Hamidah Othman lebih dinamik daripada ulama Umno

SUBKY LATIF | .

SAYA ikuti perbualan pemimpin veteran Umno di TV.
      
Mereka bersungguh-sungguh membidas Tun Dr. Mahathir kerana dia menentang Perdana Menteri Najib hingga berusaha menyingkirkannya daripada Perdana Menteri dan Presiden Umno.
     
Mereka mempertahankan Najib supaya meneruskan pimpinan, bukan kerana dia baik dan pimpinannya baik, tetapi justeru dia adalah ketua sekalipun karut, peluang hendaklah diberikan kepadanya jika boleh sama panjang dengan tempoh pentadbiran Mahathir.
     
Mereka tahu Najib banyak kelemahan dan bukanlah orang terbaik untuk menjadi pemimpin pada masa ini, tetapi dia adalah ketua mereka dan dia mesti Umno sokong.
     
Mereka kata, Dr. Mahathir dulu juga ada kelemahan dan banyak kesalahan, tetapi ia tidak menjadi sebab Umno menentang dan mahu dia diberhentikan. Mereka tahu dan akui Dr. Mahathir juga banyak karutnya, mereka tetap pertahankan dia hingga dia menjadi Perdana Menteri paling panjang berkuasa di negara ini.
     
Sekarang giliran Datuk Seri Najib pula jadi pemimpin, maka tidak boleh Dr. Mahathir perleceh dia. Apapun yang dia buat dan apa jua yang terjadi pada negara dan rakyat, logiknya Umno mesti beri peluang kepadanya sama seperti yang Umno beri peluang kepada Dr. Mahathir dulu.
    
Sikap veteran Umno amat berbeza dengan pendirian Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan Presiden Umno yang pimpinan Umno ketepikan di luar Perhimpunan Agung dan di luar keputusan jawatankuasa disiplin dan Ketua Wanita Gopeng yang Umno pecat.
   
Hamidah Othman, wanita Umno yang dipecat itu jauh lebih dinamik daripada semua unit dalam Umno termasuk ulamanya.
   
Hamidah mengaku rapat dengan PM Najib dan isterinya. Dia selalu berkomunikasi SMS dengan keduanya. Dakwa Hamidah, dia sayang kepada keduanya. Tetapi jika dibandingkan antara ketua dari parti dia pilih parti. Dibandingkan pula parti dan negara, dia pilih negara.
    
Sayangnya pada semua tidak mengatasi sayangnya pada agamanya Islam. Justeru sayang pada Nabi dan isterinya dia tegur Najib termasuk jika perlu Najib beundur.
     
Nampaknya Hamidah Othman benar-benar mencerminkan cara berfikir orang Melayu yang ada peri bahasanya, sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan. Sebagai orang Melayu yang menjadi Umno, dia panjang peri bahasa itu dengan sayangkan pemimpin seperti Najib tegur-tegurkan.
    
Malah teguran bahkan menggantikan dengan orang, belumlah disahkan dia derhaka, tetapi atau bahkan, justeru sayangnya pada Najib, pada partinya, pada negaranya dan pada agamanya. Sayang pada Najib dengan menggantinya supaya dia tidak terlalu terlanjur dan menyelamatkan yang lain.
    
Akan tetapi sayang veteran Umno dan Umno seluruhnya kepada ketua – dulu Dr. Mahahhir dan sekarang Najib – sayangkan Anakku Sazali yang difilem lawakkan oleh P.Ramlee.
    
Veteren Umno dan Umno memperjuangkan Melayu tetapi tidak belajar daripada peri bahasanya tadi.
    
Sayang Umno pada Najib adalah seperti sayang pembesar Melaka dalam isu menghukum Hang Tuah hingga istana dan negeri Melaka terdedah kepada penderhakaan Hang Jebat.
   
Saidna Umar al-Khatab ketika mula memegang jawatan khalifah berpesan, jika beliau silap betulkan. Umno tidak betulkan Dr. Mahathir dulu, sekarang ia tempelak Dr. Mahathir yang hendak membetulkan Najib. Rosak Dr. Mahathir, apabila dia silap/salah mereka pertahan dia. Kini apabila Najib karut, Mahathir saja yang hendak membetulkannya.
    
Dia tidak betul dulu kerana Umno dan veterennya tidak betulkan dia. Dulu dia tak betul, tidaklah bererti tak betulnya dulu tak betul juga bila membetulkan orang yang tidak betul. – HARAKAHDAILY 28/1/2016

Share on Myspace