Pakaian Rosmah pada sidang Asean

SUBKY LATIF | .

SAYA ditanya oleh seorang yang tidak saya pertikai integriti dan pengamatannya tentang pakaian isteri Perdana Menteri kita dalam perasmian sidang kemuncak Asean ke-27 seminggu lalu.
      
Dia baca fokus dan pemberitaannya dalam sebuah harian berbahasa Inggeris. Tentang kehebatan pakaiannya. Pakaiannya hebat dan pemberitaannya pun hebat. Hebat! Hebat! Hebat!
     
Pemberitaan yang dikatakan hebat itu seolah-oleh pakaian itu difokuskan begitu rupa, ia lebih hebat daripada sidang kemuncak dan pencapaian membentuk Komuniti Asean itu sendiri.
      
Amatannya tulisan itu adalah untuk membodek isteri Perdana Menteri. Justeru ia demikian rupa, dia meluat dan tidak mahu membaca akhbar itu lagi.
      
Saya  tidak membacanya tapi saya tonton pakaiannya di TV yang disiar lintas langsung. Nampaklah gemerlapnya. Justeru saya buta fesyen dan buta keindahan pakaian, maka tidak dapat menikmati pekaian sekalipun harga berjuta.
      
Tentang pakaian yang hebat purbakala yang pernah saya baca ialah berduyun-duyun orang di jalanan kagum tentang pakaian Qarun. Mereka tidak pandang yang lain dalam rombongan Qarun itu melainkan pakaiannya, dan masing-masing ingin jadi seperti Qarun. Pada akhir zaman ini ialah apa yang dipakai oleh penyanyi Micheal Jackson. Apa yang dipakainya jadi perhatian semua orang. Orang lain tak pakai seperti itu.
      
Tentang pakaian isteri perdana menteri itu memanglah hebat. Yang tentu hebatnya ialah harganya. Fesyennya hebat atau tidak, saya tidak tahu. Pada saya hebatnya pakaian itu ialah yang menutup aurat dan bersih. Pada hari raya elok berpakaian baru. Pakaian hebat tapi aurat terdedah, nescaya ia dijilat api neraka jua. Maka telekunglah seindah-indah pakaian.
       
Adakah justeru hari raya mesti berpakaian baru? Ia lebih mengajar agar menukar pakaian dari yang lama kepada yang baru eloknya pada hari raya.
      
Apa-apa acara keraian berpakaianlah secara wasatiyah seperti yang dianjurkan oleh Islam dan seperti yang hendak dihidupkan oleh Perdana Menteri Najib.
      
Bagi acara perasmian Komuniti Asean itu bukanlah utuk memperagakan pakaian yang hebat-hebat. Bukan hebatnya Asean itu pada pakaian yang dipakai oleh isteri pemimpinnya. Tetapi keupayaan bangsa di rantau itu yang berbilang agama, kepercayaan politik, kebudayaan dan lain-lain boleh bersatu dalam kepelbagaian.
      
Saya tertarik dengan wasatiyah berpakaian isteri Perdana Menteri Singapura. Dia berseluar seperti yang biasa dipakai oleh Hillary Rodham Clinton. Berbaju tangan panjang yang biasa dipakai oleh ramai nyonya. Jika kita jumpa di tengah jalan, tidak sedar orang dia isteri Perdana Menteri Singapura. Tidak banyak bezanya dengan lain-lain wanita Cina biasa.
      
Tetapi nyonya yang tidak hebat pakaiannya itu adalah hebat otaknya. Dia adalah CEO Perbadanan Temasek, persyarikatan terbesar Singapura yang dikira ibu kepada persyarikatan Singapura.  Singapura pula adalah ibu kejayaan dagang, kewangan dan ekonomi rantau Asean bahkan antara yang terhebat di dunia.
      
Hebat yang bermanfaat dan berguna bukan hebat pakaian. Pakaian yang hebat adalah menghabiskan duit saja. Habiskan duit untuk kebajikan bagi semua. Menghabiskan duit untuk pakaian ialah satu daripada cara Allah hendak mengambil duit daripada seseorang.
     
Pengkisahan pakaian isteri perdana menteri sudah jadi bahan fitnah. Tetapi fitnah itu bermula apabila berpakaian tidak mengikut kesederhanaan yang diajurkan oleh wasatiyah. Berbelanja hebat begitu adalah membazir. Membazir adalah bukan amalan manusia tetapi makhluk ghaib yang tidak dikehendaki. – HARAKAHDAILY 25/11/2015

Share on Myspace