Welkomen Sie, wahai Saifudin Abdullah

SUBKY LATIF | .

SAYA alu-alukan Datuk Saifudin Abdullah ke kumpulan pembangkang dalam bahasa Jerman, Welkomen Sie.
     
Dipercayai Saifudin adalah orang yang pertama dari sekian banyak orang Umno yang meninggalkan Umno dalam situasi Umno yang amat dhaif sekarang.
     
Wajar kata-kata perangsang sayogia dikalungkan kepadanya justeru memula dan mempelopori meninggalkan Umno yang dirasakan berbondong-bondang nanti.
      
Anda telah membuat pilihan yang betul meninggalkan Umno dan tiada sebarang kekeliruan anda meninggalkannya. Dia sudah tidak keliru lagi dengan Umno yang patut dikosongkan.
      
Berada dalam PKR bagi PAS tidaklah sebaik menyertai PAS. Kerana PAS adalah jamaah Islam, tempat terbaik bagi sekalian umat Islam. Tetapi berada dalam PKR ada lebih baik daripada kekal dalam Umno yang berada di penghujung.
      
Tidak menyertai PAS pada masa ini dapat dimaklumi justeru ia disambar suasana yang dikelirukan. Orang keliru pada PAS itu adalah sementara, kebetulan masa itu Saifudin hendak meninggalkan Umno.
      
Saifudin adalah antara Umno yang terbuka yang tidak ramai dalam parti itu. Jika dilihat keberadaannya dalam Umno ada seakan-akan Dr. Mahathir sebelum dia masuk kabinet dan jadi pemimpin Umno. Tidak boleh dikata Dr. Mahathir tidak sayang kepada Umno, tetapi dia bukan pak turut kepada pemimpin Unmo. Seperti juga Tun Musa Hitam semasa mudanya boleh memberi pandangan yang berbeza dengan pemimpin.
     
Orang Umno pada zaman Tunku mengira mereka orang sosialis yang berada dalam Umno. Apabila Dr. Mahathir menghasilkan buku Malay Dilemma, Tan Sri Jaafar Albar kata, Dr. Mahathir tidak sesuai dengan Umno.
     
Saifuddin sebelum jadi Timbalan Menteri dan selepas kalah dalam PRU 13 sama saja, tidak terikat dengan cara Umno yang pada persepsi umum adalah perkauman, rasuah, kroni dan lain-lain.
      
Kebanyakan yang masuk Umno ialah parti itu saja yang boleh menang dan berkuasa. Berada dalam parti yang menang dan berkuasa adalah satu lubuk boleh buat semua dan dapat semua.  Ia bukan satu tempat berjuang tetapi ia adalah tempat mengangkut peluang.
      
Mungkin Mahathir menyertai Umno demi perjuangan seperti yang dikata dan disangka oleh kebanyakan yang menyertai Umno. Tetapi bagi yang berpotensi mendapat kekuasaan, menyertai Umno memberinya peluang berkuasa. Jika Mahathir menyertai lain-lain parti tiada peluang berkuasa.
     
Anwar Ibrahim mungkin antara yang bukan berjiwa Umno menyertai Umno. Peluang berkuasa lebih mendorongnya bersama Umno. Tengku Razaleigh tidak fanatik parti. Dia cuba keluar Umno untuk dapatkan kuasa, tetapi tidak nampak jalan lalu balik semua ke dalam Umno. Hingga kini peluang masih tertutup.
     
Saifuddin dirasakan tidak masuk Umno untuk dapat kuasa, cari peluang kekayaan dan apa jua yang boleh dibolot. Dia masuk Umno kerana mengira Umno boleh jadi medan perjuangan. Dia cuba buat apa yang patut sebagai orang yang tidak fanatik pada parti.
     
Malangnya parti itu tidak menjadi saluran membuat perubahan dan tempatan membuka minda. Maka tidak bebas mengeluarkan fikiran.
     
Mungkin mengadakan pakatan pembangkang bukan kesalahan. Hadir dalam perjumpaan orang hendak mengadakan pakatan pembangkang menentang kerajaan, sekalipun sekadar untuk mendengar, silap bagi ahli parti yang tidak berkenaan. Ia mendatangkan fitnah.
     
Saifudin dan Mahfuz Omar hadir pada meja bulat membaharui pakatan pembangkang tidak boleh diterima oleh parti yang tidak terlibat. Saifudin hadir, maka  dia diberi surat tunjuk sebab. Ia terjadi pada ketika dia sudah tidak keliru lagi bahawa Umno tidak lagi kondusif sebagai wadah politik.
      
Dia mungkin silap tetapi mungkin juga dia buat silap sebagai pemangkin baginya keluar. – HARAKAHDAILY 22/10/2015

Share on Myspace