Nabi hijrah dengan unta, kami ke Madinah dengan bas

SUBKY LATIF | .

SAYA cuba bayang dan cuba samakan pengembaraan ke Madinah Munawarah setelah selesai Tawaf Wida’ umrah di Makkah Mukarrammah dengan perjalanan hijrah Rasul SAW 15 abad lalu.
     
Bolehlah disamakan?
     
Tidak dapat disamakan sama sekali. Kami mengembara dengan bas berhawa dingin melalui lebuh raya berstandard dunia yang dilalui ratusan kenderaan setiap hari tanpa gangguan keselamatan. Sedang Nabi mengguna unta bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq dengan dipandu oleh seorang penunjuk jalan, berjalan secara rahsia dan penuh dengan ancaman keselamatan.
      
Bas kami dipandu lancar di jalan lurus boleh diagak dari awal, akan tiba sekitar lima jam. Kami meninggalkan Makkah disaksikan oleh orang ramai. Nabi terpaksa sendirian meninggalkan rumah tengah malam, melepasi sentri polis jahiliyah Quraisy yang berkawal sepanjang malam di pintu jalan keluar dari kediamannya untuk membunuhnya.
      
Dengan mukjizat yang Allah kurnia kepadanya sekalian sentri dingantukkan dan tertidur. Baginda pun lepas daripada kepungan ke rumah Saidina Abu Bakar dulu, bersama jalan liku berlindung di gua sebelum berlepas dengan pemandu jalan yang ditempah oleh Saidina Abu Bakar.

Musuh kemudian mengejarnya hingga ke pintu gua. Mukjizatnya juga melindunginya tidak dapat dikesan, padahal jika menundukkan kepala mengintai lubang gua, nescaya keduanya akan dijumpa.
     
Dari gua itu baginda tidak mengambil jalan pintas tetapi mengambil jalan ke belakang dulu sebagai ikhtiar mengelirukan musuh yang menjejakinya. Banyak cerita baginda dapat dijejaki musuh hingga hampir dibunuh oleh pembunuh upahan tetapi mukjizat juga kuda yang diguna pembunuh upahan terjatuh ketika senjata telah dihunus.
       
Dari dalam bas saya cuba membayang jalan-jalan yang dilalui Rasulullah SAW. Bas kami patutnya bertolak sebelum zuhur supaya sempat asar di Masjid Nabawi. Tetapi kerenah manusia, ketika zuhur di Masjidil Haram baru dapat bertolak.
      
Sepanjang kiri kanan jalan merentas gurun batu besar berketul-ketul, tidak dapat dibayangkan bagaimana unta yang baginda tunggang dapat melaluinya.

Sekalipun unta itu ada ketikanya dipacu memanjat di celah-celah batu itu, tentulah tidak banyak masa unta menjalani bumi berbatu berketul itu. Tentulah ada lorong yang selalu diguna orang berkuda dan berunta yang selalu berulang alik antara dua tanah suci itu.
      
Sekalipun orang di gurun seperti itu telah biasa dengan panas terik tanpa bayang pokok justeru tiada pokok yang tumbuh kecuali di tempat yang didiami saja, tetapi alangkah peritnya berjalan di bumi berbatu, di atas kepala matahari memancarkan cahaya panas mendidih dan pantulan panah matahari di kaki unta tambah memanaskan sekalian pengembara.
     
Pada panas seperti biasanya pengembara tidak berjalan siang. Siang mereka berteduh di mana boleh. Malam saja mereka bergerak. Nabi biasanya mendapat payungan awan jika berjalan pada waktu siang terik.

Tentulah panas seterik itu tidak rasa panas sangat oleh bagnda, tetapi jika orang biasa tanpa payungan awan daripada Allah tentulah amat terik berjalan di bawah cuaca demikian.
      
Bagi penghuni padang pasir ketika itu panas terik itu hal biasa. Nabi juga tentu banyak pengalaman  panas sebegitu.
      
Cuma sebagai orang yang tidak dibesarkan di bumi seperti itu tidak dapat membayangkan perit perjalanan hijrah rasul itu. Hijrah itu adalah bagi orang-orang Makkah masa itu. Kita tidak dapat merasa pengalaman itu.

Semasa mengembara dalam bas berhawa dingin itu saya cuba bayangkan ada bersama pengembaraan baginda, moga-moga dapat menumpang syafaatnya. Sekalipun tidak dapat bersama pengalaman baginda tetapi sekalian manusia Muslim mendapat rahmat besar dan tidak terhingga daripada hijrah baginda itu. – HARAKAHDAILY 5/1/2015

Share on Myspace