Seruan Ku Nan agar murid berjamaah

SUBKY LATIF | .

SUDAH tentu Tengku Adnan Mansor, bukan ipar Perdana Menteri Najib, tetapi Menteri Wilayah Persekutuan beroleh pahala apabila menyeru agar sekalian murid solat berjamaah.
     
Apabila selepas mendengar seruan itu ada seorang murid berjamaah, nescaya ada pahala bagi menteri itu sebagai tambahan pahala seruannya. Jika satu waktu sehari saja dia berjamaah pun ada pahala bagi Tengku Adnan. Apa lagi kalau sekalian atau seramai-ramai murid memenuhi masjid dan surau setiap waktu, banyak mana pula pahalanya.
     
Sepatutnya semua menerima seruan Ku Nan itu secara positif. Jangan ada reaksi negatif dia sekadar hendak menunjuk baik seperti munafik Abdullah Ubai, berjamaah di belakang Nabi SAW banyak waktu tetapi di belakang Nabi dia menentang baginda.
      
Ku Nan telah membuat seruan yang baik. Seruan itu mengajak seramai-ramai murid berjamaah setiap waktu, jika tidak di surau dan di masjid, di mana saja tempat murid-murid berkumpul. Semasa di sekolah, solat bersama-sama. Eloknya diimamkan oleh guru. Jangan tunggu guru ada. Guru tidak adapun salah seorang jadi imam. Ketika berkelah di pantai atau di rimba, masuk saja waktu segera berjamaah.
   
Ku Adnan telah bercakap tentang perkara yang disuruh oleh Islam. Itulah ajaran Nabi dan  ajaran yang disambung oleh sekalian ulama selepas Nabi.
     
Moga-moga seruannya membawa barakah. Biar dari subuh masjid penuh seperti sesaknya waktu Jumaat dan hari raya. Biar setiap asar dan isya masjid dan surau makmur.
     
Jika apa yang Ku Adnan itu tercapai, ia tanda sudah dekat hudud dilaksanakan. Murid-murid setiap  waktu berjamaah, apabila kelua sekolah nanti, mereka akan tuntut hudud dilaksanakan tidak kira Ku Adnan arahkan anggota Parlimen BN sokong usul persediaan PAS atau tidak.
     
Jika Ku Adnan tidak berminat dengan usul persendirian PAS tentang memperkasa mahkamah syariah atau tidak, mereka akan biarkan Ku Adnan dengan sikapnya, tetapi adalah generasi baru yang berakhlak sesuai dengan umat yang solat berjamaah setiap waktu.
      
Pabila Ku Adnan mahu murid berjamaah, maka dia akan malu jika tidak mengajak kaki tangan di kementeriannya dan pegawai di DBKL berjamaah setiap zohor dan asar.
      
Malu dia jika sekalian murid berjamaah, tiba-tiba dibiarkannya saja orang di kementerian berjamaah atau tidak. Dan jangan ditanya dia sendiri solat berjamaah atau tidak. Jika dia suruh kanak-kanak solat tentulah dia juga solat. Tentulah dia tidak jadi tok pawang memecah timba.
     
Saya tidak takwil akan seruan Ku Adnan. Tentulah dia buat apa yang baik yang dia suruh orang buat. Jika ada yang ragu dia adalah cakap tidak serupa bikin, maka intip dia. Di mana dia solat subuh setiap pagi? Lebih banyakkah dia berjamaah dari tidak berjamaah?
     
Saya tidak fikir mengintip itu satu kerja yang baik. Saya suka mempercayai orang yang menyeru kepada kebaikan, tentulah dia mengamalkan kebaikan. Saya suka mempercayainya sekalipun dia tidak buat apa yang dia suruh orang buat.
     
Saya tidak boleh paksa orang percaya kepada Ku Adnan. Bagi yang tidak percaya itu, untuk memuaskan hati masing-masing, selidiklah adakah dia dan anak-anaknya sentiasa berjamaah? - HARAKAHDAILY 27/11/2015

Share on Myspace