Apa kata siswa puasa sunat saja?

SUBKY LATIF | .

SUDAH tentu semuanya merasa hiba mendengar ramai siswa terpaksa mengikat perut justeru tidak cukup duit untuk membeli makanan dan makanan pula mahal.
     
Antaranya makan dengan kuah. Kuah tanpa isi itulah dikira lauk. Atau ada yang makan sekali sekala.
     
Mungkin nasib orang gelandangan lebih baik daripada mahasiswa. Akan gelandangan itu sekurang-kurangnya ada NGO yang mengambil berat nasib mereka, mengadakan nasi kawah.
     
Mahasiswa? Belum ada yang bertindak.
     
Mungkin sebelum ini duit yang sedikit dapat menampung ala kadar makan bagi melapik perut. Ada lauk dan kuah.
     
Tetapi dengan kenaikan semua baru awal tahun; tol, tambang dan lain-lain, maka makan berkuah dua kali sehari, tahun ini jadi sekali saja.
     
Apa hendak dikata. Nasib negeri kita sudah tidak berduit. Mungkin inilah yang dikatakan semua berlegar  dalam kalangan sedikit orang yang berada, dan yang tidak berada makan berkuah saja. Makan berkuah itu sudah nasib baik. Makan nasi saja tak berkuah lagi teruk.
     
Saya teringat masa kanak-kanak musim Jepun. Selalulah kami makan bergaulkan minyak masak yanag ditabur garam. Sekali sekala dapat minyak sapi. Dari nasi kosong, nasi gaul minyak garam jadi nikmat juga.
     
Mungkin sekarang kita sudah mendekati semula musim Jepun. Kepada siapa kita hendak mengadu selain daripada mengadu kepada diri sendiri. Mungkin kita hendak mengadu kepada kerajaan atau menyalahkan kerajaan. Kerajaan pun susah juga. Mungkin mengadu kepada kerajaan memenatkan saja.
     
Jika mahasiswa tinggal berdekatan dengan surau dan masjid, rajin-rajinlah menjenguk masjid, solat berjemaah. Biasanya sekarang ramai orang mati. Keluarga mengadakan tahalil dan kenduri arwah. Jemaah surau dijemput. Tentullah ia dapat dari semasa menampung keperluan. Jamuan tahlil cukup kuah dan lauknya. Lepaslah daripada makan dengan kuah saja.
     
Mungkin nasib masing-masing  berubah dengan berubah kerajaan. Tetapi tidak tidak tahu bila kerajaan hendak berubah.
     
Bukan saja mengadu kepada kerajaan dan menyalahkan kerajaan mungkin tidak mendatangkan apa-apa faedah, sebaliknya mengata itu dan ini pada kerajaan menyebabkan orang benci dan ketika pada kita.
     
Terima sajalah apa yang ada dan apa yang dapat. Mungkin nasib mahasiswa itu lebih teruk daripada ayam. Ayam boleh juga kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mahasiswa nak kais apa. Kampus dan kawasan sekitarnya bersimen belaka. Tiada tempat mengais.
    
Bagaimana kalau dicadangkan yang siswa mengikat perut dan makan berkuah saja berpuasa sebanyak-banyaknya. Makan sekali tak berlauk itu tangguhkan untuk berbuka. Kalau tidak boleh puasa sepanjang minggu, puasa bergilir hari.
     
Nabi SAW apabila tiada makanan di rumah, baginda sekeluarga puasa. Mana ada orang puasa mati. Berpuasa dapat pahala. Semua nabi-nabi menganjurkan umatnya berpuasa pada hari-hari tertentu atau pada hari terputus bekal makanan.
     
Orang Islam sejak kanak-kanak telah dilatih berpuasa. Tidak ada orang Islam mengurang tenaga kerjanya kerana berpuasa. Dengan berpuasa tidak akan mati kerana tidak ada kemudahan mendapat makanan nescaya diganti dengan puasa.
    
Orang banyak puasa menjadikkan ia takwa. Dari makan sekali sehari tidak puasa, baiklah berpuasa makan sekali masa berbuka. Pahala dapat dan membuka peluang beribadat. Doa orang puasa mudah makbul. Berdoa semasa puasa supaya beroleh kerajaan yang boleh mengubah nasib rakyat, moga-moga dimakbul. – HARAKAHDAILY 22/1/2016

Share on Myspace