PM ziarah wad Ustaz Hadi

SUBKY LATIF | .

TAHU seluruhnya TG Haji Abdul Hadi Awang direhatkan di hospital IJN baru-baru ini justeru beliau dikunjung Perdana Menteri Datuk Seri Najib. Kunjungan itu diberitakan dalam media. PM ke IJN kerana mengunjungi seorang yang rapat dengannya. Diketahuinya Tok Guru direhatkan di wad, maka beliau singgah.
     
Bukan justeru adanya kata-kata diplomasi apa yang dikatakan kerjasama PAS-Umno, maka Perdana Menteri menziarahi Ustaz Hadi di hospital. Adalah biasa sebelum ini PM Najib menziarahi pemimpin-pemimpin PAS di hospital seperti  Tok Guru dan Dr. Haron Din.
     
Apapun ia adalah kelincahan Perdana Menteri bagi menggambarkan keterbukaan dan membuat apa saja yang wajar dibuat oleh seorang Perdana Menteri yang jarang ada masanya tak buat apa-apa.
     
Adakah ia kunjungan politik bagi menguatkan lamarannya untuk bekerjasama dan mahu menyakat seteru-seteru politiknya, maka biarlah ia pada niatnya.
    
Islam menyarankan orang yang beriman wajar mengambil berat menziarahi orang sakit. Jangan lama nanti hilang pahala sunatnya. Orang sakit itu asasnya perlu rehat. Kunjungan yang lama mengganggunya lagi pun yang ziarah bukanlah seorang dua saja. Maka sunatnya luangkan masa antara 5 dan 10 minit.
      
Saya pernah 20 tahun lalu mendengar kaset Ustaz Hadi. Jika saya tidak salah, katanya, setiap masa ada 70 ribu malaikat di sisi orang yang sakit. Lazimnya malaikat itu penuh dengan zikir. Apabila ada yang mengunjungi si sakit, maka sekalian malaikat itu mendoakan keampunannya.
      
Pengunjung pesakit bukan sekadar dapat doa keampunan daripada malaikat, bahkan besar pahalanya. Bertuahlah bagi sesiapa yang tinggal dekat hospital membiasakan diri banyak menunjungi hospital, tidak kira yang sakit itu dikenali atau tidak.
     
Rasulullah SAW sentiasa diganggu oleh jiran Yahudinya. Satu hari tiada dia mengganggu. Baginda rasa pelik lalu baginda pergi ke rumahnya. Rupanya Yahudi itu sakit. Yahudi itu takjub akan orang yang sentiasa diganggu menziarahinya. Lalu Yahudi itu beriman. Baginda sekadar hendak mengetahui apa jadi padanya.
    
Rupanya dia sakit dan kebetulan kunjungan itu jadi kunjungan kepada orang sakit. Tidak terkiranya besarnya pahala Nabi kerana kunjungan itu menyebabkan Yahudi itu mengubah akidahnya.
    
Najib adalah orang beriman. Jika ziarahnya terhadap Ustaz Hadi dipasang dengan niat yang elok, maka ia satu kunjngan ibadat. Besar pahalanya. Yang tidak beriman, seelok manapun niatnya, tiada jadi ibadat dan kosong pahala. Tiada dapat dia doa keampunan daripada malaikat.
    
Tapi kalau niat kunjungan PM itu bertujuan bagi mengekalkan perpecahan pembangkang dan mahu memperdaya PAS supaya tidak lagi menegur semua penyelewengannya yang lalu dan yang akan datang,  meredhai semua penyelewengan lalu para pemimpin Umno, maka sukarlah ia jadi kunjungan ibadat.

Ia dapat gah diplomasi kosong. Apa lagi kunjungan itu bagi mengekalkan pengaruh dan kuasa dan supaya kekal semua kerja yang terbukunya selama ini.
     
Bagaimanapun mengunjungi orang soleh dan tok guru pula, moga-moga dilimpah syafaat, dapat petunjuk, jadi orang yang berubah atas penerimaan terbuka dan ikhlas serta doa orang yang dikunjung. Yang memberi syfaat itu bukan orang dikunjung tetapi Allahlah yang mengubahnya.
     
Apa yang Najib perlu buat ialah betulkan niat kunjungan itu supaya berpahala dan dapat petunjuk. Jika mahu kerjasama, buatlah kerjasama itu kerana Allah dan jika tidak mahu kerjsama, biarlah juga kerana Allah. Semua mesti berdoa minta jadi macam Saidina Umar al-Khatab, bukan jadi macam Abu Jahal. – HARAKAHDAILY 20/1/2016

Share on Myspace