Moga-moga Husam yang terakhir

SUBKY LATIF | .

SEPATUTNYA selepas sekitar dua tahun dilanda cabaran demi cabaran, ia sudah tidak ada cabaran dalaman lagi setelah ramai pimpinan pelbagai lapisan menubuhkan parti baru yang dikatakan mewakili Islam pogresif.
      
Rupa-rupanya tidak habis. Ada lagi cabaran dari kalangan spesies yang mencabar pimpinan PAS dari  dalam khususnya terhadap Presiden parti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
     
Persoalan yang tidak putus-putus ialah berlingkar dari Tok Guru itu hendak membawa PAS bersekongkol dengan Umno dalam isu yang disebut Kerajaan Perpaduan, kepimpinan ulama yang dikira lemah dan meminggirkan golongan profesional.
      
Dua isu dikira jadi bara dalam sekam dalam PAS sejak sekalian lama. Kerajaan perpaduan itu bermula dengan pertemuan Perdana Manteri Adullah Badawi dan TG Haji Abdul Hadi. Sekalipun ia telah ada penjelasan dalaman dalam kalangan pimpinan PAS dan Kerajaan Perpaduan itu tidak pernah diwujudkan tetapi jadi punca pimpinan PAS perlu ditukar.
      
Akan isu kepimpinan ulama yang tidak dipertikai sehingga kepimpinan Ustaz Fadzil  Noor digantikan, timbul isu gandingan TG Haji Hadi dan Timbalannya. Maka ada yang merasakan timbalan itu tidak semestinya ulama  dan kemudian ia berkembang Presiden pun tidak semestinya ulama.
     
Isu ini menjadikan tafsir konsep kepimpinan ulama itu. Kepimpinan itu memadai Majlis Syura saja dipenuhi ulama yang lain terbuka kepada semua.
      
Berikutnya timbul isu Langkah Kajang sebagai kerja awal menggantikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim. PAS yang jadi sebahagian daripada kerajaan Selangor tidak seronok ia dipaksa menerima politik PKR. Setelah DS Anwar Ibrahim terhalang bagi menggantikan Khalid, maka PAS mempertahankan Khalid.
      
Ia tidak sekadar jadi krisis antara PAS dan PKR, orang PAS yang tidak senang dengan isu pertemuan Abdullah Badawi dan TG Haji Hadi dan yang tidak setuju Presiden dan Timbalan Presiden PAS  mesti ulama mempertikai langkah mempertahan Khalid. Hingga dua Adun PAS Selangor hilang.
      
Sebaik isu MB Selangor selesai ia berganti pula dengan krisis dengan DAP. Apabila perbezaan dengan DAP itu payah hendak diselesaikan kesetiaan PAS dalam Pakatan Rakyat dipersoal. Bimbang PAS tidak akan bersama lagi dalam PR, ada orang sudah tidak senang dengan PAS itu membentuk PASMA sebagai NGO  bagi menggantikan tempat PAS dalam Pakatan.
      
Ketika PAS belum bercadang unuk keluar daripada Pakatan, ada orang PAS sedia mengambil tempat PAS. Setengah daripada pimpinan PAS pusat menrima baik penubuhan NGO itu sekalipun ia sudah dilihat sebagai kewujudan parti dalam parti.
      
Semuanya tidak keluar PAS dan tidak mengambil tindakan disiplin. Semua perjumpaan NGO itu jadi medan terbuka menyerang pimpinan PAS. Jawatakuasa PAS pusat terbagi dua antara menentangnya dan suka kepadanya.
    
Tiba musim muktamar ke-61 berlaku perebutan pengaruh di banyak peringkat antara propimpinan ulama dan proprofesional. Perkembangannya ialah Presiden perlu digantikan. Kempen dalam kalangan parti antara yang menyokong TG Haji Hadi dengan kumpulan yang hendak menggantikannya. Ustaz Ahmad Awang bersetuju jadi calon menentang Presiden.
     
Ia berakhir segugus calon profesional dan proprofesioanl kalah dalam semua Dewan dan dalam pimpinan PAS pusat sendiri.
     
Maka perpecahan PAS tidak dapat dielak. Yang kalah menubuhkan parti. Masalah dalam PAS dilondehkan. PAS berdepan dengan banyak kecederaan. Ia hilang ramai bintang politik.
     
Krisis itu sepatutnya berakhir. Husam yang dilihat ada di belakang semua perkembangan tidak ikut keluar. Kemudian dia tegas mahu terus mati dalam PAS tetapi melanjutkan bara dalam sekam sejak dua tahun lalu. Ia jadi cabaran lagi. Moga-moga ia yang terakhir. – HARAKAHDAILY 23/11/2015

Share on Myspace