Umno nak jadi macam Parti Komunis China

SUBKY LATIF | .

SAYA menyertai rombongan Perdana Menteri Tun Razak ke Beijing bagi formalisasi hubungan diplomasi Malaysia-China sebelum  pertengahan tahun 1970-an.
       
Di Beijing saya diberitahu oleh para wartawan di situ betapa tiada siapa sedar Parti Komunis China mengadakan kongres sekali dalam beberapa tahun di kota itu yang dihadiri sekitar 10 ribu perwakilan dari seluruh negara.
       
Kongres beberapa hari itu  hanya diketahui media sesudah usai beberapa minggu.
       
Begitulah Parti Komunis China, parti komunis terbesar di dunia, setiap kali kongres hingga tahun 70-an tidak diketahui sesiapa hatta wartawan asing di Beijing dan perisik kedutaan asing yang kerjanya mencari rahsia tidak mengetahui bila dan di mana kongres diadakan.
      
Begitulah China dan mana-mana negara komunis jua adalah masyarakat yang tertutup, sekalipun ia dihadiri oleh sepuluh ribu perwakilan, tidak siapa sedar.
      
Dan sekarang Umno bercadang hendak mengadakan Perhimpunan Agung yang tertutup sedang selama ini ia terbuka kepada semua. Jika Parti Komunis Malaya dulu merahsiakan mesyuarat agungnya ialah kerana parti itu adalah pertubuhan haram, ia terpaksa bergerak secara senyap.
      
Umno bukan pertubuhan haram. Selama-lamanya terdedah kepada semua. Apa yang cuba Umno buat itu adalah luar biasa. Parti Komunis China sekarang perlahan-lahan untuk menjadi sebuah parti yang terbuka tetapi Umno yang selama-lamanya terbuka mahu memasuki alam kerahsiaan.
     
Tidaklah ia sampai semundur China 40 tahun yang pada saya ketika itu adalah masyarakat yang kuno. Malaysia 40 tahun dulu bebas daripada kuno. Ia mewakili masyarakat terbuka dunia. Ia terdedah dan telus. Sekarang ia seperti menuju alam kuno dalam sebuah masyarakat yang terbuka dan tanpa sempadan.
      
Ia masih beritahu ia hendak mengadakan perhimpunan. Dimaklumkannya kepada madia tentang apa yang hendak dibuat pada perhimpunan itu. Boleh ikuti perkembangan perhimpunan dan boleh laporkan yang boleh lapor saja. Yang cuba ditutup ialah pada sidang perwakilan saja.
    
Mungkin kamera TV boleh menayangkan perkembangan dalam perhimpunan tetapi seperti menonton filem bisu. Tiada apa yang dapat didengar daripada tayangan itu. Itu agaknya.
     
Setakat ini yang cuba dilakukan, akan ada taklimat itu dari semasa ke semasa kepada media tentang apa-apa yang dibahas dan dicapai dalam perehimpunan. Bunyinya dua Naib Presiden yang masih jadi sekutu setia Presiden, Datuk Seri Najib, iaitu Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi dan Datuk Hishammuddin Hussein akan jadi jurubicara melaporkannya.
      
Jika jadilah apa yang cadangkan itu, maka hilang meriah perhimpunan parti itu. Tiada lagi ia menarik para pelancong parti untuk datang setahun sekali mengikuti perjalanan perhimpunan.
    
Selama ini perhimpunan agungnya menjadi satu produk menarik pelancong. Ribu-ribu ahli dan penyokong parti dari seluruh negara membanjiri Kuala Lumpur. Hotel berbagai bintang penuh. Peniaga-peniaga berebut-rebut menempah gerai bagi mencari rezeki setahun sekali. Ia adalah satu festival tahunan yang turut merancakkan pelancong negara.
     
Tetapi sekarang berita yang terdengar, ia hendak masuk ke alam tidak terbuka.
      
Ada sebabnya. Ia mulai jadi parti yang takut. Segala-galanya disebabkan peminggiran Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada arus perdana politik Umno. Ia cemburu reaksi pembela Muhyidin dan Dr. Mahathir dalam parti. Jika boleh tiada perhimpunan lagi hinggalah pemilihan akan datang. Tetapi tidak mahu pula dikatakan takut sangat.
     
Muhyiddin digam daripada merasmikan Perhimpunan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri. Kali pertama ia dirasmi oleh ketua masing-masing.  Dari luar terdapat di sana sini orang Umno menuntut Najib berundur.
     
Takut ia meletup di dalam. Elok pehimpunan bersidang secara tertutup. Takut tahun tutup wawasan 2020 tidak ada himpunan lagi. Jangan tiada Umno sudahlah. – HARAKAHDAILY 7/12/2015

Share on Myspace