Kenapa Bajet 2016 hendak dibaiki

SUBKY LATIF | .

PARLIMEN hendak bersidang bagi membaiki Belanjawan 2016 yang sudah diluluskan atau bajet itu perlu dicop bagi menyempurnakannya.
     
Biasanya cop adalah tindakan kanak-kanak bagi membetul atau membatalkan tindakannya yang silap. Seperti bermain gasing. Apabila dia tidak puas hati atas apa yang dibuatnya lalu cuba batalkan bagi membolehkan dia melakukannya semula, maka dia kata cop. Perbuatan yang dicop itu tidak dipakai. Yang dipakai ialah yang dibuat semula.
     
Itulah alam kanak-kanak.
     
Tidak ramai ada pengetahuan tentang bajet yang telah diluluskan dicop. Tetapi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib yang ada pengalaman membentang bajet sejak tahun 2009 seperti hendak melakukaan cop pada belanjawannya yang terbaru.
     
Kerana bajet yang sudah diluluskan itu kita juga yang buat, maka boleh batalkan atau pinda atau baiki di mana-mana yang lemah atau tidak patut ada. Sekalipun kita ada kuasa membuat dan membatalkannya, tetapi tidak pernah kedengaran sebuah kerajaan dan pimpinan yang baik membuat cop atas bajet yang sudah dibentang dan sudah diluluskan.
      
Seolah-olah bajet itu tidak layak dipakai jika tidak dibentang baru.
      
Semua tahu betapa yang sempurna adalah al-Quran. Tiada boleh Ia dipinda atau diubah suai. Bajet ciptaan manusia jauhlah daripada kesempurnaan, maka boleh dipinda jika mahu, tetapi ia adalah kejadian yang tidak diketahui pernah belaku.
      
Biasalah bajet mana-mana alam pun, justeru ia ciptaan manusia, tidak pernah cukup. Setiap tahun akan ada bajet tambahan. Tidak sekadar sekali, bahkan berkali-kali. Bagi sebuah kerajaan yang cekap dan berpengalaman belanjawan tambahannya adalah tidak kerap dan seboleh-bolehnya dielakkan.
      
Bajet yang terbaru ini banyak tempangnya dan amat mencolok mata. Beban kos hidup dan kenaikan harga barang amat berat. Semuanya disalahkan oleh perkembangan luar negara yang kita tidak dapat kawal.
      
Lebih dua tahun saya guna teksi balik dari hospital ke rumah. Biasanya sekitar RM10. Awal tahun baru, lepas bajet diluluskan, tambangnya sudah RM14. Tidak usah dikira tol, minyak dan lain-lain penindasan GST. Mampus kita semua.
      
Tetapi lain-lain negara juga menghadapi masalah luar negara yang tidak terkawal itu. Nampaknya mereka dapat kawal suasana dalam negeri dengan meminimakan tambahan kenaikan barang. Saudi yang dulu riyalnya rendah daripada ringgit kini ia tinggi daripada ringgit. Bhat Thailand yang selama-lamanya rendah daripada ringgit, dalam zaman Najib ini bhat sudah di atas ringgit.
     
Thailand tiada minyak. Tunjuk perasaannya tidak sehari atau sepetang. Tetapi berminggu dan berbulan. Bhatnya melompat mengalahkan ringgit sedang kita banyak minyak dan tunjuk perasaan pun amat kerdil dibanding  dengan Bangkok.
      
Berbulan Anggota Parlimen kita bertegang urat membahaskan bajet. Parlimen getir justeru pembangkang cuba tolak bajet. Susah payah ia diluluskan. Tiba-tiba Pak Najib kita setelah lulus bajet hendak bentangkan semula kononnya supaya lebih prorakyat.
      
Siapa nasihat Najib hingga dia tidak sedar bajetnya dulu cacat. Semua menyedari Najib amat lemah dan Perdana Menteri yang paling tidak terpakai. Adakah justeru dia tidak pakai semua nasihat pegawai dan pembantunya? Sekitar dua bulan bajet itu terdedah di Parlimen. Jika ada kepincangan dalam pembentangannya dulu, mengapa ia tidak dibetulkan semasa tempoh perbahasan?
      
Sesudah sidang berakhir, beban bajet sudah mencekik kerongkong rakyat, baru  pahat berbunyi. Hendak dibaiki ia. Kata hodohnya ialah bajet yang ada hendak robek. Penat semua bersidang, akhirnya bajet yang penyokong BN puji melangit itu diisytihar tidak memenuhi sepatutnya. Itulah Najib. – HARAKAHDAILY 19/1/2016

Share on Myspace