Indahnya bajet tanpa cukai

SUBKY LATIF | .

ADODOH! Indahnya Bajet 2016 sesen pun cukai tidak dinaikkan. Sedang seantero dunia tahu Malaysia adalah negara yang sesak masa ini.
     
Hutang negara bertimbun. Nilai ringgitnya macam durian buruk. Bayaran kontrak binaan yang siap daripada kerajaan tidak diketahui bila akan dapat dan bayaran elaun kerja lebih masa dan kerja di luar kawasan tidak tentu apabila dilunaskan.
      
Bajetlah biasanya tempat mengadu kerajaan bagi mendapatkan sumber pendapatan bagi menampung peruntukan bajet bagi tahun tertentu.
      
Saya teringat Tun Tan Siew Sin menteri kewangan zaman Tunku dan Razak mengumumkan cukai baru sesen dua bagi setiap tutup botol. Apalah satu sen. Tetapi dengan berjuta botol kicap, cuka, budu dan setiap botol minuman yang diniagakan bagi tahunan bajet itu, maka banyak juga juta cukai yang dapat dipungut.
      
Malah dalam ucapan bajetnyalah diumumkan kenaikan dua tiga sen segelen petrol. Masa itu belum ada sistem metrik.
      
Bagi menaikkan sesen dua minyak pun dibentangkan kepada Parlimen. Masa itu semua – khususnya peniaga – menunggu akan cukai baru yang menteri kewangan cadangkan.
     
Akan bajet tahun depan alangkah indahnya tidak sedar adanya cukainya baru. Pada hal negara dan kerajaan adalah sesak. Banyaklah diumumkan kenaikan angka tetapi semuanya bukan cukai. Yang dinaikkan pemberian BRIM, sagu hati warga emas, bantuan anak bujang berpendapatan rendah, tambahan pencen dan macam-macam lagi.
     
Adapun cara bajet sekarang, bagi menangani rakyat yang menyangka mereka bertambah cerdik, tidak diadakan cukai baru melalui bajet. Semua yang dikira membebankan pengguna dibuat di luar bajet.
     
Dulu untuk menaikkan sesen minyak disebut dalam pembentangan bajet. Sekarang minyak dinaikkan dari semasa ke semasa di luar ucapan bajet. Naik minyak itu bukan sikit. Berdentum. Kadang-kadang tidak diumumkan. Masa beli minyak baru kita tahu dapat saja daripada sejumlah ringgit yang sama sebelumnya.
     
Tol yang dikira sebagai tambahan kepada cukai jalan, dijanjikan tidak dinaikkan. Tidak dinaikkan melalui bajet tetapi kenaikan mencolok mata dinaikkan sebelum bajet dibentangkan.
     
Seolah-olah baiknya bajet, bukan sekadar tidak terlibat dalam kenaikan tol, tetapi mengumumkan pula pembinaan lebuh raya merentas Sabah dan Sarawak yang sudahpun mulai dibina dan ditambah berganda jajarannya, bila boleh diguna selepas tahun 2020 nanti tidak dikenakan tol.
     
Boleh pun tol ditiadakan. Tetapi jadah apa kerajaan selama ini menindas rakyat dengan menjadikan  setiap lebuh raya bertol?
     
Mungkin juga semasa sistem tol dipaksakan ke atas Semenanjung dulu kerana tidak ada sesiapa di Semenanjung bercadang hendak keluar dari Malaysia. Tetapi ada kini sosek-sosek takutkan Malaysia kehilangannya wilayah emas di seberang Laut Cina Selatan itu.

Memberi lebuh raya tanpa tol itu adalah betul tetapi kalau dibuat kerana takut Malaysia kehilangan wilayah adalah suatu yang bermuslihat.
      
Semua kenaikan yang disebutkan oleh ucapan bajet itu, betul juga jika katakan kerajaan pemurah, tetapi kenaikan itu tidak dirasa lega disebabkan oleh kejatuhan ringgit yang dikatakan antara puncanya ialah puaka 1MDB.
      
Takjub juga apabila bejet itu pemudah sangat, tetapi sekali nampak banyak yang diberi, yang diambil untuk tembolok masing-masing adalah setinggi langit. Beri rakyat segenggam, depa ambil sepuluh genggam.
     
Atas kemurahan yang nampak itu, apakah agak yang akan mencekik rakyat antara pembentangan bajet ini dengan bajet 2017 nanti. Sekalian pacal mesti  bersedia dengan penindasan yag berterusan. – HARAKAHDAILY 30/10/2015

Share on Myspace