Pilihan raya bukan pilihan terbaik Mukhriz

SUBKY LATIF | .

APAPUN kedudukan Datuk Seri Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah terletak pada ketentuan Perdana Menteri Najib dengan izin Allah.
     
Apa yang dibuat oleh 14 ketua Umno Bahagian di Kedah itu bukanlah atas kehendak mereka sendiri atau ia daripada tindakan jahat mereka sendiri. Ia adalah atas kemahuan Najib. Jika apa yang dimahu Najib mendapat izin Allah, maka bertukarlah MB itu daripada Mukhriz. Jika ia tidak diizinkan Allah maka mungkin Najib tak tahu apa hendak dibuat.
     
Kemahuan Najib itu boleh terhalang jika istana ada fikiran lain yang tidak terfikir orang lain.
     
Akar umbi boleh bantah pembuangan itu tetapi tidak banyak yang rakyat boleh buat kiranya program Najib berterusan. Paling lama sebulan rakyat boleh membantah lepas itu padam semuanya.
     
Sokongan Datuk Harun Idris menghalang bekas MB Selangor itu dipenjara agak besar. Tetapi kurang seminggu ia padam.
     
Mukhriz tidak boleh buat jika dia dipecat atas sebab membantah parti. Rakyat pun tak boleh buat apa kalau dia bukan ahli parti. Dia tidak boleh buat lebih besar daripada yang Anwar Ibrahim pernah buat. Apabila dia dipecat, dia jadi cerita lain.
    
Jika benar Mukhriz dapat sokongan rakyat, maka seperti yang dicadangkan oleh setengah, dia bubarkan Dun bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri Kedah.
     
Tetapi Mukhriz hendak bertanding atas parti apa? Barisan Nasional tidak akan menjadikannya calon lagi dan demikian juga sekalian yang menyokongnya. Dia kena cari parti lain atau dia membentuk kumpulannya sendiri atas nama bebas. Itupun belum tentu SPR dan pejabat pendaftar dapat menyegerakan proses.
     
Ertinya Mukhriz sudah bukan lagi orang Umno. Dalam keadaan seperti itu tidak diketahui apa ada dalam otak dan hati orang Umno? Entahlah kalau Umno sekarang sudah tidak lagi Umno yang semua faham masa lalu.
    
Dan bagi pilihan raya negeri pembangkang akan ada sikapnya sendiri dan tidak dapat difikir apakah ia boleh bersefahaman. Tidak banyak yang terfikir Dr. Mahathir boleh bersekutu dengan parti Anwar Ibrahim.
     
Dengan senario yang demikian membubarkan DUN sekalipun diperkenan Istana, maka Mukhriz tidak lagi jadi calon BN dan ia memberi laluan mudah bagi Najib untuk memihak kepada orang Umno yang mahu menggantikan Mukhriz itu.
     
Saya tidak nampak di mana bijak padangan yang menganjurkan Mukhriz mengadakan pilihan negeri. Pandangan itu mungkin jika yang memerintah pembangkang seperti di Perak dulu. Jika ada pilihan raya baru, jahanamlah yang cuba membuang MB. – HARAKAHDAILY 31/1/2016

Share on Myspace