Hisham pertahan Najib justeru Dr. M mahu kekal presiden

SUBKY LATIF | .

APAKAH Tun Dr. Mahathir telah becakap suatu yang hakiki apabila sebagai Presiden Umno suatu masa dahulu dia mahu dikekalkan tanpa mengira pimpinannya relevan atau tidak?
     
Maka nafsu yang sedemikian tidak boleh jadi hujah membuta tuli Datuk Hishamuddin Hussein untuk mempertahankan abang pupunya Najib kekal sebagai Presiden Umno.
     
Hisham terlalu kecil untuk berdebat dengan Mahathir dalam isu Najib perlu dilucutkan daripada Presiden Umno dan Perdana Menteri.
     
Pertama Hisham bukanlah Naib Presiden Umno yang terpintar sehingga kini. Antara Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang tidak bersinar sejak zaman Datuk Harun Idris. Bahkan sebagai Ketua Pemuda Umno, orang terasa ketuanya Khairy Jamaluddin.
    
Dr. Mahathir pula adalah Presiden Umno paling pintar dan paling berani sejak zaman Datuk Onn Jaafar. Sebagai semua manusia yang jadi pemimpin dia ada otak dan ada nafsu. Rata-rata Raja berakhir mangkat jika tidak digulingkan. Nafsu pemimpin bukan raja - demokrasi atau tidak - mahu kekal sepanjang hidup.
    
Mahathir juga seperti Najib jika boleh mahu kekal. Dia juga sedia buat apa yang boleh mengekalkannya. Macam-macam hujah dan dalih dia guna supaya dia kekal. Orang suka atau getik, dia adil atau zalim, dia buat kerja atau tidak, nafsunya mahu dia kekal. Yang tiada nafsu pertahan kedudukan ialah Tun Hussein Onn. Dia biar orang guling dia.
     
Yang mengekalkan pemimpin bukan pemimpin itu  sendiri, tetapi mereka yang boleh digunakannya. Ikut pemimpin itulah cara dia gunakan orang bagi mengekalkannya.
     
Maka terserahlah kepada orang ramai patutkah dikekalkan seorang pemimpin atau gantikan. Sekalipun Mahathir dikatakan pernah berkata, dia patut dikekalkan, itu adalah helahnya supaya semua orang Umno ikut apa yang dimahunya. Jika orang Umno mengikut kemahuannya, itu adalah masalah orang Umno yang boleh digunakannya.
    
Orang Umno yang cerdik tidak patut jadi bodoh ikut kemahuannya. Siapa pun jadi macam Mahathir ketika itu akan buat macam dia, kecualilah kejadian terhadap Hussein Onn. Kita boleh kata pendirian Mahathir pada masa itu amat tidak releven. Kelemahan Mahathir itulah yang diulangi oleh Najib.
     
Najib patutnya jangan buat tak betul seperti Mahthir buat. Perbuatan tidak betul Mahathir itu tidak jadi betul jika Najib buat yang sama. Najib jadi tidak betul macam Mahathir juga.
    
Sekarang Mahathir sudah bebas. Orang tentu tahu dan sedar apa yang betul dan yang tak betul dulu. Dulu dia tidak betul, tiada yang berani kata dia tidak betul. Yang merosakkan pimpinan Mahathir dulu, orang Umno yang ikut saja katanya.
     
Dulu Mahathir juga salah/silap. Sekarang dia sedar Najib pun buat macam dia dulu juga. Sebagai orang yang tidak mahu sekali lagi pemimpin Umno perbodoh Umno dan rakyat, maka dia yang sudah sedar kena cegah Najib tidak ulangi kerja hawa nafsunya.
     
Dulu dia tidak betul. Sudah sekarang betul, kenalah dia betulkan Najib supaya tidak tiru dia. Semua orang patut sokong Mahathir cegah Najib ulang nafsu yang tidak betul. Tentang tidak betul Mahathir dulu, terserah kepada umum apa patut dibuat. Tetapi tidak betullah yang Mahathir buat betul sekarang dihalang.
    
Hussein Onn sendiri pernah cuba halang Mahathir meneruskan pimpinan. Dia dan Tunku setuju dengan Ku Li taja Umno menggantikan Umno yang diharam. Mengapa Hussein Onn buat begitu? Ertinya tidak mahu kekalkan Mahathir jadi pemimpin. Dia gagal. Tidak bolehlah kegagalan Hussein itu dijadikan alasan Mahathir tidak boleh suruh Najib berhenti?
     
Hisham lupa bapanya pernah cuba sekat Mahathir daripada terus memimpin. Demikianlah budaknya otak Hisham pertikai Mahathir. – HARAKAHDAILY 11/12/2015

Share on Myspace