Biarkan pelarian Syria ke Eropah

SUBKY LATIF | .

APA yang kerajaan dan rakyat Malaysia patut buat sekarang ialah menggalakkan negara-negara Eropah dan Amerika Utara khususnya negara Nato menerima seramai mungkin pelarian Syria justeru mereka pun suka ke sana.

Kerajaan Malaysia tidak akan dikira rendah prihatin kemanusiaannya jika tidak mengajak mereka ke sini pada masa ini.
     
Tanah Melayu adalah sepanjang sejarahnya membuka ke sini kepada yang hendak ke sini, baik diajak atau datang sendiri, baik kerana lari dari buang perang atau mula sekadar tumpang cari makan berniaga dan berkebun. Tabii itulah yang menjadikan kita bertukar menjadi negara dan bangsa majmuk.
    
Adalah benar saudara kita di Syria itu amat malang dihambat oleh bangsanya sendiri. Mereka itu kira-kira lebih malang daripada orang Palestin. Orang Palestin dihambat oleh Yahudi yang bukan sebangsa dan seagama. Warga Syria dihambat atau dibunuh oleh bangsanya sendiri yang berdarah Arab dan beragama yang sama.
     
Mereka jadi begitu sekarang kerana mereka menuntut keadilan dan kebebasan seperti yang dituntut oleh kebanyakan negara Arab yang lain dalam apa kita kenali sebagai Arab Spring atau kebangkitan Arab.
     
Yang menyuruh mereka berdemokrasi itupun kerajaan dan orang Amerika dan Eropah. Mereka pun mengira ia anjuran yang munasabah. Maka mereka pun menuntut apa yang mereka kira hak asasi mereka. Mereka bangun untuk mengganti kerajaan dan diktator Bashar al-Assad.
      
Jika mereka tidak diganggu oleh kerajaan Nato, mereka dipercayai dapat menyelesaikan masalah mereka dalam waktu yang singkat seperti di Tunisia, Mesir dan Libya. Tetapi campur tangan orang Nato yang mahukan orang pro-Nato pula berkuasa, bukan yang bangsa tentukan, maka jadilah negara itu terbakar oleh peluru yang tidak bermata.
      
Jika Syria dibenarkan menentukan nasibnya sendiri telah lama Syria memulihkan kedaulatannya dan tidaklah sampai rakyatnya berjuta menjadi pelarian.
      
Sekarang mereka tidak ada tempat dan tidak boleh hidup di tanah airnya. Lubnan, Jordan dan Turki bukanlah tempat yang menjanjikan masa depan yang baik. Bukan juga negara-negara Arab tidak faham demokrasi dan kebebasan.
     
Mereka memilih negara-negara yang menyuruh mereka berdemokrasi dulu. Pilihan mereka ialah Eropah dan Amerika, jika Amerika dan Kanada boleh sampai dengan sampan getah.
    
Malaysia dan Indonesia bukan pilihan mereka. Rakyat masing-masing pun payah cari makan dan mereka tidaklah demokrasi sangat seperti yang Eropah suruh dulu.
    
Kerana Eropah dan Amerika suruh mereka menuntut hak, maka apabila mereka dihambat, maka mereka mahu mengadu nasib kepada negara yang menyeru mereka bangun dulu. Malaysia patut bantu dan galakkan Amerika dan Eropah mengambil mereka seramai-ramainya. Jika boleh ambil semuanya supaya mereka terfikir tentang Malaysia.
     
Tidaklah Malaysia mahu melepaskan diri daripada tangungjawab keislaman dan kemanusiaan, tetapi Malaysia ada tanggungjawab tentang pelarian Rohingya yang diburu Myanmar sejak lama, malah lebih lama daripada tercetusnya perang saudara di Syria.
     
Eropah dan Amerika tidak hirau umat Islam Burma itu disembelih. Yang mereka mahu demokrasi seperti mereka saja. Rohingya, yang kita tangani pun sudah ramai, yang sedang hanyut di laut entah tiba dan entah tidak.
     
Kerja diplomatik sedang berjalan supaya Rohingya dilayan seperti rakyat Myanmar yang lain. Tetapi tidak diduga masa depannya. Pelarian Syria ada yang sedang peduli. Rohingya kita saja yang peduli. Sementara Syria belum terfikir hendak ke sini, kita tangani dulu Rohingya yang ada di depan pintu. – HARAKAHDAILY 27/10/2015

Share on Myspace