Sungguhkah DAP suruh PAS tumpu 4 negeri?

SUBKY LATIF | .

LIM Kit Siang biasanya tidak mengeluarkan kenyataan sekadar bermain-main kata atau demi manis mulutnya. Biasanya bersungguh.
     
Adakah dia bersungguh apabila mencadangkan agar PAS menumpukan empat buah negara saja – Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan – dalam PRU nanti bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru?
     
Logik bagi sekalian peminat politik Malaysia, jika mahu melihat berubahan kuasa daripada BN kepada kerajaan menunggu iaitu pembangkang, maka elakkan pertandingan tiga penjuru. Jika ia dibenarkan, maka ia seperti hendak mengekalkan kuasa BN.
      
Itulah risiko yang pembangkang terpaksa hadapi apabila DAP hendak berpecah sangat dengan PAS. Tidaklah DAP merancang perpecahan itu, tetapi kenyataan bertalu-talu menyerang PAS dulu adalah menyediakan lorong berpisah.
     
Pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielak. Sekalipun DAP kurang terjejas tetapi ia menyempitkan peluang melucutkan BN. Maka anjuran Kit Siang itu adalah logik politik jelas dan dipercayai bersungguh.
     
Apapun ia dikira anjuran sia-sia justeru PAS tidak sedia diajar oleh DAP. PAS tidak akan dengar cakap sesiapa.
     
Tetapi bukan ia tidak boleh ditimbangkan oleh PAS pandangan Kit Siang itu mewakili pandangan baru muafakat Pakatan Harapan. Ertinya sekutu DAP bersetuju menyerah bulat empat negeri itu kepada PAS. PKR dan Amanah setuju tidak meletak barang seorang calon di negeri-negeri itu. Hatta di Alor Setar yang DAP ada pengaruh pun dibiarkan untuk PAS juga.
      
Jika PKR dan Mat Sabu bersetuju dengan Kit Siang, maka tidak banyak ruginya bagi PAS untuk menerimanya sekalipun PAS di negeri-negeri lain dinafikan peluang untuk menguji  pengaruhnya.
      
Jika Pakatan Harapan lari ke negeri lain, serah sepenuhnya empat negeri itu kepada PAS dipercayai harapan amat cerah bagi mengambil kuasa di negeri-negeri itu. DAP dan PKR tentulahmengarahkan penyokongnya untuk mengundi PAS kerana ia adalah peluang bagi Pakatan Harapan menawan Putrajaya.
      
Kemenangan Parlimen dan Dun PAS di empat negeri itu akan menambah jumlah kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan pusat. Tidak berbangkit PAS akan ikut dalam pembentukan kerajaan pusat kerana ia tiada hubungan dengan DAP dan Amanah. Ia boleh berpuas hati seperti sekarang tiada apa-apa peranan dalam kerajaan pusat.
     
Bolehlah tanpa gangguan Pakatan Harapan membagikan portfolio kabinet sesama mereka. PAS duduk sebagai MP bebas di Parlimen dan akan memastikan menyokong kerajaan jika ada undi tidak percaya. Jika kerajaan tidak cukup undi bagi meluluskan sebarang rang undang-undang, pandai-pandailah kerajaan mengambil hati PAS untuk menyokongnya.
    
Jika sejak merdeka PAS boleh tegak tanpa sebarang jawatan politik dalam kerajaan, maka PAS boleh terus tiada apa-apa jawatan untuk sekurang-kurangnya lima tahun.
     
Tapi bagi empat negeri yang PAS berkuasa itu boleh PAS memikirkan untuk mengadakan enakmen hudud seperti yang ada di Kelantan dan Terengganu. Tentu tiada masalah Dun Kedah dan Perlis meluluskannya kerana Adunnya PAS dan BN saja.
    
MP PAS tidaklah boleh dihalang membuat usul persendirian di Parlimen bagi memberi jalan kepada empat negeri itu menjalankan kanun jenayah syariah seperti yang dicadangkan di Kelantan itu. Kalau sekarang boleh cuba untuk Kelantan saja. Tapi kalau ia berkuasa di tiga negeri lagi, ertinya PAS sudah boleh perjuangkan di tiga negeri lagi.
     
Apa pun jika DAP serius, PAS boleh fikirkan untuk PRU14 saja. Adapun PRU selepasnya pimpinan semua parti pada masa itulah akan menentukannya pula. – HARAKAHDAILY 2/11/2015

Share on Myspace