Gurau yang sungguh, Bagan Nakhoda Omar

SUBKY LATIF | .

ADA asasnya bagi Adun DAP Sekinchan, Ng Suee Lim untuk bergurau supaya nama Bagan Nakhoda Omar yang ramai penduduk Cina ditukar kepada nama Cina.
     
Senda guraunya ialah nama bagan itu dekat sama nama dengan nama pemimpin Umno Selangor, Noh Umar, yang pada tanggapan Ng nama Noh tidak seronok didengar oleh pembangkang khususnya majoriti penduduknya Cina dan menyokong pembangkang.
     
Bukan pembangkang Cina saja tak seronok dengan pemimpin Umno Selangor itu, pembangkang Melayu tidak berapa hendak mendengar namanya. Malah orang Umno Selangor pun ada yang tidak selesa dengannya.
      
Bukan kerana Umnonya mereka mengelak berserasi dengannya tetapi kerana watak keras dan bengisnya yang sama seperti Shahidan Kassim, Ibrahim Ali, Azeez Abd Rahim dan lain-lain.
      
Akan tetapi gurau Ng Suee Lim itu mudah mengundang sensitif kaum bagi masyarakat Malaysia yang masalah perkauman kembali menggelegak. Membagi nama-nama jalan Tan Cheng Lock, Kolonel HS Lee dan lain-lain di Kuala Lumpur dan lain-lain bandar besar 25 tahun tidak dirasakan apa-apa kerana perkauman reda ketika itu. Orang tidak kisah memberi nama Taiping untuk bandar di Perak dan Tanjung Keling pada satu tempat di Melaka.
      
Tetapi masa Umno terumbang-ambing ini perkauman nampak pekat kembali, maka  gurau Suee Lim payah dikira sebagai gurau sangat tetapi boleh diterima sebagai suatu yang bersungguh. Orang perkauman nampak ia sebagai satu motif politik.
      
Orang tidak nampak sangat garang Noh Omar nama bagan itu patut ditukar, tapi orang nampak tempat itu penuh Cina, maka ia patut ditukar dengan nama Cina.
      
Ia mudah mendatangkan cemburu tentang Kuala Lumpur yang padat Cina dan sebahagian besar kawasan pilihan raya dimenangi oleh parti yang disukai pengundi Cina. Mungkin orang tertanya apakah tidak ada yang mahu menukar Kuala Lumpur kepada Kuala Hong Kong dan Ipoh Kota Taiwan?
      
Tambah membongkak benak setengah apabila Tony Pua hendak merampas kawasan yang dimenangi PAS di Selangor sekarang. Ia tidak dikira cabaran pada PAS saja, tetapi Umno juga gelabah dengan apa yang dianggap wawasan jauh DAP.
       
Saya sendiri boleh menerima senda gurau Ng Suee Lim, tetapi saya tidak menghalang kegerunan orang terhadap politik hari muka.
      
Mungkin isu Bagan Nakhoda Omar tidak wajar diguraukan. Bukan semua boleh jadi gurauan.  Bergurau mencerai isteri tidak jadi gurau lagi. Ia jadi cerai sungguh. Suami isteri berlakon sebagai suami isteri dalam filem. Suami lakon cerai isterinya. Jatuh talak isteri itu, pada hal ia lakonan. Apa lagilah bai’ah.
      
Ia adalah hal yang tidak boleh digurau. Gurau itu tidak habis sekadar gurau. Ia mendatangkan kesan bersungguh.
     
Ternyata sekarang gurau Suee Lim itu mendatangkan payah baginya. Sekalipun tujuan gurau itu untuk merendahkan imej dan pimpinan Noh Omar, tetapi pukulan bagi Noh tidak berapa berkesan. Kesan besarnya ialah tempat-tempat yang penuh penduduk Cina mungkin ditukar namanya mengikut selera majoriti penduduknya.
       
Kerja membaiki percikan perkauman itu amat sukar dan Suee Lim terpaksa bekerja lebih keras bagi meredakan hati yang berdetup-detap. – HARAKAHDAILY 13/11/2015

Share on Myspace