Pengembaraan Jamil Khir tidak wasatiyah

SUBKY LATIF | .

KISAH pengembaraan Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas hal ehwal Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ke negeri di atas angin – Amerika – dan rombongannya yang dikatakan perbelanjaannya ditanggung oleh YaPEIM dijangka diselesaikan di mahkamah.
      
Perbelanjaannya dikatakan untuk tiga orang dikatakan selama sembilan hari Mei lalu, dikatakan RM411 ribu.
      
Jumlah itu terlalu tinggi bagi menteri yang dipercaya memperkenalkan wasatiyah kepada kerajaan dan apa lagi bagi yayasan pembangunan berasaskan Islam.
      
Khalifah Umar Abdul Aziz tidak tergamak menyertai pengembaraan yang menelan belanja besar apa lagi dananya dari yayasan Islam, sebuah badan bermisi pembangunan ekonomi dan kebajikan Islam yang sasarannya adalah bagi membantu orang miskin dan anak yatim. Modal asal yayasan itu adalah dari amal jariah orang ramai seringgit  seorang sekali seumur hidup atau tiap-tiap bulan selagi hidup.
     
Wasatiyah ialah bersederhana. Ia adalah cara hidup Islam. Orang paling hebat menghayatinya Khilifah Umar Abdul Aziz yang belum ada bandingan berjaya membasmi kemiskinan dalam sistem ekonomi di alam ini sepanjang sejarah manusia.
     
Dipercayai Jamil Khirlah yang memperkenalkannya kepada Perdana Menteri Najib bagi menjadi panduan kehidupan semua termasuk cara  berbelanja.
     
Maka cara hidup Jamil Khirlah wajar menjadi contoh penghayatan wasatiyah itu. Orang tahu ia bukan cara hidup keluarga Perdana Menteri hinggalah dia ada menteri bernama Jamil Khir. Cara bagi mewasatiyahkan keluarga Perdana Menteri ialah Menteri Jamil Khir hidup berwasatiyah dulu. Bukan Jamil Khir mengikut budaya tidak wasatiyah Perdana Menterinya.
      
Jika yang didedahkan oleh Pengurusi NOW, Akmal Nasir tidak fitnah, belanja besar untuk pengembaraannya adalah satu perlanggaran kepada konsep wasatiyah yang indah itu, maka kedua-dua menteri dan yayasan berasas Islam boleh diibaratkan sebagai pawang memecah timba.
     
Maka menteri dan institusi yang yang dikaitkan mesti membuktikan ia bukan pawang memecah timba. Ia mesti dijelaskan kepada umum supaya dia tidak jadi pawang dan supaya YaPEIM tidak dianggap sama seperti lain institusi berduit yang ditubi oleh sekalian penyangak.
     
Khir memilih membuat penjelasan melalui makamah sebelum SPRM dan lain-lain juruaudit datang memasti menteri agama dan YaPEIM tidak menjadi pawang memecah timba.
     
Mungkin keduanya difitnah tetapi pengembaraan yang dikatakan mewah itu seolah-olah fitnah telah didekati dan fitnah telah dicari.
     
Untuk apa pengembaraan itu dibuat supaya jika benar belanjanya besar mestilah ia berbaloi, hasilnya dapat memberi pulangan yang besar kepada YaPEIM.
     
Jika pemergian itu  mendapat sambutan pelajar di sana satu kejayaan, maka beri tambang murah kepada Mohamad Sabu, nescaya lebih ramai pelajar menyambutnya tanpa mereka diberi belanja datang menemuinya.
     
Jika untuk memberi kursus kahwin percuma, takkanlah ia kerja menteri? Dalam negeri bakal pengantin berbayar untuk mendapat sijil kursus kahwin. Tak ada sijil tak boleh kahwin. Pelajar yang kahwin di luar negara sentiasa ada. Adakah tiap-tiap tahun menteri pergi beri kursus kahwin selagi ada pelajar di luar negera?
     
Mungkin ini juga peguam patut dapatkan penjelasan.
      
Menteri wajar fikir, setiap pelajar keluar negara patut ada sijil kursus kahwin dulu sebelum merantau atau atase agama di kedutaan sediakan kursus supaya tidaklah menteri terpaksa pergi memberi kursus. – HARAKAHDAILY 24/11/2015

Share on Myspace