Siapa ambil air zamzam kami?

SUBKY LATIF | .

SIAPA saja yang menunaikan haji dan umrah, selain dari demi mengabdikan diri kepada Allah, adalah untuk membersih segala dosa yang Allah boleh ampunkan. Dosa kepada dua ibu bapa dan sesama manusia, ibu bapa dan manusia saja yang boleh mengampunkannya.
      
Sekalian yang bertahalul, mencukur semua rambutnya di kepala, mengharapkan sebanyak rambutnya yang gugur, maka sebanyak itulah dosanya ditebus. Bahkan licin kepalanya, maka licinlah dosanya dengan izin Allah.
      
Tiada sesiapa yang telah membersihkan dosanya di Makkah dan Madinah Munawarah, mahu membuat dosa lagi setelah pulang. Itulah harapan semua.
      
Akan tetapi setibanya kami tiga beranak dari Madinah air zamzam yang dibekalkan oleh penguasa umrah kepada pembuat umrah tidak ada. Dalam pentadbiran Saudi sekarang, setiap jamaah haji dan umrah tidak perlu lagi membawa pulang air zamzam.

Sekaliannya akan dibekalkan sekotak berisi balang air zamzam untuk setiap penumpang. Kotak itu akan masuk bersama bagasi masing-masing.
     
Masing-masing memungut balang air zamzam itu  semasa memungut bagasi masing-masing. Pembawa umrah sudah memberitahu, semasa memungut bagasi di destinasi masing-masing ambilah satu kotak air zamzam. Jika  ambil lebih bererti kita mengambil hak orang lain.
     
Kotaknya serupa untuk semua. Semua orang bebas ambil bagasi masing-masing termasuk kotak air zamzam. Kastam tidaklah hendak periksa bagasi masing-masing kecuali disyaki ada penyeludupkan barang terlarang.
     
Bagasi kami lambat keluar. Hampir semua telah dapat bagasinya, barulah semua bagasi kami terpungut. Selepas itu barulah kami hendak mengambil kotak air zamzam. Pembawa umrah pun sudah keluar kerana menyangka semua telah ambil apa yang hak untuk semua.
     
Kami dapati kotak air zamzam sudah habis. Tiada satu pun yang tinggal. Pada siapa hendak ditanya kerana semuanya sudah keluar.
      
Semua diperuntukkan sekotak seorang. Tidak mungkin pentadbir di lapangan terbang Madinah tidak membekalkan untuk semua. Dari Madinah itu tentulah semua penumpang Islam. Orang Islam baru lepas umrah tidak wajar mengambil  hak orang lain.

Kapal terbang itu singgah di Riyadh mengambil penumpang lain. Tak mungkin penumpang bukan Islam dari Riyadh mengambil kotak air zamzam itu. Buat apa mereka air itu. Atau penumpang Islam dari Riyadh mengambilnya?
      
Syak saya ialah orang menunaikan umrah bersama kami itu juga yang mengambil kotak yang bukan haknya. Mungkin mereka mengira mengambil air zamzam kepunyaan orang lain tidak salah. Tetapi kami tiga beranak pulang tanpa air zamzam.
     
Air zamzam memang penting bagi setiap yang pulang dari Makkah. Dan sanak saudara yang menunggu kepulangan orang dari Makkah pun suka kalau dapat seteguk dua air zamzam yang keramat itu. Jika tiada yang lain dapat diberi sebagai buah tangan memadai dengan seteguk air zamzam.
     
Memang pada kami air zamzam itu penting. Ia disimpan untuk disuap sebagai makanan pertama bagi bayi yang baru lahir. Kami bawa ke hospital bersalin, pesan pada misi pasti anak cucu yang baru lahir itu disudukan air zamzam dulu sebelum menetek dari ibunya.
     
Sekarang di majlis akad nikah anak saya, selepas sah ijab kabul, kami edarkan sebiji kurma dan seteguk air zamzam kepada setiap tetamu. Penting bagi kami menyimpan air zamzam.
     
Kami maklumkan ketiadaan air zamzam itu kepada pengendali umrah. Dia tunggu mutawirnya pulang kemudian. Hak anaknya diberi sekotak kepada kami. Beberapa lama kemudian dihantarnya sekotak lagi. Sekotak lagi akan digantinya kemudian.

Ada juga orang balik dari umrah, selepas membersihkan dosa di tanah suci mengambil air zamzam orang lain. Itulah manusia. – HARAKAHDAILY 6/1/2015

Share on Myspace