Patut Azalina dibawa ke JK Khas Parlimen?

SUBKY LATIF | .

PATUTKAH Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said dihadapkan ke Jawatankuasa Khas Parliman yang membicarakan Anggota Parlimen yang berbohong di Parlimen?
      
Parlimen patut memikirkan apakah dia berbohong atau tidak tentang jawapan kepada satu soalan di Parlimen yang dikemukakan kepada Perdana Menteri tentang isu 1MDB, yang dikira satu skandal negara yang terbesar.
     
Perdana Menteri Najib tidak menjawab semua soalan berhubung isu itu. Menteri Azalinalah yang jadi galang gantinya.
     
Azalina pun tidak menjawabnya tetapi memberi tahu Parlimen Perdana Menteri akan menjawab semua soalan mengenainya di hujung persidangan Parlimen yang baru berakhir itu.
    
Sekalian Anggota Parliman dan rakyat di luar Parlimen terpaksa berpuas hati dengan janji Azalina itu. Apabila sidang Parlimen berakhir jangankan jawapan Perdana Menteri, kelibat Perdana Menteri pun tidak kelihatan.
     
Azalina memberitahu Parlimen Perdana Menteri akan menjawabnya di hujung persidangan. Tetapi tiada jawapan daripada Perdana Menteri seperti yang dijanjikan oleh Azalina.
     
Tidakkah ini namanya Azalina sudah berbohong di Palimen atau dia membuat janji palsu di Dewan yang mulia itu?
     
Parlimen bukan tempat orang berbohong. Jika Parlimen tidak hirau anggotanya berbohong, maka hilanglah wibawa dan kemuliaan Parlimen. Sesiapa yang berbohong dan disabitkan dia berbohong, boleh hilang kelayakannya sebagai anggota Parlimen.
       
Mungkin Azalina tidak pernah bercadang memberi janji kosong yang boleh dikira berbohong. Dia tentunya tidak memandai-mandai membuat jawapan bagi pihak Perdana Menteri. Tentulah dia disuruh oleh Perdana Menteri berkata begitu.
      
Rasanya Perdana Menterilah yang suruh dia menyampaikan mesej palsu itu. Atau boleh dikatakan, Azalina telah dibohong oleh Perdana Menteri. Mungkin Azalina tidak tahu langsung yang Perdana Menteri tidak akan datang untuk menjawabnya.
       
Sama ada Azalina ditipu atau dia disuruh tipu Parlimen, jelaslah yang memberi jawapan kosong di Parlimen itu Azalina. Jika Azalina ada maruah, dia patut berasa malu kerana apa yang dijanjikannya tidak berlaku.
     
Perdana Menteri tidak kata apa-apa mengenainya. Yang berkata ia Azalina.
    
Azalina patut ditribunal mengapa dia cakap tentang Perdana Menteri dan kemudian Perdana Menteri tidak komen tentang kenyataan Azalina. Dia tidak nafi dan tidak mengesahkannya.
    
Jika Azalina dijanjikan oleh Najib yang dia akan jawab di hujung sidang, Azalina jika ada maruah mesti nyatakan kekecewaan kepada Najib atas tiada jawapan daripadanya seperti yang dijanjikan. Azalina sudah malu besar kerana cakapnya tidak ditunaikan. Jika dia ada maruah, dia mesti protes Najib.

Kalau dia tidak protes, dia telah membenarkan Najib memperbodohkannya kepada Parlimen. Najib tidak layan Azalina sebagai angota Parlimen yang ada maruah tetapi menjadikannya orang suruhan atau abdi yang mesti ikut kata tuan.
      
Kerana nama Najib yang dikaitkan oleh Azalina, maka yang patut kena tribunal adalah Azalina. Pastikan apa yang terjadi dan Azalina kena jawab mengapa tindakan tidak boleh dikenakan kepadanya.
     
Tindakan ini penting kerana Parlimen sudah dicemar. Janji menteri sudah tidak ditunaikan. Jika Parlimen puas hati, Azalina kata begitu justeru dijanjikan oleh Perdana Menteri, mungkin kedua-duanya boleh dihukum hilang kelayakan jadi MP kerana Parlimen sudah dipersenda. Kita mesti pastikan Parlimen tiada kartun supaya ia tidak jadi Parlimen kartun. – HARAKAHDAILY 14/12/2015

Share on Myspace