Kerana duit ada yang hilang istiqamahnya

SUBKY LATIF | .

SYABAS bagi PAS yang masih istiqamah dan tahniah atas tema terakhir muktamarnya Istiqamah hingga Kemenangan.
     
Semua ini adalah sifat yang terpuji dan motivasi yang amat berharga bagi sebuah perjuangan Islam bagi mencapai kemenangan dalam lingkungan martabat mardhatillah.
     
Tetapi istiqamah itu perlu diingat. Ia tidak sekadar disebut dan dijaja, ia wajar dihayati justeru ia amat mencabar dan besar ujiannya.
     
PAS boleh dikira kaya pengalaman termasuk politik tahalufnya yang dibuat atas muslihat bagi mendapat kedudukan selesa di tengah masyarakat semasa.
    
Tahaluf adalah satu politik pintar tetapi risiko cabarannya juga besar sekalipun untungnya ada.
     
Dua tahaluf besar PAS lalui setakat ini yang mencabar istiqamah ahli dan cabaran itu sedikit sebanyak mencederakannya.
    
Yang pertama tahaluf dengan Umno yang berkuasa dalam kerajaan campuran PAS – Perikatan tahun 1973 dan pembentukan Barisan Nasional tahun 1974. Yang kedua tahaluf Pakatan Rakyat tahun 2008 bagi meneroka kuasa ke Putrajaya.
     
Kedua-dua tahaluf itu ada untungnya tetapi ada cederanya.
     
Saya tidak bercadang untuk menyebutkan apa untung yang didapati daripada politik kerajaan campuran dan pembentukan Barisan Nasional bersama Perikatan/Umno bagi mengislahkan kerajaan dari dalam.
     
Apabila kerjasama itu gagal PAS cedera tetapi tidak sampai mematikannya. Tetapi istiqamah ahli-ahlinya tercabar. Pecah muafakat kerana PAS hendak ditendang dan PAS suka berpisah. Apabila PAS menerima perpecahan itu, ada ahli PAS yang merasa sedap dengan nikmat yang sedikit dalam Barisan Nasional tidak mahu keluar.
      
Mungkin dalam tempoh lima tahun bersama itu orang PAS rasa selesa tidak banyak mengeluarkan duit dari saku sendiri dalam kegiatan politik kerana ada limpahan rezeki dari Allah melalui Barisan Nasional.
     
Ada orang PAS yang jadi pegawai Tabung Haji dan dapat nikmat dakwah dan macam-macam kemudian enggan meninggalkan kerajaan atau tidak seronok untuk jadi pembangkang semula. Antaranya ada ustaz yang sebelumnya mencintai istiqamah, lalu gugur istiqamahnya.
     
PAS yang cedera dirawat semula dengan ubat konsep kepimpinan ulama. Pulihnya memberi tenaga dan lonjakan perjuangan yang dikira agak ketara.
     
PAS 30 tahun kemudian mengikat tahaluf dalam Pakatan Rakyat brsama PKR dan DAP, terbentuk muafakat kedua dalam arus politik perdana negara. Kali pertama Malaysia ada dua front politik seperti yang terdapat di negara maju seperti Afrika, Australia, Jerman, Perancis dan lain-lain. Sistem dua parti itu mengukuhkan demokrasi masing-msing.
     
Wujudnya Pakatan Rakyat menjadi cabaran besar kepada Barisan Nasional. Pertama kali terbuka peluang BN digantikan.
     
Bagaimanapun PAS berpecah daripada muafakat itu. Apabila mahu bersendiri, ada ahlinya yang istiqamah sebelumnya tidak jadi istiqamah lagi. Takut Putrajaya tidak dapat dikuasainya dan macam-macam kerisauan.  
    
Lalu antara ahli yang tidak mahu keluar itu membuat kumpulan menggantikan PAS dalam muafakat Pakatan yang baru.
    
Tahaluf banyak positifnya. Tahaluf dengan Semangat 46 mengambalikan Kelantan kepada Perikatan ia hilang Kelantan.
     
Tahaluf itu benar-benar menguji istiqamah. Jangan kecederaan tadi kita serik bertahaluf. Politik kita memerlukan tahaluf asal jangan dengannya kita jual diri dan korbankan istiqamah.
     
Istiqamah PAS tidak berganjak tetapi ada ahli gugur istiqamahnya sekalipun pernah jadi Presiden dan Timbalan Presiden dan sekalipun telah 40 tahun dalam PAS, sekalipun banyak orang dijadikannya PAS dan banyak cawangan ditubuhkannya. Semua itu tidak menjamin istiqamah.
     
Istiqamah mesti dihayati dan sesudah mati baru kita tahu seseorang itu istiqamah atau tidak. Berdoalah sekalian, moga-moga istiqamah. Amin! – HARAKAHDAILY 18/11/2015

Share on Myspace