Wawasan Tony Pua hendak ambil Selangor

SUBKY LATIF | .

TONY Pua, Pengurusi DAP Selangor menyatakan rancangan politiknya bagi PRU14 nanti ialah untuk mengambil lapan kerusi Dun yang dimenangi oleh PAS sekarang yang mengikuti perkiraannya mudah dimenangi oleh parti itu.
      
Dia sudah mengumumkan kawasan-kawasan itu.
       
Dan kita percaya Tony Pua tidak cakap kosong. Sama ada kawasan-kawasan yang disebutnya itu sudah pun jadi kawasan kuatnya atau belum tetapi apa yang disuarakannya itu tentunya jadi satu motivasi kepada parti itu bekerja bagi menawannya.
       
Ia boleh rampas atau tidak, kita akan perhatikan, tetapi ia akan bekerja dan mencurahkan penuh strategi unuk mencapai matlamat politiknya.
      
Kita andainya DAP akan dapat mempertahankan 15 DUNnya di Selangor sekarang dan kemudian dapat pula menawan lapan kerusi daripada PAS, maka ia sudah ada 23 kerusi. Berapa pula baki kerusi yang PAS dapat kekalkan selain daripada yang DAP hendak rebut itu tidak kita ketahui. Dan adakah akan direbut oleh PKR pula tidak diketahui.
      
Dengan situasi politik yang terbaru, dapatkah PKR mengekalkan 13 kerusi yang dimenanginya dalam PRU13 tidak diketahui.
       
Dalam keadaan kita tidak agak berapa kerusi yang PAS dapat pertahankan dan berapa pula yang PKR dapat menangi nanti, yang merasa peluangnya amat baik ialah DAP. Mungkin dalam pergolakan politik seluruhnya yang tidak banyak terjejas adalah DAP.
      
PAS dipercayai akan pertahan kedudukannya yang ada dan akan usahakan peluang politik selain daripada 15 kerusi yang dimenanginya sekarang. Tetapi ia ada kecederaan hilang penyokong DAP dan di setiap kawasan di Selangor ini ada ahlinya yang meninggalkan parti. Maka PAS bergantung kepada pengundi yang lain. Adakah undi lain itu dapat menampung kehilangan undi DAP dan orangnya yang keluar parti? Sama-sama kita lihat.
       
Tetapi jika DAP berjaya meraih 23 kerusi, tanpa mengira persempadanan baru yang SPR rancang, DAP rasanya telah menjadi pihak yang lebih selesa dibandingkan dengan sekutunya dalam Pakatan Harapan.
       
Apa yang Tony Pua buat sekarang ialah ia pintas dulu sebelum PKR berkira untuk mengambil kawasan yang diberi kepada PAS dulu. Lapan daripada kerusi PAS itu sudah dikenalpasti hendak diambil DAP. Sama ada PKR kekalkan kerjasama dengan PAS atau tidak, DAP sudah tetap akan diambilnya.
      
Katakanlah Barisan Nasional masih gagal mengambil semula Selangor, maka dengan peluang menang banyak ialah DAP, payah untuk mengagak PKR hendak menjadi penguasa kerajaan Selangor lagi.
      
DAP nampak lebih cerah unuk membentuk kerajaan jika ia berjaya memenangi 23 kerusi. Peluang PKR hanya bergantung kiranya DAP bersetuju dengan formula yang dibuat di Perak tahun 2008 ia memberi Menteri Besar kepaeda PAS sekalipun kerusi DAP lebih banyak.
      
Kekurangan DAP di Perak ketika itu ialah ia tidak ada Adun Melayu. Jika di Selangor nanti ia ada beberapa Adun Melayu termasuk Dr. Aziz Bari, maka tidak dapat diagak formula Perak dulu akan diulangi.
       
Dengan wawasan Tony Pua itu, bertambah nafsu orang Melayu untuk merebut peluang dalam politik DAP. Wawasan Tonya Pua nampaknya menjayakan politik Malaysian Malaysia tidak boleh diremeh lagi. Kita tidak tahu apa peluang Amanah, tetapi jika DAP berkuasa Izham Hashim mungkin jadi senator. – HARAKAHDAILY 5/11/2015

Share on Myspace