Mungkin Melayu termasuk Raja-Rajanya mudah lupa. Tetapi Malaysia bukanlah Melayu saja. Ada Cina, ada India, Iban dan Kadazan. Adakah mereka juga mudah lupa?
     
Melayu seperti arnab dikatakan mudah lupa. Tapi jerat tidak lupa. Bilakah jerat akan bingkas? Pentadbiran sekarang sudah cuba menggantikan dengan jerat yang tidak bingkas, supaya jerat zaman Najib jadi seperti arnab juga, jerat juga mudah lupa. – HARAKAHDAILY 20/10/2015

Share on Myspace