Adakah khilaf antara Dr. Zeti dan Apandi atas 1MDB?

SUBKY LATIF | .

SAYA ditanya atas perbezaan pendapat antara Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali atas skandal 1MDB. Hujah mana yang kuat?
     
Tidak arif saya untuk membuat perbandingan atas hujah antaranya kedua kerana ia mungkin pertembungan minda bagi pakar dan bidang yang berbeza. Saya jahil dalam kedua-dua bidang – kewangan/perbankan dan perundangan.
     
Dr. Zeti adalah pakar dalam bidangnya, kewangan dan perbankan. Manakala TS Apandi, sebagai Peguam Negara adalah ahli undang-undang dan hukum, jika di dalam Islam ialah mufti, pakar hukum dan perundangan.
     
Dr. Zeti dengan kepakarannya menyarankan Peguam Negara bertindak atas 1MDB supaya ia boleh pulangkan semula modal daripada kerajaan sekitar 46 bilion. Tetapi Tan Sri Apandi macam mufti buat fatwa, kerana keterangan yang ada tidak cukup untuknya mengambil tindakan.
     
Dengan ilmu yang saya ada, tidak arif saya untuk katakan siapa betul dan hujahnya kuat. Cuma saya sebagai orang awam boleh menilai tahap kepakaran kedua pakar yang berbeza itu.
     
Dr. Zeti adalah seorang pegawai di Bank Negara dari mula hinggalah tempoh bersaranya sekitar April tahun depan. Bermula dari seseorang pegawai rendah hinggalah menjadi Gabenor bank pusat itu.
     
Saya tidak tahu akan sejarah Gabenornya yang pertama Almarhum Tun Ismail Ali atas ilmu dan pengalaman apa dia dilantik jadi Gabenor? Tetap semua gabenor sebelum TS Zeti bukanlah orang telah berkhidmat sepanjang masa di situ. Mereka datang dari luar bank itu. Rata-rata datang ke situ untuk jadi gabenor saja.
     
Zeti selepas keluar universiti berkhidmat di situ dan menimba pengalaman dan kemahiran di situ. Mungkin juga orang berkuasa melantiknya dengan kiraan senang berkira kerana dia seorang perempuan.
      
Sebagai gabenor bank pusat, dia tidak sekadar yang terbaik bagi bank itu saja, bahkan dikira yang terbaik di dunia. Malah pernah menerima anugerah gabenor bank pusat terbaik di dunia. Bukan sekadar terbaik dalam negeri dan rantau Asia, bahkan  dunia.
     
Jaranglah ada orang kita yang mendapat pengiktirafan dunia begitu tinggi. Ada kelayakan jadi ketua Bank Dunia?
      
Adapun Peguam Negara amatlah baru dia di situ. Jika AG sebelumnya tidak dirasakan berpenyakit, tiadalah dia dikenali. Orang tidak tahu AG dulu hendak diberhentikan. Orang pun tidak tahu bagaimana dia dijadi AG yang baru?
    
Dia ada pengalaman menjadi hakim. Dia tidak termasuk antara hakim yang dikenali. Boleh dikatakan dia tidak diketahui.
     
Sehingga ini belumlah ada hakim/pengamal undang-undang kita mendapat anugerah peringkat antarabangsa. Jika ada hakim kita yang dikenal oleh dunia ialah Tun Salleh Abas. Tetapi terkenal justeru ditribunal oleh PM Mahathir.                       
     
Jika Peguam Negara itu seperti mufti atau kadi, bagi yang taqwa mengelak daripada jawatan itu kerana daripada tiga kadi seorang saja masuk syurga. Dua lagi entah ke mana. Sebabnya membuat yang adil itu payah. Mungkin itu agaknya kebanyakan AG yang lepas dipertikai semua.
     
Ini menyababkan cenderung saya lebih menghormati wibawa Zeti. Lagipun Zeti hampir tamat perkhidmatan. Seorang cemerlang khidmatnya, tentu tidak mengakhiri integritinya dengan tidak ketahuan.
     
Justeru seorang saja dari tiga kadi ke syurga, sukar saya hendak memastikan kadi yang seorang itu. Ada imam mazhab memilih penjara daripada menjadi mufti sekalipun mufti mesti ada. – HARAKAHDAILY 26/10/2015

Share on Myspace