Sekolah agama percuma jika BN ambil Selangor

SUBKY LATIF | .

SUDAH tentu semua setuju dengan rancangan Datuk Seri Noh Omar untuk menjadikan semua  sekolah agama di Selangor percuma jika Barisan Nasional mengambil alih kerajaan Selangor dalam pilihan raya yang akan datang.  
     
Ia adalah satu rancangan yang baik dan sepatutnya telah lama dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri Barisan Nasional. Tidak perlu tunggu BN berkuasa semula di Selangor untuk melaksanakannya di negeri-negeri yang dikuasai oleh BN sekarang.
    
Dengan kuasa yang ada pada kerajaan Barisan Nasional, dia boleh buat apa yang ia mahu. Tiada duit, ia boleh jual apa-apa harta negara kepada kerajaan asing seperti yang dibuatnya dengan China sekarang bagi mendapat sedikit duit untuk membayar hutang 1MDB atau ia boleh dorong mana-mana pihak menderma kepada ketua kerajaan seperti yang dimasukkan 2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
     
Ada cara kerajaan pimpinan Najib ini mendapat duit jika ia hendak memberi sekolah dan pelajaran percuma seperti yang Noh sebut itu. Untuk menunggu Selangor diambil balik belum tentu boleh diambil.

Apabila lain-lain negeri laksanakan sekolah agama percuma menjelang PRU14 sebagai tindakan politik bagi mengekalkan kuasa, maka Selangor yang Azmin Ali perintah mungkin ikut sama supaya pengundi di Selangor tidak pergi kepada BN.
     
Antara yang menyebabkan orang Melayu hilang ghairah pada Umno awal tahun 2000 ialah Perdana Menteri Mahathir sekat bantuan Sekolah Agama Rakyat. BN di negeri-negeri yang lebat pengundi Islam kecemasan untuk menangkis angkara kesilapan akhir pentadbiran Mahathir dulu.
     
Kempen kuat pembangkang membela pelajaran dan sekolah agama rakyat membantu kekalahan BN di Selangor, Perak dan Kedah.
    
Noh nampak sekolah dan pelajaran agama percuma pada ketika sekolah tahfiz tumbuh di merata-rata boleh memulihkan semula minat orang Islam kepada Umno. Janji Noh belum tentu laku kerana rakyat Selangor menunggu kedatangan pemimpin Umno yang baik dulu. Noh laksana Najib juga bukan aset yang baik bagi Selangor.
    
Sekolah agama percuma itu adalah satu cabutan kecil daripada manifesto Pakatan Rakyat dalam PRU13 lalu yang menjanjikan pelajaran percuma kepada semua dari tadika hingga ke universiti. Sekolah agama adalah termasuk.
    
Bukan sekadar Sekolah Agama percuma,  SK, SK(C), SK(T) juga percuma. Malah pelajar Islam yang mengambil perubatan di Mesir ditanggung.
     
Justeru PR tidak berkuasa, maka sekolah percuma belum dapat dilaksanakan.
     
Cadangan Noh itu bukan satu janji baharu. Tetapi ia dipercayai diteruskan oleh Pakatan untuk PRU akan datang. Kita tidak kata Noh tiru manifesto Pakatan, tetapi jika dia tiru benda yang baik apa salahnya.
     
Kerajaan Selangor boleh menimbangkan cadangan Noh itu untuk dilaksanakan tahun depan. Jika ia tidak diperuntukkan dalam belanjawan yang sudah dibentang, ia boleh meminta peruntukan tambahan khusus untuknya.

Adun BN Selangor tentu tidak keberatan menyokong Dun Selangor minta peruntukan tambahan untuk sekolah agama percuma tahun 2016 ini juga kerana semangatnya adalah juga daripada ketua BN Selangor sendiri.
      
Tidak kita kata cadangan Noh itu bersifat politik semata-mata, yang penting ia adalah satu cadangan untuk kebaikan semua.
      
Janji Noh itu tidak wajar dijadikan program di Selangor saja. BN dan Pakatan patut berlumba mengambilnya sebagai agenda yang perlu disegerakan untuk semua negeri. Setiap negeri ada sekolah agama. Semua negeri patut mulai tahun 2016 melaksanakan cadangan Noh itu.  – HARAKAHDAILY 9/12/2015

Share on Myspace