Justeru TPPA, 26 undang-undang dipinda

SUBKY LATIF | .

APA yang Malaysia akan nikmati daripada TPPA kita belum tahu, tetapi dengan kelulusan Parlimen tentang penyertaan itu Malaysia terpaksa mengorbankan 26 undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen  sejak merdeka.
     
Ia sama seperti peribahasa yang kita semua tahu, mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan. Ia adalah ingatan penting yang dingatkan oleh kebijaksanaan orang Melayu dulu kala. Bukan semua amatan orang Melayu terdahulu kuno dan kolot belaka. Banyak juga pesanan bermutiaranya.
    
Bukanlah setiap guruh itu menurunkan hujan. Acap juga yang berakhir dengan setitis hujan menimpa. Apa jadi hujan tak turun, air sudah dicurah?
     
Kita menyertai PBB, adakah kita dikehendaki meminda undang-undang kita? Kita sertai Komanwel tanpa mengusik undang-undang. Kita tubuhkan ASEAN, tiada negara dikehendaki meminda undang-undangnya. Baru-baru ini kita berjaya membentuk Kesatuan ASEAN. Kita masuk dengan undang-undang kita sekali.
     
Tidak undang-undang kita itu sempurna justeru semuanya adalah ciptaan manusia belaka. Undang-undang yang sempurna ialah undang-undang dari langit.
    
Semua undang-undang itu dibuat oleh Parlimen kita yang berdaulat. Ada yang kejam seperti ISA dulu yang kini diganti baru, tapi kejamnya sama. Akta polis, akta mesin cetak dan lain yang dikata drakonian adalah tiada jejak atas kemanusiaan. Seburuk manapun undang-undang itu ia adalah atas kebijaksanaan Parlimen kita.
     
Jika semua undang-undang kejam itu dihapuskan ia adalah dibuat atas kedaulatan dan kebijaksaan kita sendiri, bukan atas kehendak orang lain. dengan  menyertai TPPA kita menghampaskan undang-undang kita sendiri, dan nyatalah kita masukkan Parlimen dan undang-undang kita dalam bakul sampah sejarah.
    
Kita beri alasan lain-lain negara yang menandatanganinya sama tidak takwil langsung. Kita saja yang bicang di Parlimen. Tetapi kita tidak tanya banyak juga negara yang tidak ikut seperti Thailand, Indonesia, Filipina, China dan lain-lain. Mengapa kita tidak ikut yang tidak serta itu dan mengapa pula kita mesti ikut negara yang tidak takwil.
    
Banyak yang bersama TPPA itu orang yang membelakangkan kitab sucinya sendiri. Kitab asal agama mereka Taurat dan Injil. Hukum Allah telah ada dalam kitab itu. Bukan saja ia tidak mengunapakai, bahkan kitabnya sendiripun mereka pinda.
     
Jika mereka pinda kitab suci mereka sendiri, apalah susahnya mereka paksa kita pinda begitu banyak undang-undang kita. Jika mereka persetankan kitab sucinya, tiada silu baginya mencarik undang-undang dan kedaulatan kita.
     
Pemimpin dan kerajaan yang berkeras mahu menyertai TPPA itu pula bukanlah suatu kerajaan yang peka dan belas atas penderitaan rakyat dan kedaulatan negaranya. Ia diterima sebuah kerajaan yang tidak mendapat undi popular dalam PRU13. Ia tidak benar-benar mencerminkan betul-betul demokrasi. Ia adalah kerajaan yang paling tidak popular sepanjang kemerdekaan negara.
     
Kerajaan dan pimpinannya yang suka sangat TPPA itu bukan saja paling rendah moral dan dipertikai oleh semua pihak. Perdana Menterinya berdepan dengan krisis keyakinan dan sedang dituntut supaya berundur.
     
Dalam masa beberapa tahun ini ia adalah kerajaan mencekik darah rakyat. Jika kepentingan dan keperitan rakyat tidak dipedulikan, maka apalah yang diharapkan ia dan dia hendaklah menjaga kedaulatan undang-undang dan kemerdekaan rakyat.
     
Malaysia yang menyertai TPPA itu bukanlah mewakili sebuah kerajaan yang kuat tetapi ia diterima sebagai sebuah kerajaan yang lemah yang sedang diambang kehancuran. Menggadai negara bukanlah suatu yang payah baginya.
     
Yang nampak untung sekarung tetapi yang menunggu rugi seguni. – HARAKAHDAILY 2/2/2016

Share on Myspace