Dua debat yang tak jadi

SUBKY LATIF | .

DEBAT antara Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy dengan Tony Pua. Pimpinan muda DAP yang sepatutnya sudah berlangsung di RTM tidak  jadi justeru halangan Speaker Pandikar Amin Mulia.
      
Kira-kira sama saja dengan debat yang diperintah batal oleh Yang Dipertuan Agong antara PAS dan Umno tahun 1983 dulu. Debat PAS - Umno itu juga dicadangkan di TV1 RTM.
      
Arul yang dipercayai tidak mahu berdebat di khalayak umum dicabar oleh Tony Pua jika betul 1MDB tidak ada apa-apa.
     
Jika Arul tiru sikap PM Najib tidak hirau apa orang kata tentangnya, cabaran Tony Pua nescaya tidak jadi isu. Tetapi Arul nampaknya suka bercakap dan banyak cakap. Dilayannya cabaran Tony. Dia setuju debat dengan syarat Tony keluar daripada PAC, Jawatankuasa Kira-kira Awam yang diamanah menyiasat skandal 1MDB itu.
     
Reaksi Tony pada Arul, jadi anak jantanlah Arul! Jangan beri syarat jika 1MDB berjurus. Maka Arul setuju debat tanpa syarat. Debat pun jadi isu.
    
Debat itu suatu yang tidak disukai oleh Najib dan kerajaan kerana ia boleh memerangkap 1MDB dan Najib. Mungkin banyak yang akan terbongkar.
      
Samalah dengan debat PAS - Umno dulu yang tidak disukai sangat oleh Umno, tetapi apa hendak dikata kerana PM Mahathir sangka PAS tidak akan sambut. Dr. Mahathir hendak perangkap PAS atas isu kafir-mengkafir. Banyak syarat Umno beri. Semuanya PAS setuju. Umno beri tajuk, PAS Kata Umno Kafir. Ia dikira tajuk berat sebelah. Banyak mengira ia hendak memperdaya PAS.
      
Tetapi PAS terima semua asal ia diadakan secara lintas langsung melalui TV. Ia melibat Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Anwar Ibrahim dan Ibrahim Azmi sebagai pendebat Umno. Dan PAS menamakan Ustaz Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Haji Ahmad dan Ustaz Harun Taib.
      
Orang paling tidak suka debat itu dipercayai DS Anwar Ibrahim dan orang-orangnya. Macam-macam diusahakan supaya debat itu tidak jadi. Orang yang paling tidak suka debat Arul – Tonya Pua ini ialah Najib dan orang-orangnya. Dipercayai macam-macam ia akan buat supaya ia tidak jadi.
      
Orang yang suka debat PAS – Umno ialah PAS kerana akan hadir untuk kata ‘Umno kata PAS kata Umno kafir’ bukan unuk mengakui ‘PAS kata Umno kafir.’ Dan kumpulan yang paling suka debat 1MDB ini ialah Anwar dan sekalian orang bersamanya. Sekalipun Tony itu DAP tetapi ia adalah sekutu Anwar.
     
Setelah tiada cara debat PAS – Umno dapat dibatalkan, maka Yang Dipertuan Agong dinasihatkan mengeluarkan dikri membatalkan debat itu. Tiada siapa dapat pertikai Seri Paduka tetapi jenuhlah PM Mahatahir dan Umno dipertikai.
      
Setalah Arul sanggup debat sekalipun Tonya Pua kekal dalam PAC, maka bangkitlah Speaker Pandikar Amin Mulia menghalang, tidak boleh kes 1MDB yang dalam status sedang disiasat PAC didebatkan. Tony Pua tidak boleh tampil selagi dia anggota PAC dan Arul juga tidak bercakap mengenai isu itu selagi ia tidak selesai.
      
Tony setuju tidak sertai debat kerana tidak mahu dikata engkar pada Speaker. Semua setuju dia digantikan dengan Rafizi Ramli. Jika RTM tidak sedia jadi penganjur banyak lagi stesyen TV dalam dan luar negera boleh anjurkan, mungkin al-Jazeera pun sedia.
     
Tetapi Arul amat menghormati Speaker, apa hendak dikata? Apakah Speaker bertindak sendiri atau dinasihatkan bertindak begitu, ia memang menyelamatkan Arul. Debat itu bukan haram, ia harus. Perkara Speaker boleh benar dan boleh tidak benarkan asal jangan dikata lebih sudu daripada kuah. – HARAKAHDAILY 11/11/2015

Share on Myspace