Cerdikkah mangsa kemalangan, keluarga dihantar umrah?

SUBKY LATIF | .

REMAJA mangsa kemalangan yang cedera teruk kaki dari Kuala Selangor telah dilawati Pengerusi Tabung Haji di hospital bagi menyampaikan sumbangan dikatakan daripada Perdana Menteri Najib.
     
Menziarahi orang sakit berpahala dan sumbangan kepadanya bagi meringankan musibah yang dialaminya juga berpahala besar.
     
Demi meringankan lagi mangsa kemalangan yang cedera teruk kakinya itu, maka difahamkan Datuk  Azeez Rahim, bos Tabung Haji tadi menghadiahkan pula kepadanya dan keluarganya untuk menunaikan umrah atas tanggungan Tabung Haji.
     
Tadinya remaja malang itu menghadapi musibah. Sekarang beroleh tuah pula dihadiahkan menunai umrah bersama waris atau walinya percuma. Tentunya hadiah Tabung Haji itu atas kebijaksanaan  dan pengaruh pemimpin Tabung Haji itu.
     
Tidak perlu ditanya jika tanggungan umrah itu atas hadiah peribadi Pengerusi Tabung Haji itu dan dipercayai dia ada duit untuk memenuhi hadiah itu. Semua boleh syabas dia jika ia hadiah peribadinya. Dia akan dapat pahala sama banyak dengan pahala pengerja umrah itu. Pahala pengerja umrah itu tidak luak. Pemberi hadiah dan penerima hadiah sama-sama dapat sama banyak pahala.
    
Apabila hadiah umrah juga diberi kepada keluarga mangsa, pemberi hadiah dapat satu lagi pahala penuh. Azeez nescaya dapat dua pahala penuh.
    
Tetapi apabila belanja umrah itu dari Tabung Haji, maka banyak tanyanya mengapa Tabung Haji beri umrah percuma? Apa kena mengena kemalangan dan kecederaan remaja iu dengan Tabung Haji? Bagaimana maka dengan tak semena-mena Tabung Haji menghantar umrah kepada orang yang kemalangan jalan raya?
     
Apakah yang cedera itu memerlukan umrah itu dalam masa dia tidak boleh bergerak sekarang atau selepas keluar hospital nanti? Atau umrah itu keutamaannya.
    
Umrah itu sunat. Sedang haji yang wajib pun ada kecualian wajibnya. Ia memerlukan sihat dan keupayaan. Jika haji ada kecualiannya, maka umrah itu tidaklah terdesak sangat.
    
Dari segi keutamaan, apakah umrah itu keutamaan bagi remaja yang terlantar itu? Adakah keutamaan yang lain?
     
Kakinya cedera yang semua tidak dapat bayangkan masa depannya. Pada masa ini keperluannya ialah tentang rawatan pemulihan. Jika tulangnya patah atau retak, keutamaan yang kiranya Tabung Haji hendak menolong ialah memikirkan rawatan pemulihannya. Jika kakinya perlu dipotong, sebelum dipotong Datuk Azeez cari ada tidak bomoh patah di mana-mana di negara ini atau di luar negara?
     
Bantuan ini yang diperlukan sekarang. Atau bomoh patah tidak lagi dapat membantu, apa yang diperlukan oleh si malang bagi membantunya dapat berjalan atau bergerak ke mana-mana?
    
Mungkin kaki palsu yang diperlukan. Azeez banyak pengalaman sebelum ini membantu mangsa bencana alam di mana-mana di dunia. Gunakanlah kemudahan peruntukan yang sedia ada dan banyak dari sumber itu. Boleh peruntukan kebajikan Tabung Haji digunakan atas hal-hal yang dekat dengan keperluan Tabung Haji.
     
Adakah cerdik Pengerusi Tabung Haji menggunakan peruntukan Tabung Haji unuk menghantar umrah kepada mangsa dan keluarganya?
    
Jika Tabung Haji ada peruntukan untuk menghantar umrah kepada orang kurang upaya dan mangsa kemalangan, maka fikirkanlah setelah mangsa itu sudah sihat nanti dan sudah semua keperluannya dipenuhi!
    
Jika Azeez terlibat dengan badan kebajikan Umno, dapatkanlah peruntukan daripada Umno dan kerajaan. Mengapa Tabung Haji saja dihisap hingga ia boleh jadi lembu kurus? – HARAKAHDAILY 1/2/2016

Share on Myspace