Menyelaras kurikulum maahad tahfiz

SUBKY LATIF | .

TPM Datuk Seri Zahid Hamidi telah mencadangkan supaya pembelajaran maahad tahfiz yang tumbuh di merata-rata di negara ini diselaraskan bagi menseimbangkannya dengan mata pelajaran akademik.
     
Ia bukan sekadar patut diselaraskan tetapi kerajaan juga memasukkan pengajian menghafaz al-Quran ini ke dalam sebahagian daripada dasar pelajaran kebangsaan.

Sebagaimana Laporan Murad Mohd Nor menyarankan wajarnya sekolah agama rakyat dimasukkan dalam sistem dasar pelajaran kebangsaan justeru ia adalah sistem pelajaran yang terawal di negara ini sejak sebelum kedatangan penjajah lagi, maka sistem maahad tahfiz telah dipelopori oleh rakyat sejak berpuluh-puluh tahun dulu.
     
Perkembangan sekolah tahfiz amat menggalakkan kira-kira 30 tahun kebelakangan ini sekalipun ia tidak diperhatikan oleh kerajaan justeru tumpuan kerajaan banyaknya untuk memastikan tiap-tiap murid menguasai bahasa Inggeris.
      
Ketika kerajaan menumpu dan mencari kaedah menguasai bahasa Inggeris ramai ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz seawal usia 10 tahun. Perdana Menteri Abdullah Badawi terkejut ketika kunjungannya ke Afrika Selatan mendapati ramai kanak-kanak Melayu seusia itu belajar menghafaz Quran di sana.
      
Dia tanya kanak-kanak itu mengapa bapa mereka hantar mereka ke situ? Jawab mereka, bapa mereka mahu anak mereka belajar agama. Saya difahamkan dia tertanya-tanya apakah Malaysia tidak cukup sekolah agama hingga rakyat menghantar anak sampai ke Afrika Selatan? Ketika sudah ramai yang menghantar anak ke Pakistan dan Turki.
     
Dia mungkin lupa saya pernah dapat bantuan daripadanya semasa dia menjadi Menteri Luar bagi menghantar kanak-kanak semuda itu belajar di Pakistan. Kerajaan Pakistan telah memberi kerjasama.
      
Saya pernah cadangkan kepada Tamrin Ghafar semasa dia jadi pengurusi MARA. Jika Mara ada Maktab Sains Mara, apa salahnya Mara membuka pula Maktab Sains al-Quran? Dia tertarik tapi akan dapatkan persetujuan Perdana Menteri Dr. Mahathir.
      
Ketika ibu bapa Melayu memungut dana bagi membeli tanah dan mendirikan bangunan sekolah tahfiz, Pakistan, Turki dan Afrika Sselatan telah pun mengeluarkan ribuan hafiz dan hafizah. Ia tidak dapat disekat. Seolah-olah tiap-tiap ibu bapa Melayu sekarang bercita-cita agar sekurang-kurang seorang anaknya hafaz Quran.
     
Bagi menyelaraskannya kerajaan patut kaji sistem itu sejak zaman khulafah Islam dulu dan apa kaedah yang diguna di negara-negara Islam. Saya difahamkan Turki ada kaedah yang terbaik. Rata-rata di seluruh Turki rakyat sendiri membina sekolah tahfiz. Kebanyakan sekolah tumpu hafazan saja, 70 peratus tamat dalam masa dua tahun. Selepas itu baru kanak-kanak itu diberi mata pelajaran lain.
     
Kanak-kanak yang hafaz Quran amat mudah menguasai lain-lain pelajaran.
    
Turki memberi peluang tiga bulan bagi murid mengikuti asas hafazan. Jika dapati tiada keupayaan, disalurkannya kanak-kanak di sekolah lain – sekolah agama atau sekolah biasa. Yang didapati ada keupayaan, lazimnya 70 peratus tamat seawal dua tahun. Bakinya mengambil masa tiga tahun atau lebih.
    
Penyelarasan yang dicadangkan oleh kerajaan hendaklah tidak sekadar kurikulum tetapi mengambil kira, kanak-kanak boleh mula belajar seawal 9 atau 10 tahun atau lebih. Jangan ganggu sehingga mereka khatam. Lepas itu barulah diberi pelajaran lain.
       
Bagi yang dalam tiga bulan, cerdik tetapi tidak kuat daya hafazan, perkenalkan mereka dengan mata pelajaran yang melayakkannya jadi alim. Setelah mereka alim nanti baru mereka  menghafaz al-Quran.
      
Kurikulum yang perlu disedia dan diselaraskan ialah bagi pelajar yang telah hafaz dalam masa dua/tiga tahun. Pilihan yang disediakan untuk jadi ulama terbilang dulu dan menguasai apa-apa bidang profesional atau persediaan jadi orang profesional yang berpengetahuan al-Quran. – HARAKAHDAILY 15/1/2016

Share on Myspace