Bertanding satu sama satu

SUBKY LATIF | .

ADALAH suatu yang sukar untuk memikir tentang bagaimana hendak mengekalkan pertandingan satu lawan satu dalam PRU14 sekitar dua tahun lagi.
    
Ia adalah gara-gara PAS telah terkeluar dari gabungan pembangkang utama dan orang PAS lari dari parti berazam bersungguh mencabar PAS atau memberi kata dua padanya berpakat dengannya atau berlawan.
     
Apapun yang baik buat PAS ialah banyak berdiam masa ini. Sesusah manapun, cabaran dan ancaman dari teman pembangkang lain, usah jawab dan jadikan satu yang perlu ditentukan di saat terakhir menjelang PRU itu nanti.
     
PAS buat saja kerja yang melayakkan ia boleh meraih sokongan besar dengan izin Allah. Dengan masing-masing ada mulut, ada media dan jari jemari di muka komputer, janganlah gunakan semua kemudahan itu untuk kata apa suka dan tulis apa suka, tekan butang meter ikut suka untuk bertanding sendiri, lawan tiga empat penjuru dan apa jua.
      
Keadaan masa ini semua orang di luar Umno dan BN mahukan pertandingan satu lawan satu. Pertandingan yang demikian membuka peluang lebih baik bagi mengubah kuasa. Berubah atau tidak hanya ditentukan Allah, tetapi kita jangan bercakap tentang perkara yang tidak popular dan yang tidak disukai orang.
     
Jika betul kita sukar mengekalkan tanding satu lawan satu, usah disebut-sebut ia tidak akan diulangi lagi. Bila kita jaja kita hendak bersendirian dan tidak akan ada lagi satu lawan satu, maka ia akan mengundang pukulan  dan cemuhan semua orang. Ia akan menjadi kita tidak kawan langsung.
     
Kita mesti pada masa ini tentang betapa eloknya satu lawan satu itu dan kita mesti kata itulah sikap dan kehendak kita. Sekali pandangan keadaan kita bersendiri itu kita sukar untuk menghadapinya, tetapi kita jangan sama sekali tunjukkan kita mahu pertandingan berbagai penjuru.
     
Kita mesti kata, yang sebaik-baiknya satu lawan satu itu hasrat kita dan kita perlu sebutkan bersungguh bahawa kita hendak kekalkan sikap seperti PRU13 itu. Mungkin orang tidak nampak dan tidak percaya itu adalah hasrat kita, tetapi kita mesti kata yang kita berusaha melaksanakan permintaan itu.
     
Mungkin kita boleh kata, ia suatu yang sukar tetapi jangan tunjukkan kita sudah berputus dengan kerjasama yang lalu. Kita ikut rentak politik yang ada. Kita tidak rugi mengatakan kita mahu berunding tentang kerusi dan tempat bertandng. Kita boleh tidak hadir dalam perundingan, tetapi jangan katakan sudah tidak mahu lagi persefahaman.
     
Dan mungkin kita menyertai semua perundingan. Dan kita bebas untuk tidak bersetuju dengan pembahagian dicadangkan. Tidak setuju itu tidak bererti tidak hadir perundingan lagi. Mungkin seminggu sebelum penamaan calon kita tidak selesai dengan calon dan kerusi.
     
Pada ketika seperti itu kita tetap kata kita ada pro satu lawan satu. Jika pada hari penamaan calon kita masih tidak mencapai persetujuan, ia bukan disebabkan satu lawan satu itu tidak betul tetapi ia amat payah untuk dilakanakan.
     
Masa kempen semua tidak cukup masa untuk menyalahkan orang yang tidak mahu satu lawan satu. Orang semua banyak kerja untuk menang kerusi yang ditandingi. Tapi jika kita dari sekarang menolak satu lawan satu, kita ada masa dua tahun untuk berperang atas hal itu   
    
Allah beri kita mulut bukan untuk bercakap saja. Kita perlu mulut untuk makan, minum, membaca Quran, berzikir, bernasyid dan jadi alat utama jadi imam dan berunding serta ijab kabul. – HARAKAHDAILY 26/1/2016

Share on Myspace