Tanah airku Malaysia Darultol

SUBKY LATIF | .

TOL lebuh raya yang naik menggila 15 Oktober lalu adalah hadiah Maal Hijrah daripada kerajaan Umno/BN untuk rakyat justeru ia dikuatkuasakan secara mengejut sehari selepas sambutan Maal Hijrah.
    
Naik mengejut dan menggila itu hingga ada yang sampai 80 peratus di lebuh raya tertentu melayakkan Malaysia menjadi Darultol yang memayungi negeri-negerinya yang dikenali Darul Makmur, Darul Ihsan, Darul Ridzuan dan lain-lain.
     
Telah lama kenaikan itu hendak dikenakan. Menteri Wahid Umar pernah memaklumkan menjelang salah satu awal tahun satu ketika itu. Justeru bantahan orang ramai, kerajaan Perdana Menteri Najib bersabar menangguhkannya.
    
Tentulah sekarang ia hilang sabar. Kenaikan yang tidak sabar itu tidaklah satu dua sen seperti kenaikan minyak 30 tahun lalu.  Banyak atau mencolok mata sennya. Kenaikan dua tiga sen minyak seliter zaman dulu sudah terasa mencekik darah, maka lagi kenaikan tol yang berkupang-kupang sekarang.
     
Latihan mental supaya pengguna tahan terima dengan kenaikan menggila itu diuji oleh kerajaan menindas itu dengan menaikkan banyak sen minyak. Pengguna bising tapi sekejap saja. Tidak sampai dua bulan hilanglah bisingnya. Bila melihat pengguna sekadar bising tapi terima derita, maka kerajaan yang zalim itu pun naikkan tol bagi menjustifikasikan ia benar-benar kerajaan yang menindas.
      
Najib tengok pengguna riuh dengan GST enam bulan lalu. Bagi benak PM Najib yang bising itu dikatakan bukan pengguna tetapi pembangkang  saja. Sesudah enam bulan GST sudah tidak jadi  apa-apa. Maka kini adakah penindasan baru naikkan tol.
      
Najib tahu orang marah. Bukan yang marah itu orang biasa. Tan Sri Muhyidin marah padanya, Mahathir marah dan Saifudin Abdullah marah. Tiada dia takut marah semua orang itu. Dia tidak peduli mereka. Tiada Muhyidin dalam kabinet, tiadalah lagi yang menyusahkannya. Ganti Muhyidin tidak akan halang apa saja Najib buat. Sekarang dia lebih senang dari masa ada Muhyidin dulu.
      
Semua kenaikan berantai minyak, gula, tepung, minyak masak, GST, tol dan lain-lain menyusah dan menyempitkan kehidupan rakyat, keadaan sekarang lebih derita daripada sebelum Najib naik junjung  (kuasa). Tambah sempit apabila ringgit jatuh mendadak. Ringgit yang ada sudah jadi Ringgit Najib. Ringgit Malaysia dulu ada harga, tetapi Ringgit Najib mana ada harga.
      
Yang susah sekarang bukan Najib dan Umno. Yang susah ialah pengguna, rakyat, orang Umno kampung dan Umno meneroka bandar. Umno Bahagian dan pemimpinnya tidak susah. Mereka boleh beli apa yang hendak dibeli dan boleh makan apa yang hendak dimakan. Yang tidak semua boleh dibeli dan tidak semua boleh dimakan ialah orang-orang yang mengundi Umno.
     
Qarun dan Haman mana tahu penderitaan rakyat Mesir di zamannya. Apa yang mereka mahu diperkenan oleh Firaun. Firaun  tidak peduli rakyat. Yang dipedulinya Qarun dan Haman.
      
Jika Najib dan Umno peduli keperitan rakyat, tidaklah dikenakannya GST, tidaklah dinaikkannya minyak dan tol. Jika Najib batalkan GST, tangguh lagi kenaikan tol, turunkan minyak, maka tiadalah Najib namanya. Tidaklah dikata kerajaannya zalim dan tidaklah Umno dikata penindas dan dedalu. Tentulah orang kata dia baik, jujur, adil dan saksama.
     
Baik, jujur, adil dan saksama tidak sinonim dengan Najib. Yang sinonim dengannya boros, membazir, bermaharajalela, zalim dan mendatangkan kerosakan di bumi. Dengan demikian Darul Naim, Darul Ridzuan, Darul Aman tidak beri apa-apa makna lagi kerana semua terbelenggu dengan Malaysia Darultol. – HARAKAHDAILY 21/10/2015

Share on Myspace