Memburu pembocor maklumat

SUBKY LATIF | .

BERIKUT pendedahan bertalu-talu apa yang dikira salah laku dalam pentadbiran YaPEIM oleh si Akmal Nasrullah Mohd Nasir, peneraju Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat – NOW – maka kini pihak berkuasa dan berkenaan sedang memburu akan pembocor apa yang didedah itu.
      
Mungkin sama seperti semua mata-mata di dunia memburu anasir IS, pengancam keselamatan dunia. Pembocor itu mungkin sama dengan apa-apa jenayah.
      
Dia dikehendaki bagi membantu kes membocor rahsia atau maklumat untuk dihukum. Tidak tahu apa akan terjadi apabila pemberi maklumat itu ditemui.
     
Apa tujuan anasir itu dikejar? Untuk mengesahkan apa didedah itu betul atau satu usaha bagi menutup salah laku?
     
Semua kita tahu betapa SPRM berdepan dilema gagal memerangi rasuah hingga negara di ambang mampus gara-garanya. Banyak penyiasatan gagal diselesaikan dan banyak yang dibawa ke mahkamah lepas macam babi gemuk.
     
Sebabnya gagal mendapat maklumat lengkap dan orang tidak mahu memberi maklumat. Amat payah SPRM mencari bukti sebab orang tidak mahu memberi kerjasama. Berbuih mulut pembesar SPRM minta kerjasama semua pihak dan ada janji untuk melindungi pemberi maklumat, tetapi orang tidak mahu berdepan risiko, perasuah terlepas pemberi maklumat terhukum.
       
Kerana orang tidak mahu menghadapi risikolah menyebabkan semua tukang rasuah jadi macam babi gemuk.
      
Islam menyarankan apa ada berita daripada orang fasik hendaklah disiasat. Bagi mengelakkan fitnah Akmal dan NOW boleh ditentukan statusnya fasik atau mendedah maklumat sahih. Pemberi maklumat dicari bukan tujuan utama demi menghukumnya tetapi bagi mengesahkan yang didedah itu sahih atau salah sangka.
      
Jika orang diburu itu ditemui, sesudah disiasat sah dia membuat berita palsu, maka dipotong lidahnya pun patut. Tetapi kalau yang disampaikannya betul, maka lidahnya dipotong, itu zalim namanya.
      
Setakat pendedahan Akmal itu orang sudah hilang keyakinan pada YaPEIM. Apabila YaPEIM yang menubuhkan pasukan penyiasat, maka dalam suasana ia sudah tidak diyakini itu, tujuan penyiasatan itu jadi tidak diyakini juga. Diragu ia mencari kebenaran keadilan, tetapi ia lebih kepada menutup rahsia.
      
Waswas atas tujuan penyiasatan itu dikuatkan dengan tindakan menyaman pendedah kes. Ia menuntut juta-juta pula. Bukanlah saman itu luar biasa bahkan amalan banyak pihak, tapi yang eloknya pastikan pendedahan itu palsu atau sahih dulu.
      
Jika didapati palsu, maka terserah, saman atau apa jua hukuman yang munasabah. Jika sah, pancunglah siapa yang patut dipancung.
     
Sekarang orang rasa pemberi rahsia diburu untuk dihukum. Keadilan belum tentu hendak ditegak atau tidak. Sayang orang sekarang ialah terhadap pemberi rahsia. Takut dia teraniaya dalam kepercayaannya untuk menegakkan kebenaran.
      
Persepsi umum merasakan nasib pemberi rahsia tidak sebaik nasib orang yang didakwa. Macam-macam andaian tentangnya. Dibuang kerja atau apa-apa saja.
      
Penyumbang tetap amal jariah itu ramai. Mereka boleh bela orang diburu jika dia jadi mangsa. Iaitu mengalih sumbangan tetap bulan amal jariah seringgit itu ditukar kepada sumbangan membela keadilan dan kebenaran kiranya yang diburu jadi mangsa. Jika yang diburu iu sama seperti IS, maka lainlah cerita.
     
Jika dia dibuang kerja, nak makan apa dia dan keluarganya, sedang dia rasa dia hendak menegakkan kebenaran? Menukar sumbangan tetap kepada penegak keadilan itu juga satu amal jariah yang mulia juga. – HARAKAHDAILY 8/12/2015


Share on Myspace